KAK JUE BLOG'S

Tangani Peningkatan Diabetes Dengan Ubah Tabiat Makan





Mengarahkan operasi semua kedai makan dihadkan dan ditutup menjelang tengah malam bukanlah satu penyelesaian untuk menangani peningkatan penyakit diabetes di negara ini, kata ahli akademik.

Profesor Perubatan dan Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan, Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata penyakit diabetes hanya boleh dapat dikawal jika rakyat Malaysia dapat menghentikan tabiat makan tidak sihat mereka.

"Menghentikan restoran 24 jam daripada beroperasi sepanjang hari dan malam bukanlah penyelesaian yang baik... ini kerana orang akan mencari jalan lain untuk mendapatkan makanan walaupun kedai kegemaran mereka ditutup menjelang tengah malam," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas desakan Naib Presiden Diabetes Malaysia Jong Koi Chong yang meminta kerajaan supaya menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan daripada beroperasi 24 jam untuk menangani kes diabetes yang semakin meningkat di negara ini.

Mafauzy berkata yang menjadi masalah kepada rakyat Malaysia adalah bahawa mereka secara amnya tidak terlalu mengambil berat tentang kesihatan dan tidak berhati-hati tentang pengambilan makanan mereka.

"Jika tidak ada restoran 24 jam, mereka mungkin akan memasak dan makan, dan juga menyimpan makanan dan makanan ringan (di dalam peti sejuk di rumah mereka)," katanya.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, kes diabetes secara keseluruhan di negara ini telah meningkat daripada 15.2 peratus pada 2011 kepada 17.5 peratus pada tahun lepas.

Dilaporkan bahawa daripada 17.5 peratus, hanya 8.3 peratus mengetahui mereka mempunyai penyakit ini manakala 9.2 peratus pula tidak didiagnos sebelum ini.

Dalam pada itu, Mafauzy menyarankan pelaksanaan kesedaran diabetes peringkat sekolah dan program pendidikan untuk mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mencegah diabetes.

"Anak muda perlu mengetahui dan didedahkan mengenai bahaya diabetes supaya mereka dapat mengamalkan tabiat makan yang sihat," katanya, sambil menambah kata bahawa di Singapura, sekolah dengan pelajar obes dikehendaki melakukan lebih banyak aktiviti fizikal selepas kelas.

"Adalah baik untuk sekolah-sekolah kita mengamalkan aktiviti ini," katanya.

Pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia Prof Datuk Dr Nik Nasri Nik Ismail berkata melaksanakan program kesedaran diabetes sahaja tidak cukup kerana yang utama, rakyat Malaysia mesti mengubah sikap mereka terhadap makanan.

"Ia mengenai menukar tabiat makan kita dan mengawal pengambilan makanan kita, dan melatih diri kita untuk melakukan aktiviti fizikal di sekitar kejiranan.

"Kewujudan restoran dan kedai makan 24 jam serta restoran makanan segera mungkin menyumbang kepada peningkatan dalam kes-kes diabetes di Malaysia, tetapi mensyaratkan mereka menutup operasi lebih awal mungkin bukan penyelesaian untuk mengurangkan kejadian penyakit tidak berjangkit ini," kata Nik Nasri, yang bertugas di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan universiti itu.

Beliau berkata di negara-negara seperti Amerika Syarikat yang tidak mempunyai banyak kedai-kedai makan 24 jam, bilangan pesakit diabetes juga semakin meningkat.

- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages