KAK JUE BLOG'S

Buli Siber : Mengenali Dan Menanganinya


Dengan kemudahan dan kemajuan teknologi maklumat, kita telah pun berada pada zaman maklumat diperdagangkan. Setiap feed, klik dan paparan boleh diterjemahkan kepada wang ringgit. Tidak hairanlah istilah menviralkan sesuatu semakin popular masa kini. Kerana dalam kepantasan maklumat itu bertukar tangan, setiap kali itu juga wang akan dijana.

Namun terdapat segelintir pihak yang menggunakan kemajuan dan kepantasan teknologi ini untuk tujuan yang salah. Rakaman klip sekerat yang telah dipotong kerap kali menghiasi suapan berita media sosial kita. Sekerap itu jugalah rakaman itu disebar luas tanpa mengira kesannya.

Selain daripada banyak kebaikan yang boleh diperoleh melalui internet, ia turut mengundang perkara negatif antaranya buli siber.


Statistik Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia MYCERT sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengawal selia keselamatan dalam talian telah melaporkan penurunan daripada 550 kes pada 2014 kepada 442 kes pada 2015.

Namun pemerhatian awal kecenderungan untuk kes 2016 akan meningkat seperti pada 2014 di mana dua bulan pertama 2016 mencatatkan 82 laporan gangguan siber berbanding 70 kes pada 2015 dan 98 kes pada 2014 bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan laporan tinjauan SKMM pada 2015 bilangan pengguna internet telah mencecah lebih 20 juta orang. Namun kumpulan usia 20 hingga 24 tahun merupakan kohort yang mempunyai bilangan tertinggi iaitu hampir 25 peratus daripada jumlah pengguna internet.


Faktor umur dan kematangan pengguna sedikit sebanyak mempengaruhi trend yang berlegar di media sosial. Juga peningkatan jumlah pengguna daripada pelbagai latar belakang juga menjemput permasalahan yang rencam bentuknya.

Buli siber berlaku dalam pelbagai keadaan dan rupa, ia juga dilakukan oleh mereka daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum, agama dan usia.

Kemajuan algorithm media sosial terkadang menyebabkan kita juga bersubahat dengan perkara itu apabila kita memberi komentar, berkongsi pautan dan mengetik butang 'suka' pada sesuatu gambar, mesej atau video yang mengandungi unsur yang mengaib individu atau kumpulan tertentu.

Namun saban hari kita melihat sisipan gambar dan klip video yang berlegar di internet membuatkan kita bertanya adakah ia telah menjadi budaya. Lebih mengejutkan ada sesetengah video sengaja disunting untuk mengelirukan penonton sebagaimana yang kerap kali kita lihat di klip video yang melibatkan penguatkuasa.

Bahkan baru-baru ini tersebar klip video yang dimuat naik insiden dalam bilik guru sebagimana yang dilaporkan oleh freemalaysiatoday.com pada 28 Mac yang lepas. Dalam klip itu seorang pelajar perempuan memarahi rakan sekelasnya dalam keadaan berlutut dan menangis, tetapi reaksi netizen bersahaja dan langsung tidak menganggapnya sebagai buli, lebih mengecewakan apabila video itu disyaki dirakam oleh seorang guru.


Tidak kurang juga kes-kes pergaduhan yang berlaku contohnya pergaduhan pada majlis akad nikah yang dipercayai berlaku di masjid kerana kurangnya wang hantaran, dalam masa yang singkat pengguna media sosial dapat mencari identiti wanita terbabit lalu menghukumnya dengan meletakkan kata-kata mengaibkan seperti "Pengantin untuk dijual" dan sebagainya.

Takrif buli mengikut Kamus DBP edisi ke-4; 1. perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yg baru; 2. membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yg lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya orang yang berkenaan.

Jelas dalam perihal ini takrifan kedua yang diambil kira. Di mana pelakunya mengambil kesempatan ke atas orang yang lebih lemah (vulnerable) dengan sokongan digital, di mana fungsi ketanpanamaan (anonymity) dan kerahsiaan menjadi penguat kerana mereka boleh berlindung dan memadamkan jejak digital mereka menggunakan perisian yang ada.

Berbeza dengan buli secara bersemuka di mana perbuatan tersebut berlaku dalam keadaan terhad, iaitu tertentu di sesuatu tempat, dalam bilangan pelaku yang relatifnya terhad dan tidah boleh dipindah.

Buli siber menjadi lebih parah kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan lebih menakutkan ia dilakukan oleh orang yang tidak dikenali dalam jumlah yang banyak dan tidak keterlaluan kita katakan ia boleh mencapai ribuan bahkan jutaan pembuli dalam satu-satu masa.

Anda telah dibuli atau melihat pembulian berlaku, apa yang patut dilakukan? Jika anda merasakan diri anda telah dibuli atau anda melihat pembulian telah berlaku, sebagai pengguna internet yang bertanggungjawab, berikut merupakan intipati dari beberapa website anti buli siber dan panduan dari penyedia media sosial seperti ; facebook, Twitter, http://www.stopbullying.gov/ , http://www.deletecyberbullying.org/ , http://www.bullying.co.uk/.

1-Laporkan pada pemilik platform pembulian berlaku. Sama seperti buli secara berdepan, buli atas talian juga memerlukan medium dan platform untuk berlaku. Sekiranya ia berlaku dalam media sosial, anda boleh melaporkan kepada pengendali media sosial terbabit.

Facebook contohnya mempunyai piawai komuniti yang ketat, di mana setiap laporan terhadap mana-mana status atau posting yang dilihat melanggar piawaian komuniti akan diambil tindakan dalam masa yang singkat begitu juga dengan platform lain seperti blog, twitter dan sebagainya. Internet Service Provider juga mempunyai piawaian mereka yang boleh membantu anda menghentikan pembulian ini.

2-Abaikan. Sekiranya pembulian melibatkan kata-kata kesat dan tidak menganggu keselamatan, abaikan sahaja, kerana kebiasaannya pembuli akan hilang minat sekiranya tiada reaksi balas. Block, ban atau putuskan perhubungan dengan pembuli tersebut akan membantu anda.

3-Sekiranya ingin melaporkan kepada penguatkuasa, pastikan setiap perkara didokumentasi dengan terperinci untuk memudahkan siasatan. Laporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur kekerasan dan ancaman.

4-Hindarkan daripada sesuatu yang boleh memberi akses kepada anda terhadap pembulian itu. Antaranya anda boleh nyah-aktifkan akaun anda buat sementara waktu sehingga kes selesai.

5-Dapatkan bantuan daripada mereka yang anda percaya boleh memberi nasihat dan sokongan.

6-Sebar luaskan pengetahuan mengenai buli siber. Kerana kurangnya pendedahan mengenai perincian buli siber dan bahayanya membuatkan sesetengah pihak tanpa sedar terlibat dalam proses terbabit.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Bernama akan apa yang diperkatakan penulis).

BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages