KAK JUE BLOG'S

Angkasa Beri Penghargaan Kepada Pelanggan






PETALING JAYA - Sejumlah 1.5 juta pelanggan individu potongan gaji Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal menerima penghargaan berupa diskaun, baucar dan juga insurans bernilai sehingga RM20,000.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, program julung kali diadakan itu bagi menghargai pelanggan individu potongan gaji Angkasa yang mendapatkan perkhidmatan daripada Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Perbankan (BPKP) Angkasa sebagai penyedia perkhidmatan.

"Ia bagi memberi penghargaan secara terus kepada pelanggan individu potongan gaji Angkasa. Ini yang pertama kali kita buat, sebelum ini tidak ada penghargaan kepada pelanggan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kesetiaan Pelanggan Individu Potongan Gaji Angkasa di sini, Rabu.

Abdul Fattah berkata ada dua kategori organisasi pelanggan yang berdaftar dengan Angkasa yang mana transaksi daripada kedua-dua kategori ini mewujudkan pelanggan individu potongan gaji seramai 1.5 juta.

"Kategori pertama ialah organisasi pelanggan yang mengeluarkan produk seperti produk pembiayaan dan insurans manakala yang kedua ialah organisasi pelanggan majikan yang menjadi pusat pembayar kepada Angkasa.

"Kategori kedua ini meliputi jabatan dan agensi seperti Jabatan Akauntan Negara, Majlis Daerah Tempatan dan syarikat swasta," katanya.

Abdul Fattah berkata bagi kategori penghargaan pertama, pelanggan individu potongan gaji akan menerima pemberian Kad Mesra Petronas/Angkasa dengan diskaun dan baucar daripada rakan niaga terpilih seperti Zalora, Petrosains, Resort World Sentosa, Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Lost World Hotel, dan Twin Tours Fitness Centre.

"Lain-lain imbuhan termasuk 150 bonus mata ganjaran Mesra untuk kad baharu dan gantian, dan setiap pembelian satu liter bahan api, mereka akan dapat satu mata ganjaran Mesra dan juga pembelian RM1 di kedai Mesra pula akan menerima satu mata ganjaran Mesra dan jemputan eksklusif ke acara yang dianjurkan Petronas (Petroleum Nasional Bhd)," katanya.

Abdul Fattah berkata kategori kedua pula akan menerima insurans kemalangan peribadi bernilai RM20,000 secara percuma selama setahun menerusi satu daripada subsidiari Angkasa, MyAngkasa Sdn Bhd.

"Insurans secara percuma ini akan membantu melindungi pelanggan individu potongan gaji Angkasa jika mereka menghadapi musibah yang berkaitan kehilangan upaya akibat kemalangan," katanya.

Beliau juga yakin program seperti ini dapat membantu pelanggan dengan kelebihan yang ditawarkan melalui Kad Mesra Petronas Angkasa dan berharap jalinan hubungan antara Angkasa bersama pelanggan organisasi dan individu ini dapat diteruskan untuk kepentingan bersama.

- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages