IM4U Sentral Bakal Jadi Hab Pembangunan Belia
Dari kiri Pengarah iM4Ufm Kartini Malik, CEO iM4U Azlan Rudy Malik dan Pengarah Penjenamaan iM4U Tan Shyue Wern bergambar berlatar belakangkan iM4U Sentral
Program 1Malaysia For Youth (iM4U) yang dilancarkan sejak lebih tiga tahun lepas, melangkah setapak lagi dalam aktiviti pembangunan belia dengan kewujudan iM4U Sentral.
iM4U Sentral yang terletak di tanah seluas 2.25 hektar di Puchong, Selangor bakal menjadi hab pembangunan belia dengan menempatkan kemudahan bagi aktiviti sukan, kesukarelawan dan modal insan.
Pengarah Penjenamaan iM4U Tan Shyue Wern ketika ditemui Bernama berkata kompleks itu menempatkan arena yang dilengkapi dua gelanggang futsal; bola tampar; bola keranjang; sepak takraw; gimnasium serta aktiviti panjat tembok selain dewan serba guna dikenali 'The Ractangle' yang mampu memuatkan 500 orang.
Beliau berkata iM4U Sentral yang dinaik taraf daripada kompleks Rakan Muda Puchong sejak Januari tahun lepas, juga dilengkapi hostel yang boleh menempatkan 144 peserta bagi memudahkan belia di seluruh negara melakukan aktiviti di kompleks berkenaan.
"iM4U Sentral bakal menjadi pusat belia yang memupuk dan menggalakkan aktiviti tidak konvensional sekali gus memberi inspirasi dan manfaat kepada belia dan masyarakat dalam jangka panjang," katanya sambil menambah orang ramai boleh menyewa kemudahan berkenaan pada kadar di bawah harga pasaran.
Tan berkata kompleks dengan corak berwarna-warni dan hiasan mural, sesuai dengan gaya anak muda itu juga akan menjadi platform menggalakkan semangat kesukarelawan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Beliau berkata lebih sejuta sukarelawan berusia antara 18 dan 60 tahun yang berdaftar dengan iM4U pada masa ini dapat memanfaatkan kompleks berkenaan untuk merancang seterusnya menganjurkan sebarang aktiviti kesukarelawanan.
Katanya kompleks yang terletak bersebelahan stesen LRT Taman Perindustrian Puchong itu bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 April ini.
Perdana Menteri mencetuskan program iM4U pada Julai 2012 bertujuan menyemai semangat kesukarelawan dalam kalangan 12.5 juta belia di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Dinamik Barat Zaharruddin Abd Majid berkata kewujudan iM4U Sentral mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan belia dalam pembangunan negara.
"Konsep iM4U Sentral ini amat sesuai dengan cita rasa golongan belia dan saya percaya ia akan memberi impak dalam pembangunan sukan dan aktiviti kesukarelawan," katanya.
Justeru, Zaharruddin berharap kompleks berkenaan dapat dibangunkan di setiap negeri bagi membolehkan penyertaan lebih ramai belia dalam aktiviti sihat.
Dalam pada itu, kompleks berkenaan turut menjadi pusat operasi stesen radio, iM4Ufm yang mendekatkan belia terhadap program iM4U menerusi muzik.
Pengarah iM4Ufm Kartini Kamalul Ariffin berkata stesen radio yang mula beroperasi sejak lebih setahun lepas itu menampilkan kandungan yang bukan hanya sekadar hiburan tetapi turut menyajikan segmen sukan, gaya hidup dan nilai moral untuk golongan belia.
"Kami juga memberi ruang kepada orang ramai khususnya pelajar untuk datang menyertai program radio school iM4Ufm bagi mendalami ilmu penyiaran radio yang bukan hanya berkisar kepada penyampai radio tetapi meliputi pelbagai lagi bidang termasuk jurutera radio," katanya.
Stesen radio yang bersiaran menerusi frekuensi 107.9 FM di Lembah Klang itu mempunyai lebih 53,000 pendengar dengan kebanyakannya remaja berusia 19 tahun ke bawah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment