KUALA LUMPUR – Serpihan dipercayai daripada bahagian dalam kabin pesawat Malaysia Airlines MH370 dijumpai di sebuah pulau di Mauritius, timur Afrika, menurut satu laporan.
Pakar Bebas (IG) MH370 Don Thompson memberitahu news.com.au bahawa beliau sudah melihat gambar bahagian berkenaan dan berkata ia sepadan dengan dinding sekat daripada kelas bisnes pesawat MAS Boeing 777.
Katanya, bagaimanapun, kemasan hiasan pada bahagian itu tidak hanya berasal dari seksyen pesawat milik Boeing 777, malah ia mungkin juga dari kelas ekonomi.
Anggota IG Mike Exner turut bersetuju dengan penilaian itu sambil berkata kumpulan berkenaan telah menyampaikan maklumat tersebut kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).
Jika terbukti serpihan itu datang dari pesawat MAS yang hilang, maka serpihan itu sangat penting kerana menjadi serrpihan dalaman pertama yang dijumpai.
Menurut laporan, serpihan itu ditemui pasangan yang sedang bercuti di pulau Rodrigues (sebuah pulau gunung berapi di kepulauan Lautan Hindi, timur Mauritius).
Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
Pencarian pesawat berkenaan kini dijalankan di selatan Lautan Hindi.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan dua lagi serpihan yang dijumpai di Mozambique dan Afrika Selatan pada 28 Mac lepas, berkemungkinan besar milik pesawat itu memandangkan kedua-duanya sama dengan panel sebuah pesawat Boeing 777. -Bernama
No comments:
Post a Comment