KAK JUE BLOG'S

Menu Istimewa: Kari Ikan Sembilang Sirip Merah Tanjung Piandang



Menu Wajib Jika Ke Tanjung Piandang

SENTUHAN ‘magis’ dalam satu-satu hidangan mampu memberikan publisiti hebat kepada sesebuah daerah menerusi pengalaman bagi mereka yang berpeluang menikmatinya, tidak terkecuali dengan menu wajib Kari Ikan Sembilang Sirip Merah di Tanjung Piandang, Kerian.

Jika Pahang terkenal dengan ikan Patin dan Kedah pula dengan Baung, maka jika berkunjung ke Tanjung Piandang, kari Ikan Sembilang Sirip Merah memang menjadi salah satu menu wajib yang diminta.

Perkara itu diakui pemilik salah sebuah restoran di Tanjung Piandang, Rohaya Dahaman, 42.
Tanjung Piandang merupakan sebuah mukim yang terletak di utara Perak dan antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai pelusuk negeri ialah Pantai Ban Pecah.

Kari Ikan Sembilang Sirip Merah Popularkan Tanjung Piandang

Rohaya bersama suami, Samsudin Ariffin, 59, telah pun memulakan perniagaan keluarga di bawah nama Pak Din Sri Piandang Corner Catering sejak tahun 2000.

Bermakna sudah mencecah 16 tahun mereka menyediakan kari ikan sembilang yang menjadi sebutan ramai.

Walaupun rata-rata kedai makan di sini turut menyediakan menu yang sama, namun ramai yang tertumpu di restoran Pak Din memandangkan ada satu ‘rahsia’ yang mereka amalkan dalam pemilihan ikan tersebut.

“Kami akan pastikan sebolehnya guna ikan sembilang jenis sirip merah, isinya lebih enak dan manis selain kurang bau hanyir. 

“Kalau boleh elakkan guna sembilang yang ada tompok hitam putih macam bentuk panau.
“Jenis macam itu memang kuat bau hanyir mungkin sebab ia hidup dalam air laut yang dekat dengan pokok bakau, kalau sirip merah pula selalunya dalam air yang ada tanah liat jadi kualitinya lebih bersih,” kata Samsudin atau lebih mesra disapa Pak Din oleh penduduk setempat.
Menurut Pak Din, keadaan pasang surut air laut turut memberi kesan kepada kuantiti ikan, oleh sebab itu dia perlu membelinya daripada peraih dalam jumlah yang banyak sehingga boleh mencecah enam puluh kilo pada satu-satu masa.
“Selalu kami ambil di pelantar tunggu nelayan naik bawa hasil tetapi disebabkan El-Nino, ikan pun kurang dan saya perlu beli banyak untuk buat stok.
“Kami bungkus siap-siap dan letak dalam peti ais, setiap hari keluarkan ikut sambutan pelanggan yang datang,” ujar Pak Din.

Berpengalaman Hidangkan Menu Buat Kerabat DiRaja dan Menteri

Bercerita serba sedikit tentang latar belakang pengalaman pasangan ini, ternyata penangan hidangan kari mereka berjaya menambat selera semua golongan, termasuk kerabat DiRaja serta beberapa orang kenamaan.
Malah permintaan yang tinggi daripada beberapa jabatan di sekitar Kerian menyebabkan jenama ‘Pak Din Corner’ turut dikenali di tempat lain.
“Telah tiga kali kami hidangkan kari ikan sembilang kepada Sultan di majlis-majlis rasmi dan kami dimaklumkan Tuanku memang gemarkan lauk-lauk kampung.
“Yang seronoknya bila YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi suka sangat dengan kari ini, begitu juga dengan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Kalau Dr Zambry singgah atau hadir program di sini, mesti beliau meminta lauk kari ikan sembilang dengan ketam lembut,” kata Pak Din sambil tersenyum.
Ditanya jika ada ramuan rahsia atau sebarang petua khusus dalam penyediaan makanan itu, Rohaya berkata, cara memasaknya sama seperti membuat kari, namun dia mengolah serba sedikit untuk menjadikannya lebih lemak dan pekat.
“Guna rempah biasa sahaja dan ubahsuai sedikit dengan kisar cili serta bawang untuk tambahan rasa. Paling penting bawang putih dan merah, cabai serta halia dan ikan mesti dicuci betul-betul supaya tidak berbau,” katanya.

Perkenal Konsep Minum ‘Teh Cina’ Atau ‘Teh Gebang’

Tidak terhad dengan satu menu ‘trademark’, Rohaya memberitahu, ada sejenis minuman yang diperkenalkan di restorannya sehingga berjaya menarik perhatian pelanggan yang terdiri daripada masyarakat Cina.
Tambahan pula minuman itu turut mendapat liputan daripada krew Majalah 3 kerana berdasarkan rekod, belum ada pengusaha restoran Melayu di Malaysia yang menyediakan minuman itu.
“Orang-orang di sini sebut teh cina atau teh gebang, memang dapat menarik minat ramai masyarakat Cina datang kerana dikatakan bagus untuk kesihatan dan menyejukkan badan,” ujarnya sambil memberitahu, teh itu dihidangkan di dalam teko dengan mangkuk kecil, sama seperti di restoran Cina.
Beliau memberitahu, masyarakat kampung menyebutnya sebagai teh gebang kerana dikatakan apabila sekali minum, pasti hendak ditambah berkali kali.
“Sebab itu, bagi orang luar, kalau tengok pemandangan di sekitar restoran waktu petang atau malam, kadangkala keliru samada ini restoran Melayu atau bukan disebabkan ramai pelanggan Cina minum teh di sini,” kata Rohaya.
 Mereka yang berminat untuk membuat tempahan menu, khususnya kari ikan sembilang, boleh menghubungi terus Rohaya di talian 012-4230078 atau Pak Din 012-5047944.

Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages