KAK JUE BLOG'S

6 Syarikat Telekomunikasi Dikompaun Langgar Peraturan


Enam syarikat telekomunikasi termasuk tiga syarikat utama telah dikenakan kompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kesalahan berkaitan kualiti perkhidmatan jalur lebar bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, kesalahan itu melibatkan kegagalan syarikat telekomunikasi mematuhi Standard Mandatori seperti perkhidmatan jalur lebar tidak pantas.
“Tahun lepas kita keluarkan 15 kompaun,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Khamis.
Katanya semua syarikat telekomunikasi seharusnya mematuhi kualiti perkhidmatan yang ditetapkan, sekaligus memberikan perkhidmatan jalur lebar yang baik dan memuaskan kepada rakyat.
Jailani menjelaskan sejumlah tujuh Standard Mandatori bagi kualiti perkhidmatan telah didaftarkan antara 2003 hingga 2016 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Berwayar dan Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar.
Katanya, ketidakpatuhan kepada Standard Mandatori bagi kualiti perkhidmatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Jailani berkata setakat tahun ini kadar penebusan jalur lebar bagi isi rumah seluruh negara telah mencapai 72.5 peratus berbanding 50 peratus pada 2010.
Antara inisiatif KKMM di bawah Pelan Jalur Lebar Negara ialah membina 657 Pusat Internet 1Malaysia, membina 2,977 WiFi Komuniti, membina 1,000 menara telekomunikasi, menaik taraf 1,711 lokasi bawah projek Liputan Jalur Lebar Mudah Alih dan menyediakan 3,216 port jalur lebar luar bandar.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan juga menghadapi banyak cabaran dalam melaksanakan inisiatif itu seperti mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dalam hal tapak untuk membina menara telekomunikasi.
“Selain itu, turut berdepan masalah kecurian kabel yang agak serius dan pemain industri kerugian puluhan juta ringgit akibat masalah ini,” katanya.

Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages