KAK JUE BLOG'S

Polis Tahan Lelaki Ugut Pemandu Dengan Pistol

Kes Jenayah

TELUK INTAN – Gara-gara mengejar dan mengugut seorang pemandu lain, seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menunjukkan sepucuk pistol di pinggangnya bagi meminta bayaran ganti rugi kerosakan keretanya setelah berlaku pergeselan kecil pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek berusia 38 tahun itu telah ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di dalam perkarangan Lower Club Perak di Bandar Baru Teluk Intan di sini.

Ini berikutan mangsa yang ketakutan kerana diekori telah memandu ke dalam perkarangan Lower Club Perak itu bagi mendapatkan perlindungan dan sempat meminta bantuan abangnya melalui telefon bagi menghubungi pihak polis.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis telah ke tempat kejadian dan menahan suspek di hadapan Lower Perak Club dan hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek telah menjumpai sepucuk pistol jenis Colt model .45 bersama 10 butir peluru tanpa lesen dan permit.

“Selain itu, kita turut merampas sejumlah wang tunai RM25,353, wang tunai 100 Thai Bath serta sebiji pil warna hijau yang disyaki dadah di dalam beg silang yang dipakai suspek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes dibawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jelas Wan Hassan, kejadian yang berlaku pada 1.30 tengah hari di Jalan Maharajalela itu berpunca setelah suspek yang memandu kereta jenis Toyota Altis telah memintas dan menghalang laluan kenderaan mangsa berusia 28 tahun itu.

“Suspek telah menyuruh mangsa yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan keluar dari kenderaannya sambil menunjukkan pistol di pinggangnya.

Disebabkan mangsa enggan keluar dari keretanya, suspek yang berang telah menendang serta menumbuk kereta hingga kemek sebelum mangsa memandu sejauh kira-kira 1.5 kilometer dengan diekori suspek sehingga ke dalam perkarangan Lower Club Perak,” katanya.

Katanya lagi, suspek cuba menghampiri mangsa namun dihalang abang mangsa yang kebetulannya sampai di situ dan telah meminta wang sebanyak RM3,000 serta mengugut mahu membunuh mangsa.

Menurut Wan Hassan, pihak polis kini masih dalam siasatan berhubung wang tunai dalam jumlah yang banyak dimiliki suspek.

Suspek direman lima hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – Bernama



Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages