Titah Tuanku Zara setiap universiti di negara ini wajib memberi perhatian, merangka pendekatan dan melaksanakan program yang dapat meningkatkan kefahaman, mengeratkan hubungan serta mengukuhkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum.
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah pendidikan dan institusi pendidikan berperanan penting sebagai medium serta platform dalam usaha memupuk dan membina semangat perpaduan dalam kalangan warga.
"Faktor-faktor keterbukaan dan toleransi, saling menghormati dan memahami, saling mengenali dan menerima perbezaan terutama dalam isu-isu menyentuh agama serta budaya amat penting diberi perhatian," titah baginda.
Tuanku Zara yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-18 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini Selasa.
UPSI menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 9,304 graduan selain menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Tuanku Zara bertitah agar lepasan universiti berusaha dan membantu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang mempunyai rakyat bersatu padu selain menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara.
Titah baginda, sejak merdeka 59 tahun lalu semangat satu negara-satu bangsa, telah dirintis dalam kalangan anggota masyarakat yang memiliki pelbagai latar belakang agama, etnik, budaya dan bahasa.
Menyentuh mengenai UPSI, baginda bertitah universiti itu yang bermula dengan Sultan Idris Training College (SITC) telah melahirkan ramai para pejuang kemerdekaan tanah air melalui penulisan dan persuratan, pendidikan, pertubuhan sukarela serta parti politik.
"SITC memiliki kaitan sejarah yang signifikan dengan perjuangan kemerdekaan tanah air, melahirkan inteligensia bangsa pada era pramerdeka.
"Semangat kesedaran mahu meningkatkan martabat bangsa, mula dinyalakan di sini. Suara menuntut supaya bumi ini dibebaskan daripada cengkaman penjajahan dan bangkit sebagai tanah air yang merdeka turut digemakan di sini," titah Tuanku Zara.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment