KAK JUE BLOG'S

Kes Tangkapan Ular Meningkat Di Seluruh Negara

ular

 ‘Tetamu tak diundang’ boleh menjadi satu kejutan yang mengujakan, tetapi yang pasti ular adalah tetamu yang tidak pernah dialu-alukan berada di pintu rumah.

Bagaimanapun, disebabkan fenomena El Nino, kes ular terperangkap di dalam rumah, bangunan dan berhampiran dengan habitat manusia menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak dua bulan lepas.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah merekodkan sebanyak 3,780 kes pada Mac dan 3,708 kes pada Februari di seluruh negara, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mencatatkan 973 kes pada Mac dan 899 kes pada Februari di seluruh negara.

Menurut Lt Kol Mohd Azhar Mujab daripada Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, peningkatan dalam jumlah kes sebenarnya bermula sejak Disember 2015 kerana perubahan cuaca, dari musim hujan ke iklim lebih panas dan ia menjadi lebih teruk dengan fenomena El Nino.

“Ular akan berpindah ke tempat baru jika habitat lama mereka musnah atau tidak lagi sesuai untuk mereka,” katanya.

“Ular-ular ini mungkin sedang mencari tempat-tempat yang lebih sesuai kerana cuaca panas memandangkan haiwan ini lebih suka untuk berehat di celah-celah daun dan batu-batu serta akar pokok.”

Sekiranya orang ramai terjumpa ular dalam rumah mereka, beliau menasihatkan mereka untuk bertenang dan tidak melakukan provokasi terhadap ular berkenaan.

“Cuba kenal pasti jika ular itu adalah berbisa. Jika anda tidak pasti, anggaplah ia bahaya,” kata beliau sambil menambah orang ramai perlu segera menghubungi anggota pertahanan awam atau bomba.

Statistik daripada kedua-dua jabatan juga menunjukkan bahawa Selangor mencatatkan kiraan yang paling tinggi setakat ini dengan 830 kes, hanya pada bulan lepas.

Penolong Pengarah Operasi  Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata gabungan faktor musim panas dan peningkatan dalam pembakaran terbuka telah menyebabkan banyak binatang berbisa seperti ular keluar mencari habitat yang lebih sejuk.

“Mereka akan mencari tempat-tempat yang lebih sejuk yang dirasakan selamat seperti di bawah almari dan kerusi, serta dapur dan bilik air,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak memprovokasi ular kerana dalam tempoh itu, ular terlalu sensitif dan agresif.

“Ular berbisa seperti ular tedung, ular tedung ‘King Cobra’ dan katam tebu boleh membunuh dalam sekelip mata jadi kita perlu berwaspada dengan persekitaran,” katanya.

Ahli herpetologi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Indraneil Das menasihatkan orang ramai supaya membersihkan kawasan pinggir rumah mereka untuk menghalang reptilia daripada masuk.

“Sekiranya dipatuk ular, adalah penting untuk memastikan beberapa perkara terutamanya jenis ular itu, untuk menentukan sama ada ia berbisa atau tidak.

“Sekeping gambar, walaupun yang diambil dengan telefon bimbit adalah sangat membantu,” kata Dr Indraneil.

Beliau berkata, gambar dan latar belakang kes yang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia oleh doktor yang merawat akan membantu sepasukan pakar untuk mengenal pasti spesies dan mencadangkan serum anti-venom dan bantuan perubatan khusus yang sesuai. – mstar
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages