KAK JUE BLOG'S

AES Didik Pengguna Patuhi Peraturan Jalan Raya - MIROS



KUALA LUMPUR - Pemasangan 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya-lebuh raya di seluruh negara tidak harus dilihat sebagai hukuman sebaliknya adalah langkah untuk mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh MIROS pada 2014 menunjukkan bahawa 14 kamera AES yang dipasang di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terbukti berkesan dalam mengurangkan kemalangan maut akibat pemanduan laju dan salah laku pelanggaran lampu merah.

Menurut penemuan institut itu, terdapat pengurangan sebanyak 87.6 peratus kes pelanggaran lampu merah selepas kamera dipasang di beberapa persimpangan lampu isyarat tertentu di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dan Jalan Pasir Puteh di Perak, serta Jalan Klang Lama dan Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.





Pemasangan lebih banyak kamera AES di lokasi-lokasi strategik akan dapat mengekang pengguna jalan raya daripada memandu laju di sepanjang lebuh raya berkenaan, kata Lee.

"Lazimnya, apabila pemandu memasuki zon kamera, mereka cenderung untuk memperlahankan kenderaan dan memandu laju semula apabila melepasi zon tersebut. Tetapi mereka tidak akan dapat berbuat demikian selepas lebih banyak kamera dipasang kelak.

"Sudah tentu, tiada apa-apa yang menghalang mereka daripada memandu laju setelah melepasi zon kemera (di lebuh raya) tetapi sekurang-kurangnya, mereka sedar bahawa mereka tidak boleh memandu laju secara berterusan di sepanjang laluan berkenaan. Ia adalah satu cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita," katanya kepada Bernama

Lee juga berkata bahawa kamera AES itu tidak boleh dianggap sebagai "perangkap" kerana ia mudah dilihat dan terdapat papan tanda yang mencukupi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya.

Terdahulu, pada 9 April Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata bahawa sebanyak 1,200 lagi kamera AES akan dipasang di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara untuk merakam gambar-gambar pemandu kenderaan yang ingkar, serta mendidik mereka untuk mematuhi peraturan lalu lintas.

Menurut statistik Miros, sejumlah 489,606 kemalangan jalan raya berlaku pada tahun lalu, berbanding 476,196 pada 2014. Kemalangan tahun lepas mengakibatkan 6,706 kematian, iaitu purata kira-kira 18 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari.

Lee berkata memandangkan terdapat laporan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di dunia, langkah-langkah berkesan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Pemasangan AES bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya sebagai usaha pencegahan terhadap peningkatan bilangan kemalangan di negara ini," kata beliau.

Lee menegaskan bahawa pengguna jalan raya tidak perlu bimbang tentang pemasangan 1,200 kamera itu "jika mereka sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas".

Katanya sistem AES telah berjalan dengan baik di beberapa negara maju di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat. Malah, sejak lewat 1970an, lebih daripada 90 buah negara di seluruh dunia telah menggunakan AES.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, keberkesanan AES di Perancis telah membantu mengurangkan 27 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya. Di United Kingdom pula, penggunaan AES berjaya mengurangkan sebanyak enam peratus pelanggaran peraturan lalu lintas manakala kemalangan di Kuwait berkurangan sebanyak 48 peratus.

Lee turut menggesa agar orang ramai sedar akan keberkesanan kamera AES dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya dan tidak mendengar sebarang tuduhan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa sistem itu boleh disalahguna serta dimanipulasi.

Beliau berkata ketika projek perintis AES dilaksanakan di Malaysia pada 2012, banyak persoalan timbul mengenai keberkesanannya, tetapi kini telah bukti bahawa AES berkesan.

"Jadi, saya berpendapat orang ramai perlu faham bahawa kamera-kamera tersebut adalah penting untuk kebaikan dan keselamatan mereka sendiri.


- BERNAMA 
Share:

Kerajaan Belum Putuskan Isytihar Bukit Merah Kawasan Bencana - Ahmad Zahid





Kerajaan belum memutuskan mengisytiharkan Bukit Merah, Perak, yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering akibat El-Nino, sebagai kawasan bencana kerana perlu meneliti aspek perundangan dan kewangan berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Persekutuan sudah menerima permohonan daripada kerajaan negeri Perak berhubung pengisytiharan kawasan Bukit Merah sebagai kawasan bencana.

Beliau berkata ia boleh memberi implikasi mendalam jika kawasan itu diumumkan sebagai bencana atau dalam keadaan darurat seperti implikasi kewangan terutamanya dari segi bayaran pampasan kepada petani.

"Tetapi, kerajaan Persekutuan tetap prihatin dan memikirkan beberapa langkah yang harus dilakukan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah berkenaan dan bukannya hanya sekadar pengisytiharan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di sini, hari ini,

Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan langkah dan kaedah yang dicadangkan bagi mengatasi masalah di Bukit Merah termasuk pemasangan paip air ke tasik, mendalamkan tasik dan meninggikan kawasan tambatan di kawasan tasik berkenaan.

Mesyuarat itu juga membincangkan permohonan kerajaan negeri Perak untuk segera menyelesaikan masalah di Kerian yang menghadapi kesulitan kekurangan air yang kritikal untuk kegunaan harian dan pertanian, katanya.

"Ini (cadangan-cadangan untuk atasi masalah) akan dibincangkan secara halus oleh Jawatankuasa Teknikal selepas ini...kita akan mengambil tindakan segera," katanya.

Menurutnya Jawatankuasa Teknikal itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa tujuh daripada 41 empangan di seluruh negara berada pada tahap kritikal dengan jumlah simpanan air yang membimbangkan.

Empangan berkenaan ialah Gemencheh, Negeri Sembilan; Timah Tasoh, Perlis; Bukit Merah,Perak dan empat kawasan di Johor iaitu Lebam, Congok, Layang dan Labong.

"Beberapa langkah segera telah dilakukan termasuk bekalan air ke kawasan pengairan mesti dibantu segera oleh pam-pam bergerak dari sumber air seperti sungai, tasik, kolam dan air bawah tanah," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata maklumat mengenai aras empangan daripada sistem amaran awal Jabatan Meteorologi dan Agensi Remote Sensing akan dikongsi oleh kesemua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menangani masalah berkenaan.

Selain itu, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk penghantaran bekalan air menggunakan tangki bergerak sejak tiga hari lalu termasuk di Chini dan Pekan di Pahang serta Dengkil, Selangor.

Mengenai operasi pembenihan awan, beliau berkata aktiviti itu tetap diteruskan walaupun berlaku beberapa kegagalan penghasilan hujan akibat pergerakan awan di kawasan bukan tadahan hujan.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penubuhan Sistem Imbangan Air Negara (NAWABS) sebagai langkah jangka panjang untuk menambah baik sistem permintaan bekalan air negara.


-BERNAMA

Share:

Kek Lapis Dapat Sambutan Hangat Sepanjang Kempen PRN Sarawak

kek lapis sarawak

KUCHING – Kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang sedang berlangsung sekarang rupanya turut membawa rezeki tambahan untuk ramai pengusaha dan peniaga kek lapis di negeri ini.

Kek tradisional Bumi Kenyalang itu cukup terkenal dengan rasanya yang enak dan dihasilkan dengan pelbagai warna yang menarik serta rasa yang berbeza.

Ia sering menjadi pilihan ramai pengunjung yang datang dari Semenanjung sehinggakan para peniaga tidak menang tangan memenuhi permintaan luar jangka.

“Penjualan melonjak kira-kira 20 peratus kerana peningkatan bilangan pelanggan,” kata Pengurus Mira Cake House, Nur Fariza Junaidi dipetik dari laporan mStar Online.

Kebanyakan kek lapis bersaiz biasa di jual pada harga RM10.

Menurut Nur Fariza, ada antara penggemar kek tersebut yang sanggup membelanjakan sehingga RM600 semata-mata untuk dibawa balik ke Semenanjung.

“Perniagaan berada dalam keadaan baik kerana pilihan raya negeri ini. Lebih ramai orang datang dan kami menjangkakan penjualan meningkat menjelang beberapa minggu akan datang,” katanya.

Malah menurutnya lagi, pada Ahad lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut tidak melepaskan peluang membuat kunjungan mengejut ke kedainya semasa melakukan walkabout di Kampung Boyan di sini.

Kedai kek milik Nur Fariza itu turut menghasilkan kek lapis unik seperti kek lapis Tun Razak yang dihasilkan dari adunan pandan dan coklat.

Selain itu, terdapat juga kek lapis yang mempunyai rasa Nescafe dan Milo.

Nur Fariza berkata kedainya itu turut menerima tempahan khas untuk menghasil kek lapis istimewa bersaiz besar yang menggunakan warna Barisan Nasional.

“Susulan saiz kek itu yang besar, harganya mencecah antara RM300 dan RM400,” katanya.
Share:

Operator Kilang Hina Islam Di Facebook Ditahan

jenayah

GEORGETOWN – Polis menahan seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik status berbaur hasutan dan menghina Islam yang menjadi viral sejak Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata lelaki berusia 26 tahun dan bekerja sebagai operator kilang itu ditahan di Sungai Petani, Kedah pada 12.15 tengah malam tadi.

“Pada Isnin lepas, seorang pegawai polis yang bertugas di Bilik Gerakan (Kontijen Pulau Pinang) menerima satu WhatsApp daripada pemberi maklumat bahawa terdapat satu akaun Facebook seorang lelaki yang memberi komen berbentuk hasutan dan menghina agama serta berbahasa kesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata polis merampas telefon bimbit dan sim kad yang dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk memuat naik status berkenaan.

Abdul Ghafar berkata lelaki itu direman tiga hari sehingga Jumaat ini. – Bernama
Share:

Angkasa Beri Penghargaan Kepada Pelanggan






PETALING JAYA - Sejumlah 1.5 juta pelanggan individu potongan gaji Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal menerima penghargaan berupa diskaun, baucar dan juga insurans bernilai sehingga RM20,000.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, program julung kali diadakan itu bagi menghargai pelanggan individu potongan gaji Angkasa yang mendapatkan perkhidmatan daripada Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Perbankan (BPKP) Angkasa sebagai penyedia perkhidmatan.

"Ia bagi memberi penghargaan secara terus kepada pelanggan individu potongan gaji Angkasa. Ini yang pertama kali kita buat, sebelum ini tidak ada penghargaan kepada pelanggan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kesetiaan Pelanggan Individu Potongan Gaji Angkasa di sini, Rabu.

Abdul Fattah berkata ada dua kategori organisasi pelanggan yang berdaftar dengan Angkasa yang mana transaksi daripada kedua-dua kategori ini mewujudkan pelanggan individu potongan gaji seramai 1.5 juta.

"Kategori pertama ialah organisasi pelanggan yang mengeluarkan produk seperti produk pembiayaan dan insurans manakala yang kedua ialah organisasi pelanggan majikan yang menjadi pusat pembayar kepada Angkasa.

"Kategori kedua ini meliputi jabatan dan agensi seperti Jabatan Akauntan Negara, Majlis Daerah Tempatan dan syarikat swasta," katanya.

Abdul Fattah berkata bagi kategori penghargaan pertama, pelanggan individu potongan gaji akan menerima pemberian Kad Mesra Petronas/Angkasa dengan diskaun dan baucar daripada rakan niaga terpilih seperti Zalora, Petrosains, Resort World Sentosa, Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Lost World Hotel, dan Twin Tours Fitness Centre.

"Lain-lain imbuhan termasuk 150 bonus mata ganjaran Mesra untuk kad baharu dan gantian, dan setiap pembelian satu liter bahan api, mereka akan dapat satu mata ganjaran Mesra dan juga pembelian RM1 di kedai Mesra pula akan menerima satu mata ganjaran Mesra dan jemputan eksklusif ke acara yang dianjurkan Petronas (Petroleum Nasional Bhd)," katanya.

Abdul Fattah berkata kategori kedua pula akan menerima insurans kemalangan peribadi bernilai RM20,000 secara percuma selama setahun menerusi satu daripada subsidiari Angkasa, MyAngkasa Sdn Bhd.

"Insurans secara percuma ini akan membantu melindungi pelanggan individu potongan gaji Angkasa jika mereka menghadapi musibah yang berkaitan kehilangan upaya akibat kemalangan," katanya.

Beliau juga yakin program seperti ini dapat membantu pelanggan dengan kelebihan yang ditawarkan melalui Kad Mesra Petronas Angkasa dan berharap jalinan hubungan antara Angkasa bersama pelanggan organisasi dan individu ini dapat diteruskan untuk kepentingan bersama.

- BERNAMA
Share:

Pekerja Mahir, Penyelia Tapak Binaan Wajib Ada Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB Mulai 1 Jun



Semua pekerja binaan mahir dan penyelia tapak binaan wajib memiliki Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mulai 1 Jun sebelum mereka dibenarkan bekerja di tapak pembinaan.

Kriteria terbaharu itu dimaklumkan Pengarah CIDB Johor Othman Safar sebelum mengetuai satu operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah tapak pembinaan berhampiran Taman Tema Legoland, di sini hari ini.

Katanya, ia terpakai ke atas semua pekerja binaan mahir termasuk penyelia tapak warga tempatan dan asing, namun tidak dikuatkuasakan terhadap pekerja binaan am.

"Buat masa ini, sijil kemahiran ini diberi percuma kepada pekerja binaan mahir tempatan manakal penyelia tapak dan pekerja binaan mahir asing pula, dikenakan bayaran antara RM370 hingga RM700 bergantung kepada jenis kemahiran.

"Untuk mendapatkan sijil itu, mereka perlu menjalani latihan minima antara lima hingga 10 hari bergantung kepada jenis kemahiran atau melalui kaedah penilaian atau ujian selama sehari," katanya kepada Bernama di sini.

Mengikut Jadual Ketiga Seksyen 2 dan Subseksyen 33A(2) Akta 520 (Akta CIDB), terdapat sebanyak 59 jenis pekerja binaan mahir yang perlu mendapatkan perakuan atau sijil kecekapan kemahiran.

Ini termasuk pemasang penghawa dingin bangunan, tukang kayu, pemasang siling, penjaga jentera, pelukis pelan kerja awam dan struktur, pengendali kelengkapan pam konkrit, pekerja logam, jurugegas paip gas bangunan, tukang cat, pengendali mesin pengorek dan pemasang alat melawan kebakaran.

Sehingga kini, seramai 61,871 pekerja tempatan dan asing telah memiliki sijil kecekapan berkenaan di Johor.

Othman menambah, kegagalan untuk mematuhi kriteria itu akan menyebabkan pekerja dan majikan didenda tidak melebihi RM5,000.

"Namun, kita ingin tegaskan bahawa keperluan untuk memiliki sijil ini adalah untuk memastikan mereka berupaya dan sesuai menjalankan tugas mereka selain mematuhi kesemua peraturan keselamatan di tapak pembinaan," katanya.

Mengulas mengenai operasi CIDB di negeri ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 27 buah tapak projek sepanjang tahun ini bermula Januari hingga sekarang.

Daripada jumlah itu, dua projek dikesan melakukan kesalahan menggunakan khidmat empat sub-konraktor yang tidak berdaftar.

Berikutan itu, perintah untuk memberhentikan kesemua kerja yang dikendalikan sub-kontraktor terbabit di tapak pembinaan telah dikeluarkan serta merta.

CIDB juga mengeluarkan notis amaran kepada sub-kontraktor itu kerana didapati melanggar peraturan Seksyen 25(1) dan 29 Akta CIDB iaitu tidak mempunyai perakuan pendaftaran kontraktor CIDB.


- BERNAMA
Share:

Buli Siber : Mengenali Dan Menanganinya


Dengan kemudahan dan kemajuan teknologi maklumat, kita telah pun berada pada zaman maklumat diperdagangkan. Setiap feed, klik dan paparan boleh diterjemahkan kepada wang ringgit. Tidak hairanlah istilah menviralkan sesuatu semakin popular masa kini. Kerana dalam kepantasan maklumat itu bertukar tangan, setiap kali itu juga wang akan dijana.

Namun terdapat segelintir pihak yang menggunakan kemajuan dan kepantasan teknologi ini untuk tujuan yang salah. Rakaman klip sekerat yang telah dipotong kerap kali menghiasi suapan berita media sosial kita. Sekerap itu jugalah rakaman itu disebar luas tanpa mengira kesannya.

Selain daripada banyak kebaikan yang boleh diperoleh melalui internet, ia turut mengundang perkara negatif antaranya buli siber.


Statistik Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia MYCERT sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengawal selia keselamatan dalam talian telah melaporkan penurunan daripada 550 kes pada 2014 kepada 442 kes pada 2015.

Namun pemerhatian awal kecenderungan untuk kes 2016 akan meningkat seperti pada 2014 di mana dua bulan pertama 2016 mencatatkan 82 laporan gangguan siber berbanding 70 kes pada 2015 dan 98 kes pada 2014 bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan laporan tinjauan SKMM pada 2015 bilangan pengguna internet telah mencecah lebih 20 juta orang. Namun kumpulan usia 20 hingga 24 tahun merupakan kohort yang mempunyai bilangan tertinggi iaitu hampir 25 peratus daripada jumlah pengguna internet.


Faktor umur dan kematangan pengguna sedikit sebanyak mempengaruhi trend yang berlegar di media sosial. Juga peningkatan jumlah pengguna daripada pelbagai latar belakang juga menjemput permasalahan yang rencam bentuknya.

Buli siber berlaku dalam pelbagai keadaan dan rupa, ia juga dilakukan oleh mereka daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum, agama dan usia.

Kemajuan algorithm media sosial terkadang menyebabkan kita juga bersubahat dengan perkara itu apabila kita memberi komentar, berkongsi pautan dan mengetik butang 'suka' pada sesuatu gambar, mesej atau video yang mengandungi unsur yang mengaib individu atau kumpulan tertentu.

Namun saban hari kita melihat sisipan gambar dan klip video yang berlegar di internet membuatkan kita bertanya adakah ia telah menjadi budaya. Lebih mengejutkan ada sesetengah video sengaja disunting untuk mengelirukan penonton sebagaimana yang kerap kali kita lihat di klip video yang melibatkan penguatkuasa.

Bahkan baru-baru ini tersebar klip video yang dimuat naik insiden dalam bilik guru sebagimana yang dilaporkan oleh freemalaysiatoday.com pada 28 Mac yang lepas. Dalam klip itu seorang pelajar perempuan memarahi rakan sekelasnya dalam keadaan berlutut dan menangis, tetapi reaksi netizen bersahaja dan langsung tidak menganggapnya sebagai buli, lebih mengecewakan apabila video itu disyaki dirakam oleh seorang guru.


Tidak kurang juga kes-kes pergaduhan yang berlaku contohnya pergaduhan pada majlis akad nikah yang dipercayai berlaku di masjid kerana kurangnya wang hantaran, dalam masa yang singkat pengguna media sosial dapat mencari identiti wanita terbabit lalu menghukumnya dengan meletakkan kata-kata mengaibkan seperti "Pengantin untuk dijual" dan sebagainya.

Takrif buli mengikut Kamus DBP edisi ke-4; 1. perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yg baru; 2. membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yg lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya orang yang berkenaan.

Jelas dalam perihal ini takrifan kedua yang diambil kira. Di mana pelakunya mengambil kesempatan ke atas orang yang lebih lemah (vulnerable) dengan sokongan digital, di mana fungsi ketanpanamaan (anonymity) dan kerahsiaan menjadi penguat kerana mereka boleh berlindung dan memadamkan jejak digital mereka menggunakan perisian yang ada.

Berbeza dengan buli secara bersemuka di mana perbuatan tersebut berlaku dalam keadaan terhad, iaitu tertentu di sesuatu tempat, dalam bilangan pelaku yang relatifnya terhad dan tidah boleh dipindah.

Buli siber menjadi lebih parah kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan lebih menakutkan ia dilakukan oleh orang yang tidak dikenali dalam jumlah yang banyak dan tidak keterlaluan kita katakan ia boleh mencapai ribuan bahkan jutaan pembuli dalam satu-satu masa.

Anda telah dibuli atau melihat pembulian berlaku, apa yang patut dilakukan? Jika anda merasakan diri anda telah dibuli atau anda melihat pembulian telah berlaku, sebagai pengguna internet yang bertanggungjawab, berikut merupakan intipati dari beberapa website anti buli siber dan panduan dari penyedia media sosial seperti ; facebook, Twitter, http://www.stopbullying.gov/ , http://www.deletecyberbullying.org/ , http://www.bullying.co.uk/.

1-Laporkan pada pemilik platform pembulian berlaku. Sama seperti buli secara berdepan, buli atas talian juga memerlukan medium dan platform untuk berlaku. Sekiranya ia berlaku dalam media sosial, anda boleh melaporkan kepada pengendali media sosial terbabit.

Facebook contohnya mempunyai piawai komuniti yang ketat, di mana setiap laporan terhadap mana-mana status atau posting yang dilihat melanggar piawaian komuniti akan diambil tindakan dalam masa yang singkat begitu juga dengan platform lain seperti blog, twitter dan sebagainya. Internet Service Provider juga mempunyai piawaian mereka yang boleh membantu anda menghentikan pembulian ini.

2-Abaikan. Sekiranya pembulian melibatkan kata-kata kesat dan tidak menganggu keselamatan, abaikan sahaja, kerana kebiasaannya pembuli akan hilang minat sekiranya tiada reaksi balas. Block, ban atau putuskan perhubungan dengan pembuli tersebut akan membantu anda.

3-Sekiranya ingin melaporkan kepada penguatkuasa, pastikan setiap perkara didokumentasi dengan terperinci untuk memudahkan siasatan. Laporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur kekerasan dan ancaman.

4-Hindarkan daripada sesuatu yang boleh memberi akses kepada anda terhadap pembulian itu. Antaranya anda boleh nyah-aktifkan akaun anda buat sementara waktu sehingga kes selesai.

5-Dapatkan bantuan daripada mereka yang anda percaya boleh memberi nasihat dan sokongan.

6-Sebar luaskan pengetahuan mengenai buli siber. Kerana kurangnya pendedahan mengenai perincian buli siber dan bahayanya membuatkan sesetengah pihak tanpa sedar terlibat dalam proses terbabit.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Bernama akan apa yang diperkatakan penulis).

BERNAMA
Share:

Kes Tangkapan Ular Meningkat Di Seluruh Negara

ular

 ‘Tetamu tak diundang’ boleh menjadi satu kejutan yang mengujakan, tetapi yang pasti ular adalah tetamu yang tidak pernah dialu-alukan berada di pintu rumah.

Bagaimanapun, disebabkan fenomena El Nino, kes ular terperangkap di dalam rumah, bangunan dan berhampiran dengan habitat manusia menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak dua bulan lepas.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah merekodkan sebanyak 3,780 kes pada Mac dan 3,708 kes pada Februari di seluruh negara, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mencatatkan 973 kes pada Mac dan 899 kes pada Februari di seluruh negara.

Menurut Lt Kol Mohd Azhar Mujab daripada Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, peningkatan dalam jumlah kes sebenarnya bermula sejak Disember 2015 kerana perubahan cuaca, dari musim hujan ke iklim lebih panas dan ia menjadi lebih teruk dengan fenomena El Nino.

“Ular akan berpindah ke tempat baru jika habitat lama mereka musnah atau tidak lagi sesuai untuk mereka,” katanya.

“Ular-ular ini mungkin sedang mencari tempat-tempat yang lebih sesuai kerana cuaca panas memandangkan haiwan ini lebih suka untuk berehat di celah-celah daun dan batu-batu serta akar pokok.”

Sekiranya orang ramai terjumpa ular dalam rumah mereka, beliau menasihatkan mereka untuk bertenang dan tidak melakukan provokasi terhadap ular berkenaan.

“Cuba kenal pasti jika ular itu adalah berbisa. Jika anda tidak pasti, anggaplah ia bahaya,” kata beliau sambil menambah orang ramai perlu segera menghubungi anggota pertahanan awam atau bomba.

Statistik daripada kedua-dua jabatan juga menunjukkan bahawa Selangor mencatatkan kiraan yang paling tinggi setakat ini dengan 830 kes, hanya pada bulan lepas.

Penolong Pengarah Operasi  Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata gabungan faktor musim panas dan peningkatan dalam pembakaran terbuka telah menyebabkan banyak binatang berbisa seperti ular keluar mencari habitat yang lebih sejuk.

“Mereka akan mencari tempat-tempat yang lebih sejuk yang dirasakan selamat seperti di bawah almari dan kerusi, serta dapur dan bilik air,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak memprovokasi ular kerana dalam tempoh itu, ular terlalu sensitif dan agresif.

“Ular berbisa seperti ular tedung, ular tedung ‘King Cobra’ dan katam tebu boleh membunuh dalam sekelip mata jadi kita perlu berwaspada dengan persekitaran,” katanya.

Ahli herpetologi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Indraneil Das menasihatkan orang ramai supaya membersihkan kawasan pinggir rumah mereka untuk menghalang reptilia daripada masuk.

“Sekiranya dipatuk ular, adalah penting untuk memastikan beberapa perkara terutamanya jenis ular itu, untuk menentukan sama ada ia berbisa atau tidak.

“Sekeping gambar, walaupun yang diambil dengan telefon bimbit adalah sangat membantu,” kata Dr Indraneil.

Beliau berkata, gambar dan latar belakang kes yang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia oleh doktor yang merawat akan membantu sepasukan pakar untuk mengenal pasti spesies dan mencadangkan serum anti-venom dan bantuan perubatan khusus yang sesuai. – mstar
Share:

PM Najib Hadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera – 21 April 2016

MEB 1

Kenyataan Media Perdana Menteri
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
di Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera
21 APRIL 2016


Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kementerian
1. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan sebanyak 98 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi 25 Kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM). Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang bermesyuarat pada hari ini mengambil maklum bahawa kesemua 25 kementerian telah mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus KPI yang telah ditetapkan. Daripada jumlah keseluruhan, 20 kementerian telah berjaya mencapai sasaran 100 peratus yang telah ditetapkan. Ini merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan.
2. Penetapan KPI ini adalah penting dalam memastikan Agenda PEB sebagai agenda nasional yang dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Pelaksanaannya yang merentasi kementerian juga adalah selari dengan usaha Kerajaan dalam membangunkan negara secara inklusif. Antara pencapaian utama pelaksanaannya bagi tahun 2015 adalah:
• Bilangan syarikat vendor dan “anchor” dalam Program Pembangunan Vendor ditingkatkan daripada 68 syarikat pada 2014 kepada 90 syarikat pada tahun 2015;
• Pemilikan hartanah komersil di kawasan strategik oleh usahawan Bumiputera dan peningkatan nilai aset menerusi Skim Penyewaan dan Pemilikan Hartanah (SPPH) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencatatkan pencapaian sebanyak 98.3 peratus;
• Nilai kontrak sebanyak RM 4.1 bilion (kumulatif) diberikan kepada kontraktor Bumiputera bagi menjayakan projek High Speed Broadband; dan
• Pemindahan teknologi kepada Bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM 120.8 juta dan penjenamaan nilai pasaran sebanyak RM 2.3 bilion.
MEB 2
3. Susulan itu, bagi tahun 2016, selari dengan strategi dan sasaran outcome yang digariskan di bawah Teras 1: Memperkukuh Inklusiviti ke Arah Masyarakat yang Saksama, Rancangan Malaysia Ke-sebelas yang memfokus kepada pengukuhan peluang komuniti ekonomi Bumiputera bagi meningkatkan pemilikan kekayaan. Dalam hal ini, sebanyak 93 KPI bagi 25 kementerian termasuk JPM telah diperakukan oleh MEB. Ke arah itu, penetapan KPI pada tahun ini dilihat mempunyai impak yang tinggi, lebih bersifat outcome-based dengan sasaran yang lebih tinggi berbanding tahun 2015.
4. Justeru, dalam memastikan pelaksanaan KPI PEB kementerian selari dengan strategi Rancangan Malaysia Kesebelas, antara KPI yang telah ditetapkan bagi tahun 2016 adalah:
• Mencapai 50.6 peratus nilai kontrak Bumiputera (2017) berbanding keseluruhan kos projek dalam projek MRT 1 dan mencapai 25 peratus nilai kontrak Bumiputera berbanding keseluruhan kos projek Merdeka PNB 118 Tower (Warisan Merdeka);
• 30 peratus agihan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan lebuhraya- lebuhraya utama (seperti WCE, DUKE2, EKVE & SUKE); dan
• Satu penghasilan kajian pembangunan kerangka operasi dan pelan perniagaan Perbadanan Wakaf Nasional Berhad.
MEB 3
5. Impak pelaksanaan bagi kesemua KPI PEB ini dapat melonjakkan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat Kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
6. Sukacita saya juga berkongsi di sini perkembangan dan laporan prestasi pencapaian pelajar tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi pengajian pensijilan perakaunan profesional seperti CAT, CBA, CFAB, ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ telah menunjukkan purata peratusan yang memberangsangkan, di mana kelulusan pelajar tajaan Yayasan Peneraju bagi kesemua pensijilan tersebut adalah sebanyak 75.3% berbanding kadar purata kelulusan global sebanyak 67.6%. Sebentar lagi, kita akan menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kolaborasi Strategik di antara Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dengan pihak Yayasan Pahang menerusi program Peneraju Profesional Akauntan Muda di bawah Skim Yayasan Pahang dengan kos lebih kurang RM1.2 juta.
7. Selain itu, Kerajaan terus komited dalam memastikan pembinaan kapasiti berterusan di kalangan usahawan dan pengeluar Bumiputera agar mereka dapat bersaing di luar negara. SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melaksanakan Program Galakan Eksport Bumiputera. Sejumlah 400 syarikat SME Bumiputera disasar untuk ditingkatkan keupayaan eksport mereka menjelang tahun 2020. Satu pakej bantuan bersepadu meliputi kemudahan pembiayaan kewangan dengan komponen seperti pembungkusan, pensijilan dan pengurusan sistem kualiti serta pembangunan dan inovasi produk akan disediakan.
MEB 4
- Najib Razak.com@NR


Share:

My Beras 85, 401 Keluarga Layak


Seramai 85,401 keluarga miskin tegar layak menerima bantuan 20 kilogram (kg) beras percuma setiap bulan menerusi program MyBeras.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jumlah penerima bantuan itu dibuat berdasarkan data e-Kasih yang dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sehingga 15 Mac lepas.
“Menurut data daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pula, seramai 12,467 keluarga miskin tegar orang Asli berhak menerima bantuan beras percuma di bawah program itu,” katanya pada persidangan Dewan Negara, Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Lucas Umbul mengenai langkah kementerian dalam mengagihkan beras MyBeras kepada golongan sasar serta kriteria yang diperlukan bagi melayakkan mereka memohon program itu.
Ahmad Shabery berkata tiga negeri utama yang akan menerima bantuan di bawah program itu ialah Sabah iaitu 31,055 keluarga, diikuti Sarawak 30,094 keluarga dan Kelantan seramai 13,417 keluarga.
Ahmad Shabery berkata kerajaan telah menetapkan penerima MyBeras adalah berdasarkan data miskin tegar e-Kasih yang merupakan rujuk tunggal Data Kemiskinan Nasional dan senarai miskin tegar Orang Asli di bawah data eDamak yang diselaraskan Jakoa.
Paras garis kemiskinan tegar yang diguna pakai ICU yang ditetapkan Unit Perancang Ekonomi bagi sebuah isi rumah adalah RM580 sebulan di Semenanjung Malaysia, RM710 bagi Sabah dan Labuan, manakala RM660 sebulan di Sarawak.
Kepada soalan tambahan Senator Datuk Mohd Salim Sharif mengenai tarikh pelaksanaan program MyBeras, Ahmad Shabery berkata ia dijadualkan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 7 Mei 2016.
“Sepatutnya (program MyBeras) sudah dilaksanakan. Tetapi kita tidak mahu ia dipolitikkan sebab sekarang pilihan raya itu sudah hampir. Jadi kita akan tunggu selepas pilihan raya Sarawak,” katanya.
Program MyBeras diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lepas. Di bawah program itu setiap keluarga yang layak akan menerima 20kg beras setiap bulan dari Mei hingga Disember tahun ini.

Share:

Tarif Bil Elekrtik Meningkat Salah Siapa..??..


Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui laman Facebooknya TNB Careline dilihat memberitahu tiada sebarang kenaikan tarif.
Sebaliknya pihak TNB mengatakan fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas melampau menyebabkan bil elektrik meningkat.
Apa kaitan cuaca panas dengan kenaikan mendadak bil elektrik ini? pasti ramai yang hendak tahu apa kaitanya.
Seorang pengguna Facebook bernama Mohd Fikrie Yahya yang dilihat ariff dalam bidang ini telah tampil menceritakan apa kaitan cuaca panas melampau dengan kenaikan tarif elektrik yang mendadak ini sedangkan penggunaan sama seperti bulan sebelumnya.
Jom kita baca pencerahan di bawah ini:
Ilmu tariff eletrik
Dah heboh di page sana sini bill elektrik meningkat bulan ni. ilmu yang diajar lecturer dan juga tok guru di TNB aku nak turunkan pada semua warga facebook supaya masing2 akan faham. insyaallah bila tak kedekut ilmu kita akan diberi ilmu lebih lagi.
Saya sertakan satu formula elektric, joule’s law
H = i^2 x r X t
Dari formula ni, kita dapat tahu haba akan mengubah jumlah arus.
Dalam situasi harian, suhu di dalam sesuatu kediaman boleh memberi kesan pada aliran arus elektrik dalam rumah. elektrik kita tak boleh nampak jadi saya perlu bagi penjelasan kenapa TNB careline bagi keterangan sebab efek el nino.
Contoh mudah:
Peti ais
Dalam cuaca suhu bilik biasa, 27 darjah celcius. satu peti ais akan menggunakan sejumlah unit elektrik untuk mengekalkan suhu di dalam peti ais dari 27 C ke 0 C. untuk mengurangkan suhu sebanyak 1 C, jumlah tenaga diperlukan ialah 4.19 kJ/kg.C.
Cara kiraan mudah, untuk mengurangkan suhu 200ml air dalam peti ais hingga menjadi ais kiub,
200ml = 200gram
0.2kg x (27-0)C x 4.19 = 26.46 kJ tenaga diperlukan untuk tukar air menjadi ais. ini dalam teori sahaja, dari segi praktikal lebih banyak tenaga diperlukan atas beberapa faktor.
Dalam fenomena el nino, suhu persekitaran bukanya 27 C, tetapi ada yang mencecah 36C hingga 40C.
Jadi dalam situasi sama semasa fenomena el nino,
0.2kg x (36-0)C x 4.19 = 30.168kJ tenaga diperlukan.
Dalam situasi biasa, hanya 26.46kJ je diperlukan tapi bila ada je elnino, terus up jadi 30.168kJ. ni dari segi teori…praktikal pulak lebih dari jumlah ni.
Beza suhu sebegini membuatkan peti ais kita bekerja lebih keras dan guna lagi banyak elektrik untuk kekalkan suhu sejuk.
Nak mudah faham lagi, Bukan peti ais sahaja guna kompressor.. air cond juga sama.
Kita dulu kita set 20°.. sekarang tetap tidak berubah 20°.. tetapi disebabkan cuaca panas. Compressor perlu bekerja lebih untuk mencapai tahap suhu 20°.. sama juga dgn peti sejuk.. kita tidak pernah ubah set suhu sejak dari beli. Tapi bila suhu luar naik memdadak.. compressor perlu bekerja lebih.. ini yang kita perlukan terangkan pada pengguna
Wiring dalam rumah juga memberi kesan pada penggunaan elektrik.
Sesetengah kontraktor tidak membahagikan beban elektrik pada pendawaian rumah. ada situasi wiring tambahan tidak ditarik dari DB tapi disambung pada port soket. j
Jika wayar panas disebabkan penggunaan elektrik yang banyak,ia juga bagi kesan bill elektrik meningkat. kontraktor sebegini menipu pelanggan dan tidak pasang wayar ikut spesifikasi suruhanjaya tenaga. ada kes air cond terbakar sebab wayar terlalu panas.
Sebenarnya ramai pengguna kurang faham dgn tariff elektrik. harga seunit makin tinggi bila penggunaan tinggi mengikut blok tariff. Tujuannya adalah utk menggalakkan penjimatan. Jika kWh makin banyak.
Maka harga blok tarif slps itu juga berbeza. Tarif blok ini hanya utk pengguna domestik shj dan tarif domestik ini masih disubsidikan. Pengguna industri dan komersial berbeza. ramai pengguna yg heboh2 kat media sosial ni berlagak macam pandai tapi tariff letrik utk rumah tak boleh faham.
harap lepas ni rakyat malaysia lebih berilmu dan kurang tunding jari salahkan pihak lain..

Share:

Beri Peluang Koperasi Pasar Beras Untuk Elak Monopoli


Kerajaan disaran memberi peluang kepada pergerakan koperasi untuk menjadi saluran baharu pengedar beras negara, selain Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Menurut Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah , cadangan itu dilihat dapat memastikan pengedaran beras dilakukan secara lebih adil tanpa sebarang monopoli.

"Sekiranya perkara ini dipertimbangkan, maknanya beras daripada koperasi Vietnam boleh masuk ke Indonesia sebagai contoh menggunakan koperasi Indonesia, begitu juga dengan Filipina," katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Duta Besar Vietnam di Malaysia, Pham Cao Pong di kedutaan itu.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Pertubuhan Koperasi Asean (ACO) berkata cadangan itu akan membolehkan warga koperasi, khususnya penanam padi dibantu untuk memasarkan terus hasil tanaman mereka.

Beliau berkata selaku penyandang kerusi pengerusi ACO kini, Malaysia komited untuk menjayakan cadangan itu dan sekiranya mekanisme itu berjaya, ia boleh diperluas ke negara-negara ASEAN lain.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan Pham, beliau berkata ia bertujuan membincangkan isu-isu bilateral berkenaan peluang perniagaan yang melibatkan koperasi di Vietnam, Malaysia dan juga negara ASEAN yang lain.


Share:

Dewan Negara: 15 Individu Disiasat Di Bawah OSA Dari 2010 Hingga 2015


Sebanyak 15 individu telah disiasat kerana membocorkan rahsia rasmi kerajaan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sejak 2010 hingga tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, empat individu telah dituduh di mahkamah.

"Dua individu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak dan kes masih dalam perbicaraan manakala dua lagi individu dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan namun dilepas dan dibebas pada 16 April tahun lalu.

"Rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwa atas keputusan tersebut dan perbicaraan rayuan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 25 Mac dan 7 April tahun ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu jumlah individu yang disiasat dan didakwa kerana membocorkan rahsia rasmi kerajaan sejak OSA 1972 diluluskan di Parlimen.

Azalina berkata walaupun pada masa ini dilihat banyak insiden pembocoran rahsia kerajaan, namun teknologi maklumat menjadi satu cabaran besar susulan akta yang diguna pakai pada masa sekarang tidak merangkumi kebocoran maklumat melalui teknologi maklumat.

Katanya Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) mempunyai cabaran berat dalam mengumpul maklumat jika maklumat atau rahsia kerajaan dibocorkan melalui aplikasi teknologi.

"Jika ada kes ambil gambar maklumat melalui aplikasi WhatsApp dan menyebarkannya, individu itu boleh katakan telefonnya dipakai oleh orang lain, begitu juga jika maklumat dipadam, kita perlu minta bantuan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk dapatkan semula maklumat itu, ini cabaran-cabaran yang perlu kita depani," katanya.

Justeru, katanya perlu ada pindaan dan perubahan dalam akta sedia ada supaya perlindungan maklumat dan rahsia kerajaan diletakkan di tempat lebih tinggi.


- BERNAMA
Share:

Seramai 131,841 Penagih Dikesan Sejak Januari 2010 - TPM



Seramai 131,841 penagih dadah dikesan dalam negara sejak Januari 2010 hingga Februari lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata menurut statistik yang dikeluarkan Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), penagih lelaki adalah seramai 127,797, manakala 4,044 orang merupakan penagih dalam kalangan wanita.

Katanya penyalahgunaan dadah dalam kalangan individu berusia 20 hingga 39 tahun merekod bilangan tertinggi iaitu 93,044 orang, diikuti penagih berusia 40 tahun ke atas seramai 29,355 orang, manakala penagih berumur 19 tahun ke bawah seramai 8,732 orang.

"Dari tahun 1983 sehingga kini, dadah masih menjadi musuh nombor satu negara," katanya pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Chin Han yang ingin tahu statistik penagih dadah mengikut umur dan jantina bagi tempoh 2010 sehingga kini serta langkah yang diambil untuk mengatasi penyalahgunaan dadah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan bahawa penagih dadah paling muda yang dikesan ialah berusia tujuh tahun.

"Mereka diberi dadah dalam gula-gula, diberi percuma kepada anak-anak. Apabila ketagihan mula membara dan merosakkan saraf minda mereka, maka mereka perlu wang untuk membeli (dadah) selanjutnya," katanya.

Beliau berkata meskipun terdapat lima akta digubal dalam usaha menghapuskan dadah dengan mengenakan hukuman yang keras termasuk mati mandatori, namun kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih wujud di negara ini ekoran terdapat permintaan daripada penagih serta bekalan yang disediakan pengedar.

Sehubungan itu katanya kerajaan akan terus komited dalam usaha membasmi dadah dan menjadikan negara bebas daripada dadah selaras dengan pengisytiharan Tahun 2016 sebagai 'Tahun Memerangi Dadah Secara Habis-habisan.'

Beliau berkata kementerian itu melalui AADK telah melaksanakan beberapa strategi untuk membanteras dadah sehingga ke akar umbi termasuk pencegahan, rawatan perubatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.

Kepada soalan tambahan Koh mengenai usaha membanteras sindiket dadah dengan menangkap 'king pin' atau raja dadah, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mempergiatkan usaha itu menerusi penubuhan Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING).

"Sejak STING ditubuhkan tahun lalu, kita merampas bahan-bahan dadah (bernilai) setengah bilion dan cekup beberapa king pin dan beberapa yang mengaku ahli kimia yang membuat makmal di kondominium dan bangunan mewah," katanya.

Beliau berkata PDRM juga turut mempertingkatkan penguatkuasaan dengan m
emperluaskan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa dalam berkongsi maklumat risikan dan kemahiran.

- BERNAMA
Share:

JAKIM Saran Solat Istisqa Di Seluruh Negara Esok

ALOR SETAR 30  MARCH 2016. Orang ramai menunaikan Solat Istisqa (solat sunat mohon turun hujan) yang diimamkan oleh Imam Besar, Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim di hadapan Masjid Zahir.  NSTP/
AMRAN HAMID

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan agar umat Islam dan masjid di seluruh negara mengadakan solat Istisqa’ (memohon hujan) selepas solat Zuhur esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, langkah itu ialah bagi memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi mengatasi musim kemarau panjang sekarang, menghindari panas melampau dan agar cuaca kembali pulih seperti sedia kala.

“Saya meminta masjid utama di bawah kelolaan Jakim seperti Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (kedua-duanya di Putrajaya) serta seluruh masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Istisqa’.

“Di samping itu saya memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia agar dapat mengadakan solat Istisqa’ di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Fenomena cuaca panas akibat gelombang haba dan El Nino yang melanda negara dijangka berlanjutan hingga bulan Jun ini. – BERNAMA
Share:

Ziarah Kasih Bersama KRT Tanjung Piandang




Perpaduan ialah penyatuan, yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Perpaduan dalam bermasyarakat ringkas atau biasa ianya berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi.


Bersandarkan pada etika perpaduan..KRT Tanjung Piandang dan AJk. ..telah mengatur satu program ziarah kasih. Hari ini 15 hb April pada jam 3.30 petang..usai mengambil barang untuk sumbangan.. diketuai oleh Pn Hasnah selaku pengerusi dan AJK KRT.memulakan langkah ziarah kasih ke rumah yang pertama 


Kerjasama dari semua AJK amat membantu program ini berjalan dengan lancar.
Tiap AJK mempunyai peranan yang tersendiri. Bermula dengan mengenalpasti penerima sumbangan.. membeli barangan sumbangan seterusnya tiba ke hari perlaksanaan ..semuanya teratur.
Seramai dua belas orang yang disenaraikan untuk dilawati.  Sumbangan diberi tanpa mengira kaum. Walaupun sumbangan yang diberi tidaklah besar .. seperti kata pepatah memberi lebih elok dari menerima..
Membantu setakat yang mampu..lebih penting adalah mendekati ..memahami dan berkongsi rasa..senyuman  yang dipamerkan oleh penerima menyatakan rasa hati mereka..
Tahniah pada semua yang terlibat.

#ziarahkasih
#KRT




Share:

Pelajar Harus Ada Integriti Bayar Balik Pinjaman PTPTN - Mary Yap




PETALING JAYA - Pelajar yang telah menamatkan pengajian harus mempunyai integriti dan kejujuran untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata, pelajar tidak seharusnya lari daripada tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman mereka.

"Ini melibatkan integriti," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2016 di Bandar Sunway, di sini hari ini.

Mary Yap berkata sistem PTPTN di negara ini setanding dengan sistem pembayaran balik pinjaman di United Kingdom dan negara-negara maju yang lain.

Pada 23 Mac, Dewan Rakyat diberitahu bahawa seramai 662,983 peminjam gagal membayar balik pinjaman PTPTN berjumlah sehingga RM5.4 bilion setakat 31 Dis tahun lepas.

Mary Yap juga berkata, walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar, kerajaan masih memberi penekanan kepada pendidikan tinggi dengan menyediakan peruntukan RM13.8 bilion.

Beliau berkata 20,000 biasiswa MyBrain15 ditawarkan pada 2016 dengan 15,000 ialah bagi Program Master dan 5,000 untuk program-program (PhD) kedoktoran, peruntukan terbesar oleh kementerian setakat ini.

Beliau berkata kerajaan juga menyasarkan untuk melahirkan 60,000 pelajar PhD menjelang 2023 melalui program MyBrain.

Sidang kemuncak itu merupakan persidangan pendidikan tahunan dengan menghimpunkan pembuat keputusan, penggubal dasar, ahli akademik dan pelabur untuk membincangkan isu-isu pendidikan yang dihadapi negara.

Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).


- BERNAMA
Share:

Perak Terbuka Terima Kunjungan Dr Zakir

Zakir Naik

IPOH - Kerajaan Perak bersikap terbuka kepada mana-mana tokoh agama yang berhasrat datang ke negeri itu bagi menyampaikan ceramah termasuk pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata Dr Zakir merupakan seorang cendekiawan Islam yang mempromosikan persefahaman antara agama berdasarkan teks-teks agama yang asli.

"Dakwaan yang mengatakan kandungan ceramah beliau menyentuh sensitiviti agama lain dan mengandungi unsur celaan agama adalah tidak benar dan hanya sangkaan semata-mata.

"Sebaliknya, golongan bukan Islam diberi keutamaan untuk ruang berdialog bagi lebih memahami Islam, bahkan dalam program-program beliau, ramai orang bukan Islam mengambil peluang mengenali Islam," katanya.

Mohd Nizar berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kerajaan negeri memandang serius isu keganasan bola sepak atau 'hooliganism' yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Beliau turut meminta penyokong Perak supaya tidak termakan dengan sebarang provokasi semasa sesuatu perlawanan, sebaliknya terus setia memberi sokongan padu kepada pasukan negeri.

Dalam penggulunggannya, Shahrul Zaman turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwa raya supaya menyiasat serta memberi keadilan sebaik mungkin terhadap kes yang melibatkan keganasan bola sepak.

"Pada sebelah pagi tadi, penyokong Perak telah diikat jamin setelah dituduh merusuh dengan senjata dalam insiden di Stadium Selayang waktu Perak menentang Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kita juga sangat sedih kerana ketika menziarahi keluarga mereka, ia menjadi satu polemik yang sangat berat kepada keluarga mereka dan risau nasib dengan anak-anak mereka," katanya.

Persidangan DUN Perak hari ini turut dimaklumkan bahawa projek rangkaian paip penyaluran gas di negeri itu akan dilaksanakan bermula 2017 di bawah rancangan boleh pinda kedua, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata projek sepanjang 140 kilometer dari Ayer Tawar, Majung ke Lembah Kinta itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Persidangan bersambung Isnin.

- BERNAMA
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages