KAK JUE BLOG'S

Pelajar Harus Ada Integriti Bayar Balik Pinjaman PTPTN - Mary Yap




PETALING JAYA - Pelajar yang telah menamatkan pengajian harus mempunyai integriti dan kejujuran untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata, pelajar tidak seharusnya lari daripada tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman mereka.

"Ini melibatkan integriti," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2016 di Bandar Sunway, di sini hari ini.

Mary Yap berkata sistem PTPTN di negara ini setanding dengan sistem pembayaran balik pinjaman di United Kingdom dan negara-negara maju yang lain.

Pada 23 Mac, Dewan Rakyat diberitahu bahawa seramai 662,983 peminjam gagal membayar balik pinjaman PTPTN berjumlah sehingga RM5.4 bilion setakat 31 Dis tahun lepas.

Mary Yap juga berkata, walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar, kerajaan masih memberi penekanan kepada pendidikan tinggi dengan menyediakan peruntukan RM13.8 bilion.

Beliau berkata 20,000 biasiswa MyBrain15 ditawarkan pada 2016 dengan 15,000 ialah bagi Program Master dan 5,000 untuk program-program (PhD) kedoktoran, peruntukan terbesar oleh kementerian setakat ini.

Beliau berkata kerajaan juga menyasarkan untuk melahirkan 60,000 pelajar PhD menjelang 2023 melalui program MyBrain.

Sidang kemuncak itu merupakan persidangan pendidikan tahunan dengan menghimpunkan pembuat keputusan, penggubal dasar, ahli akademik dan pelabur untuk membincangkan isu-isu pendidikan yang dihadapi negara.

Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).


- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages