KAK JUE BLOG'S

Pekerja Mahir, Penyelia Tapak Binaan Wajib Ada Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB Mulai 1 Jun



Semua pekerja binaan mahir dan penyelia tapak binaan wajib memiliki Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mulai 1 Jun sebelum mereka dibenarkan bekerja di tapak pembinaan.

Kriteria terbaharu itu dimaklumkan Pengarah CIDB Johor Othman Safar sebelum mengetuai satu operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah tapak pembinaan berhampiran Taman Tema Legoland, di sini hari ini.

Katanya, ia terpakai ke atas semua pekerja binaan mahir termasuk penyelia tapak warga tempatan dan asing, namun tidak dikuatkuasakan terhadap pekerja binaan am.

"Buat masa ini, sijil kemahiran ini diberi percuma kepada pekerja binaan mahir tempatan manakal penyelia tapak dan pekerja binaan mahir asing pula, dikenakan bayaran antara RM370 hingga RM700 bergantung kepada jenis kemahiran.

"Untuk mendapatkan sijil itu, mereka perlu menjalani latihan minima antara lima hingga 10 hari bergantung kepada jenis kemahiran atau melalui kaedah penilaian atau ujian selama sehari," katanya kepada Bernama di sini.

Mengikut Jadual Ketiga Seksyen 2 dan Subseksyen 33A(2) Akta 520 (Akta CIDB), terdapat sebanyak 59 jenis pekerja binaan mahir yang perlu mendapatkan perakuan atau sijil kecekapan kemahiran.

Ini termasuk pemasang penghawa dingin bangunan, tukang kayu, pemasang siling, penjaga jentera, pelukis pelan kerja awam dan struktur, pengendali kelengkapan pam konkrit, pekerja logam, jurugegas paip gas bangunan, tukang cat, pengendali mesin pengorek dan pemasang alat melawan kebakaran.

Sehingga kini, seramai 61,871 pekerja tempatan dan asing telah memiliki sijil kecekapan berkenaan di Johor.

Othman menambah, kegagalan untuk mematuhi kriteria itu akan menyebabkan pekerja dan majikan didenda tidak melebihi RM5,000.

"Namun, kita ingin tegaskan bahawa keperluan untuk memiliki sijil ini adalah untuk memastikan mereka berupaya dan sesuai menjalankan tugas mereka selain mematuhi kesemua peraturan keselamatan di tapak pembinaan," katanya.

Mengulas mengenai operasi CIDB di negeri ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 27 buah tapak projek sepanjang tahun ini bermula Januari hingga sekarang.

Daripada jumlah itu, dua projek dikesan melakukan kesalahan menggunakan khidmat empat sub-konraktor yang tidak berdaftar.

Berikutan itu, perintah untuk memberhentikan kesemua kerja yang dikendalikan sub-kontraktor terbabit di tapak pembinaan telah dikeluarkan serta merta.

CIDB juga mengeluarkan notis amaran kepada sub-kontraktor itu kerana didapati melanggar peraturan Seksyen 25(1) dan 29 Akta CIDB iaitu tidak mempunyai perakuan pendaftaran kontraktor CIDB.


- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages