KAK JUE BLOG'S

Perak Terbuka Terima Kunjungan Dr Zakir

Zakir Naik

IPOH - Kerajaan Perak bersikap terbuka kepada mana-mana tokoh agama yang berhasrat datang ke negeri itu bagi menyampaikan ceramah termasuk pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata Dr Zakir merupakan seorang cendekiawan Islam yang mempromosikan persefahaman antara agama berdasarkan teks-teks agama yang asli.

"Dakwaan yang mengatakan kandungan ceramah beliau menyentuh sensitiviti agama lain dan mengandungi unsur celaan agama adalah tidak benar dan hanya sangkaan semata-mata.

"Sebaliknya, golongan bukan Islam diberi keutamaan untuk ruang berdialog bagi lebih memahami Islam, bahkan dalam program-program beliau, ramai orang bukan Islam mengambil peluang mengenali Islam," katanya.

Mohd Nizar berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kerajaan negeri memandang serius isu keganasan bola sepak atau 'hooliganism' yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Beliau turut meminta penyokong Perak supaya tidak termakan dengan sebarang provokasi semasa sesuatu perlawanan, sebaliknya terus setia memberi sokongan padu kepada pasukan negeri.

Dalam penggulunggannya, Shahrul Zaman turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwa raya supaya menyiasat serta memberi keadilan sebaik mungkin terhadap kes yang melibatkan keganasan bola sepak.

"Pada sebelah pagi tadi, penyokong Perak telah diikat jamin setelah dituduh merusuh dengan senjata dalam insiden di Stadium Selayang waktu Perak menentang Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kita juga sangat sedih kerana ketika menziarahi keluarga mereka, ia menjadi satu polemik yang sangat berat kepada keluarga mereka dan risau nasib dengan anak-anak mereka," katanya.

Persidangan DUN Perak hari ini turut dimaklumkan bahawa projek rangkaian paip penyaluran gas di negeri itu akan dilaksanakan bermula 2017 di bawah rancangan boleh pinda kedua, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata projek sepanjang 140 kilometer dari Ayer Tawar, Majung ke Lembah Kinta itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Persidangan bersambung Isnin.

- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages