KAK JUE BLOG'S

Istana Negara Siap Sedia Sambut Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke 15



Rakyat Malaysia akan sekali lagi menyaksikan acara bersejarah pertabalan Ketua Utama Negara apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu adzam Shah.
Ini merupakan kali kedua istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan menjelang upacara penting itu, persiapan di venue utama itu yang diatur begitu teliti dan penuh istiadat kebesaran di raja sejak enam bulan lepas telah memasuki fasa akhir.
Walaupun tiada sebarang perubahan besar, namun Istana Negara telah dihias indah dengan landskap dan lampu-lampu berwarna-warni yang memberi nilai tambah dan membangkitkan seri lokasi itu yang menjadi mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Sempena istiadat itu juga, poster-poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong turut dipasang di lokasi-lokasi strategik sekitar ibu kota menuju ke Istana Negara bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan menjadi ketua negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Acara pertabalan itu akan menandakan secara rasminya Sultan Muhammad V memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang akan diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi beraja di negara ini.
Menurut Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini tarikh pertabalan itu yang juga jatuh pada tarikh kebesaran Islam iaitu Israq dan Mikraj, dipilih sendiri oleh Seri Paduka setelah mendapat nasihat daripada ulama-ulama dan para mufti.
Acara pertabalan itu yang mungkin hanya disaksikan dalam tempoh lima tahun dijangka bermula pada 9.30 pagi esok dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).  
Sultan Muhammad V sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 13 Dis 2016 yang telah mengukuhkan dan memberi legitimasi kepada kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Pertabalan Sultan Muhammad V itu merupakan kali kedua Sultan Kelantan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan memerintah dari 21 Sep 1975 hingga 29 Mac 1979.
Sultan Muhammad V yang diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.
Menurut Azuan, istiadat pertabalan itu memberi tumpuan bagi mengekalkan elemen-elemen teras adat istiadat yang telah diamalkan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini.
Acara esok akan dimulakan sebaik keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Peterana Diraja bagi mengambil Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM.
Antara elemen penting dalam istiadat berkenaan ialah berangkat masuk Seri Paduka ke dalam Balairong Seri dengan diiringi alunan muzik "Raja Berangkat" daripada Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta pembawa alat-alat kebesaran Diraja, yang merupakan elemen penting yang mencerminkan kedudukan mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Sepanjang istiadat pertabalan itu juga, Datuk Paduka Maharajalela akan menyembahkan naskah Al-Quran kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolik peranan Seri Paduka sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.
Juga penting pada acara itu ialah penyerahan Keris Panjang Diraja atau juga dikenali sebagai Keris Kerajaan sebagai lambang kesediaan seseorang raja untuk memikul amanah sebagai ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.
Klimaks pada acara pertabalan itu nanti ialah apabila Seri Paduka melafazkan titah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong dan seruan "Daulat Tuanku" tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti oleh para hadirin dalam Balairung Seri.
Serentak itu lagu Negaraku akan dimainkan berserta tembakan meriam 21 das dimulakan sebagai simbolik pengumuman kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong yang baharu telah ditabalkan.
Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.-23/4/2017 Oleh SH Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer,Bernama
Share:

Panduan Yang Simple Untuk Hidup Bahagia


Kebahagian dalam hidup adalah anugerah terbaik dalam hidup setiap insan. Setiap orang impikan yang terbaik dan berusaha untuk memenuhinya demi insan-insan yang tersayang. Untuk memilikinya perlu hadapi pelbagai ujian dan halangan. Hanya mereka yang gigih berusaha, tabah dan tidak jemu mencuba akan berjaya.

Mari kita kongsi panduan hidup tulisan seorang pensyarah bernama 
En Ahmad Zamri 47 tahun, 
seorang Pensyarah Sains Komputer dari Malaysia Dia meninggal dunia disebabkan oleh kanser pankreas pada 2008, tetapi dia menulis buku "The Last Lecture" pada 2007. Suatu legasi yang dia tinggalkan.

Dalam suratnya kepada isteri dan anak-anaknya, Didi Lokman, dan Cici dia menulis satu panduan yang sangat baik, "Panduan Untuk Hidup Yang Lebih Baik" untuk isteri dan anak-anaknya. 

Bagaimana untuk memperbaiki hidup anda.

1. Jangan bandingkan hidup anda dengan orang lain. Anda mungkin tidak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka.

2. Jangan mempunyai pemikiran negatif terhadap benda yang kamu tidak boleh kawal. Sebaliknya, tumpukan tenaga anda terhadap benda yang positif yang anda miliki pada masa ini.

3. Jangan terlebih buat apa yang anda mampu. Cukuplah setakat yang anda mampu.

4. Jangan terlalu serius terhadap diri anda. Tiada siapa yang berbuat demikian.

5. Jangan bazirkan tenaga anda terhadap gossip.

6. Berfikir lebih jauh bila anda masih terjaga.

7. Iri hati adalah sia-sia. Kamu sudah mempunyai semua yang kamu perlukan.

8. Lupakan perkara yang sudah lepas. Jangan ungkit kesilapan pasangan anda di masa lampau. Ianya akan menghancurkan kegembiraan anda di masa kini.

9. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci sesiapa. Hindarkan daripada membenci sesiapa.

10. Berdamailah dengan masa lalu kamu supaya ia tidak akan merosakkan masa sekarang kamu.

11. Tiada siapa yang mengawal kegembiraan kamu selain dari kamu sendiri.

12. Ketahuilah bahawa hidup ini ialah seperti sekolah dan kamu di sini untuk belajar. Masalah ialah salah satu dari kurikulum yang akan muncul dan pergi seperti kelas algebra, tetapi pengajarannya akan kamu pegang seumur hidup kamu.

13. Senyum dan tertawa selalu.

14. Kamu tidak perlu menang setiap pertengkaran. Setuju untuk tidak setuju.

15. Hubungi keluarga kamu selalu.

16. Beri sesuatu yang baik untuk orang lain setiap hari.

17. Maafkan orang lain.

18. Luangkan masa untuk orang yang berumur 70 tahun ke atas dan 6 tahun ke bawah.

19. Pandangan orang lain terhadap kamu bukan urusan kamu.

21. Pekerjaan kamu tidak akan menjaga kamu bila kamu sakit tetapi keluarga kamu akan menjaga kamu. Selalu berhubung. 

22. Dahulukan Allah swt dalam segala yang kamu fikir, katakan dan buat.

23. Allah swt itu penyembuhan.

24. Buat perkara yang betul.

25. Bagaimana baik atau buruk pun situasi sekarang, ia akan berubah.

26. Bagaimanapun yang kamu rasa, bangun, salin pakaian dan pergi.

27. Yang terbaik akan datang kemudian.

28. Buang apa yang tidak berguna atau yang tidak menggembirakan.

29. Bila kamu terjaga di waktu pagi, bersyukur kepada Allah swt..

30. Kalau kamu kenal Allah swt kamu akan gembira selalu. Jadi, bergembiralah selalu.

Apabila kamu mengamalkan kesemua di atas,  Bukan sahaja ianya akan memperbaiki hidup anda, tetapi juga orang di sekeliling anda.
Share:

Kuasa Istimewa Yang Ada Pada Solat Subuh



KEMENANGAN pertama seorang Muslim melawan godaan syaitan adalah ketika dia bangkit daripada tidur untuk menunaikan solat subuh, sama ada berjemaah atau bersendirian.

Ini kerana solat subuh adalah ritual agama Islam yang paling kerap ditinggalkan atas pelbagai sebab. Antara yang popular adalah lewat bangkit dari tidur dan memenuhi desakan urusan berkaitan kerjaya.

Namun begitu, bagi Pengasas Institut Bayyinah, Amerika Syarikat, Nouman Ali Khan, solat subuh sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ramai yang tidak menyedari perkara itu walaupun keistimewaan tersebut ada disebut dalam al-Quran,” kata pendakwah warga Amerika Syarikat dalam satu siri ceramahnya yang dipetik daripada laman web LoveAllah328, baru-baru ini.

Ikuti temubual dengan beliau:

Boleh saudara terangkan surah berkenaannya?

Nouman - Ada mesej yang baik tentangnya daripada surah al-Isra’ ayat 78, bermaksud:

“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”

Dalam surah itu, Allah SWT menyuruh kita mendirikan solat. Tetapi, Allah SWT menyebut secara khusus tentang solat subuh berbanding dengan solat fardu yang lain. Ia seolah-olah menunjukkan sesuatu yang istimewa tentang solat itu.

Apakah keistimewaan itu?

Nouman - Pada akhir ayat tersebut, Allah SWT menyatakan bahawa ia disaksikan (mashood). Jadi, apa yang kita lakukan pada waktu itu iaitu bersolat, baca al-Quran dan lain amalan sunat akan disaksikan.

Persoalannya, siapakah yang menyaksikannya? Sedangkan pada waktu itu, semua orang sedang tidur. Sesiapa yang bersolat pada waktu itu pun, tidak ada orang yang melihatnya.

Siapa yang menyaksikan?

Nouman - Biasanya, mashood itu berlaku pada tengah hari dan tempat popular tetapi masjid bukan tempat popular, lebih-lebih lagi pada waktu solat Subuh.

Tetapi dalam ayat itu, Allah SWT menyatakan “...sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” Bermakna, ia bukan disaksikan oleh manusia di sekeliling kita tetapi oleh malaikat yang mencatatkan amalan kebaikan.

Lebih penting lagi oleh Allah SWT yang melihat hamba-Nya datang sujud kepada-Nya. Hamba-Nya itu meninggalkan kenikmatan tidur dan urusan dunia lain. Saya sering kali menasihati diri sendiri supaya menjadikan amalan tidur lebih awal sebagai rutin harian.

Mudahkah amalan tidur lebih awal ?

Nouman - Ia sesuatu yang mudah untuk diucapkan tetapi sukar diamalkan. Kita sering ada banyak urusan dunia yang perlu dilakukan.

Urusan dunia itu menjadi lebih banyak menjelang petang. Ini ditambah pula, waktu itu syaitan cukup aktif menggoda manusia dengan kenikmatan dunia.

Urusan dunia itu menyebabkan kita tidur lambat, maka secara asasnya, solat subuh bukan lagi termasuk dalam senarai urusan penting kita.

Kita mungkin solat subuh tetapi dalam keadaan tidak khusyuk, walaupun kita bangun apabila terdengar azan.

Apa yang perlu dilakukan?

Nouman - Jadikan amalan tidur awal sebagai satu rutin harian. Ini kerana, kita akan mampu bangun lebih awal. Kita juga boleh baca al-Quran sebelum azan subuh. Saya percaya, anda akan dapat manfaat dari sudut kerohanian pada masa itu juga.-Utusan
Share:

SPM 2016 : GPN Lebih Baik, 8,647 Calon Peroleh Semua A




PUTRAJAYA: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15 pada tahun 2015, umum Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

"Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik," katanya dalam sidang media ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2016 di sini, Khamis.

Seramai 8,647 daripada 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon pada tahun 2015, katanya.

Seramai 102 calon atau 1.94 peratus calon memperoleh A+ pada tahun ini berbanding 163 calon atau 2.6 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.

"Walaupun Gred A telah berkurangan, GPN semua mata pelajaran telah meningkat secara signifikan. Ini bermakna prestasi keseluruhan pelajar meningkat tetapi yang mendapat gred tinggi (semua A) berkurangan, kemungkinan tertumpu B+.

"Secara keseluruhan, prestasi pencapaian individu pelajar adalah lebih baik pada tahun ini," katanya.

Seramai 434,535 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2016 berbanding 440,682 calon pada 2015, iaitu berkurangan 1.39 peratus atau 6,147 calon.

Khair berkata 340,698 atau 85.21 peratus calon layak dianugerahkan sijil SPM pada tahun 2016 iaitu 313,667 calon sekolah Kementerian Pendidikan manakala 27,031 adalah calon selain sekolah kementerian.

Beliau berkata sebanyak 41 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 28 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi empat mata pelajaran tidak berubah.

"Empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran teras yang lain seperti Matematik, Sejarah dan Pendidikan Moral mencatatkan penurunan," katanya.

Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.32 Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) manakala mata pelajaran Matematik menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.29 GPMP, katanya.

Nilai GPMP yang lebih kecil menunjukkan prestasi yang lebih baik.Khair berkata jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar semakin mengecil yang mana nilai GPN mengecil sebanyak 0.03 iaitu 0.47 berbanding 0.50 tahun 2015.

Beliau berkata pencapaian GPN bagi calon luar bandar menunjukkan peningkatan 0.08 iaitu 5.36 pada tahun 2016 berbanding 5.44 pada tahun 2015.

Pencapaian calon di bandar pula meningkat sebanyak 0.05 iaitu 4.89 pada tahun 2016 berbanding 4.94 pada tahun 2015, katanya.

"Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar," katanya.

Bagi calon berkeperluan khas, Khair berkata 510 atau 58.42 peratus daripada 873 calon layak dianugerahkan SPM.Bagi sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Khair berkata seramai 214,971 calon atau 52.83 peratus berjaya memperoleh sijil itu.

Seramai 40,725 calon atau 55.11 peratus daripada 73,891 calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account melalui kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan Pearson, United Kingdom, katanya.-Bernama
Share:

Cikgu 'Sanggul Tinggi' Dalam Komik Lat Meninggal Dunia.



IPOH: Mrs Hew, seorang guru bercermin mata, bersanggul tinggi ala sarang lebah dan sering bersama rotan, salah satu watak popular dalam komik Lat, telah meninggal dunia pada usia 80.

Anak sulungnya, Alvin Hew, 53, berkata ibunya, Lee Siew San yang amat berbangga dirinya menjadi salah satu watak dalam komik Lat, meninggal dunia di kediaman mereka di Canning Garden kira-kira pukul 1.30 pagi Rabu.

"Ketika Lat pertama kali melukis dirinya dalam komik, beliau tahu watak itu adalah dirinya. Walaupun berasa bangga, tetapi beliau tidak pernah memberitahu orang ramai," katanya.

Alvin berkata gambaran Lat mengenai ibunya telah menjadikan Siew San terkenal selain membolehkan beliau bercampur dengan orang-orang kenamaan apabila Lat menjemput beliau menghadiri pameran, termasuklah tayangan perdana Lat the Musical.

"Kami amat berbangga dengan warisan yang dicipta oleh Lat ini berdasarkan karektornya," kata Alvin yang ditemui di gereja, Khamis.Suami Siew San, Hew Chai Kee berkata beliau juga sedikit-sebanyak terkena tempias status selebriti isterinya.

"Beliau pernah berkata 'saya adalah isteri Hew Chai Kee' dan saya juga pernah berkata 'saya adalah suami Moira Hew'," katanya sambil ketawa.

Chai Kee, 87, seorang bekas pelombong timah, pernah bertanding menentang pengasas bersama PPP Datuk S.P. Seenivasagam bagi kerusi Menglembu pada pilihan raya umum tahun 1969.

Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, telah memberi penghormatan kepada guru bahasa Inggerisnya itu, sambil menambah Siew San adalah salah seorang individu terawal yang memberikan pengaruh dalam kehidupannya.

Katanya, beliau belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) di Jalan Pasir Putih selama dua tahun dari 1962.

"Saya dan rakan-rakan adalah budak kampung yang tidak bercakap walau sepatah perkataan Inggeris. Kemudian, hanya dalam masa dua tahun, saya tiba-tiba faham apa yang saya dengar di radio.

"Beliau menggalakkan saya melukis di dinding bilik darjah dan untuk majalah sekolah.

"Wajahnya serius seperti dalam komik, tetapi beliau sangat baik hati. Jika tidak kerana dedikasinya, tiada apa yang dapat kami pelajari," katanya.

Mendiang turut meninggalkan dua lagi anak, Belinda, 52, dan Cyril, 49, serta empat cucu.

Cucu sulungnya, Inaki Hew, 17, yang menemani Siew San ketika acara pembukaan Lat the Musical pada 2011, berkata beliau sentiasa tahu bahawa neneknya adalah inspirasi untuk watak dalam komik. - MSTAR


Share:

MRSM Sultan Azlan Shah Nama Baru MRSM Kuala Kangsar



KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam berkenan mengisytiharkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah sebagai nama baharu MRSM Kuala Kangsar pada perasmian MRSM itu di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nama baharu MRSM ke-8 di Perak dan ke-50 di Malaysia itu adalah bersempena nama ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak ke-34.

MRSM Sultan Azlan Shah yang dibangunkan di atas kawasan seluas 20 hektar di Liman Kati Mukim Kota Lama Kiri di sini, mula beroperasi pada 6 Julai 2015 di bawah pimpinan Pengetua Shahrome Daud.

Kini MRSM itu mempunyai 725 pelajar meliputi 347 pelajar lelaki dan 378 perempuan dengan 51 guru dan 29 staf sokongan.

Penubuhan MRSM itu disasar menjadi pemangkin bukan sahaja dari sudut limpahan ekonomi tetapi juga pencetus kecemerlangan pendidikan anak-anak tempatan dengan adanya usaha sama untuk melaksanakan pelbagai program.

Sejak penubuhan MRSM pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada 1972, kini terdapat 52 institusi itu di seluruh negara untuk memperluaskan lagi penyertaan bangsa Melayu dalam bidang sains, teknologi, pengurusan dan kerjaya peringkat profesional sekali gus mendaulatkan golongan bumiputera dalam bidang keusahawanan melalui pendidikan.

Sehingga kini, MRSM telah melahirkan lebih 170,000 pelajar dan ramai yang menjadi tokoh penting negara sama ada dalam kerajaan, korporat mahupun sebagai pemimpin politik serta usahawan dan golongan profesional. – BERNAMA
Share:

Pencapaian Cemerlang UPKK 2016 Meningkat 4 Peratus


Seramai 46,461 atau 23.9 peratus calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lepas mencatat keputusan 8A, demikian diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kejayaan itu merupakan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya serta mengekalkan kelulusan 100 peratus bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2014.

Menurutnya, sebanyak 197,623 calon UPKK mengambil lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam; al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Jawi dan Khat; Sirah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Bahasa Arab.

"Daripada itu, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti Bidang al-Quran dengan 99.6 peratus lulus.

"Pencapaian ini sekali gus menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," katanya pada sidang media bagi mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata mata pelajaran Jawi dan Khat mencatat kelulusan 94.23 peratus, diikuti al-Quran (91.83 peratus); Adab (90.48 peratus); Ulum Syariah (87.95 peratus) dan Sirah 83.61 peratus.

Jamil Khir berkata keputusan UPKK kini boleh disemak secara dalam talian di http://semakan.islam.gov.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS ) di MySMS 15888 bermula 11 pagi tadi.

Pernyataan keputusan boleh diperoleh di sekolah masing-masing bermula 3 petang ini, katanya.

-- BERNAMA
Share:

Setiap Perayaan Di Malaysia Melambangkan Keharmonian Negara - Perdana Menteri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada kaum India yang menyambutnya di negara ini, bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.

"Dengan masyarakat India Malaysia menyambut bulan Thai yang menandakan suatu permulaan baru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Ponggal Vaalthukal' dan semoga ia membawa limpahan kemakmuran," kata perdana menteri dalam entri laman Facebook beliau.

Dianggap sebagai satu daripada perayaan penting dan popular oleh penganut Hindu, Ponggal disambut dengan memasak beras manis sebagai tanda berterima kasih atas hasil tuaian.

Ponggal adalah perkataan Tamil yang bermaksud 'mendidih'.
Share:

Waris Tidak Perlu Membayar Pinjaman PTPTN


Waris peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak perlu membayar balik baki pinjaman peminjam kerana dilindungi Skim Perlindungan Takaful Berkelompok.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata apa yang perlu dilakukan ialah waris perlu memaklumkan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal peminjam berkaitan kepada pihaknya.

Katanya, ia bagi membolehkan PTPTN menguruskan tuntutan dan memberikan manfaat takaful serta khairat kematian kepada waris berkenaan sebagaimana yang ditetapkan.
Beliau berkata, selain tidak perlu membayar baki pinjaman, waris juga akan menerima RM1,500 sebagai faedah khairat kematian.

“Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan melindungi peminjam.

“Sehingga 31 Disember 2016, seramai 6,682 peminjam dengan jumlah RM107.64 juta telah menikmati manfaat perlindungan takaful selain, tuntutan khairat kematian kepada 6,073 penuntut atau waris dengan jumlah RM7.52 juta,” katanya.

Abdul Ghaffar berkata, setiap peminjam dikehendaki menanggung kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pendidikan menerusi potongan secara aotomatik apabila mengeluarkan wang pinjaman.

Beliau berkata, bagi peminjam yang sudah menamatkan pengajian pula, jika potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi, caj tambahan bulanan akan didebitkan ke dalam akaun peminjam sebagai pinjaman tambahan.

Waris atau penuntut boleh membuat tuntutan takaful dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful di laman portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.com.my.

Borang permohonan berserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat PTPTN Negeri atau mana-mana cawangan yang berhampiran.
Share:

Kongsi Cara Penulisan Refleksi



Untuk guru-guru nak tulis refleksi dalam buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH), saya nak kongsi contoh-contoh penulisan refleksi:

🎓 Sesi P&P telah mencapai objektif/target yang diingini

🎓 Murid - murid dapat menguasai kesemua aras P&P

🎓 Murid-murud dapat menguasai kesemua kemahiran yang dipelajari

🎓 Murid-murid dapat menguasai kemahiran pembelajaran secara intensif

🎓 Murid-murid dapat menguasai objektif pembelajaran dengan 10 daripadanya mencapai target

🎓 Murid-murid dapat menguasai aras satu dan dua daripada hasil pembelajaran

📚 5 daripada 30 murid-murid tidak menguasai hasil pembelajaran

📚 10 daripada 30 murid-murid tidak mencapai objektif pengajaran

📚 5 daripada 30 murid-murid tidak menguasai aras 3 daripada hasil pembelajaran

📚 10 daripada 30 murid-murid tidak menguasai aras 2 daripada hasil pembelajaran

📖 Murid-murid telah menyertai aktiviti P&P dengan jayanya

📖 Sebahagian murid-murid tidak terlibat dalam aktiviti P&P kerana kesuntukan masa

📖 Murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian

📖 Sebahagian murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian

📖 Hanya sebahagian murid-murid yang mengikuti PdP, manakala bakinya tidak bersungguh-sungguh dalam PdP

📖 Sebahagian pelajar tiada di dalam kelas kerana menghadiri aktiviti luar kelas

📖 PdP ditangguhkan kerana menghadiri mesyuarat / mesyuarat guru

📖 PdP ditangguhkan kerana menghadiri program luar kelas

📖 PdP ditangguhkan kerana menghadiri program luar sekolah

📒 Aktiviti P&P tidak dapat berjalan dengan sempurna pada tempoh yang ditetapkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan

📒 Sebahagian aktiviti P&P perlu diulang semula kerana murid2 tidak menguasai objektif pembelajaran

**Ubahsuai ikut keperluan guru-guru.
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages