KAK JUE BLOG'S

Perak Guna Dron Pantau Aktiviti Penerokaan Tanah Haram


Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan menggunakan dron untuk memantau aktiviti penerokaan tanah haram, kata Pengarahnya Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris.   
Beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM187,500 untuk pembelian 16 unit dron.   
Pada fasa pertama, dron tersebut yang berharga RM12,500 seunit akan diserah kepada 12 daerah besar dan PTG sebelum diperluas kepada enam lagi dearah kecil menjelang akhir tahun ini, katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan dron itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat May Nayan hari ini.   
"Penggunaan dron dapat meningkatkan kecekapan dari segi pengurusan tanah dan penguatkuasaan undang-undang terutama dalam membanteras penerokaan haram di kawasan yang tidak boleh diakses menggunakan kenderaan," katanya.   
Syed Mokhtar berkata penggunaan teknologi dron juga dapat mengawal aktiviti pengeluaran bahan batuan atau mineral dengan akses pandangan yang jauh lebih jelas.   
"Ia juga dapat membantu dalam menyediakan laporan tanah bergambar terkini dan jelas ke atas sesuatu permohonan tanah untuk pertimbangan, memandangkan laporan sebelum ini tidak menggambarkan keadaan tanah semasa," katanya.   
Beliau berkata antara daerah yang mempunyai banyak penerokaan haram adalah Batang Padang, Kampar, Kinta dan Manjung.
 

Share:

Usaha PTPTN Mengutip Hutang Perlu Disokong Semua Pihak


Setiap rakyat perlu menyokong tindakan yang dilakukan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam usaha mengutip balik bayaran pinjaman termasuk menyenaraikan peminjam di dalam Pusat Rujukan Kredit dan Sistem Maklumat (CCRIS).


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata dasar itu telah lama diperkenalkan bagi memastikan kelestarian pembiayaan pendidikan untuk generasi akan datang.



Beliau berkata sekiranya peminjam menghadapi kesukaran membuat bayaran balik dalam tempoh yang telah ditetapkan, mereka boleh berbincang dengan PTPTN bagi menstruktur semula setiap pinjaman yang telah dilakukan.



"Saya ada menerima lebih 12 e-mel daripada peminjam sejak semalam yang mendakwa mempunyai masalah dengan PTPTN.



"Kesemua e-mel berkenaan telah saya kemukakan kepada PTPTN untuk tindakan selanjutnya termasuk menyiasat kes tersebut secara individu," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2016 di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.



Persidangan dua hari itu bertujuan membincangkan dan berkongsi maklumat berkaitan pembangunan program PSH dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional.



Semalam, PTPTN dalam kenyataan berkata pihaknya sentiasa membuka ruang rundingan kepada semua peminjamnya yang mempunyai masalah membuat pembayaran.



Idris berkata setiap peminjam PTPTN juga harus mempunyai sikap bertanggungjawab dalam membuat bayaran balik kerana ia merupakan keadilan sosial kepada pelajar baharu yang mahu membuat pinjaman sama.



Dalam pada itu, mengenai laporan 150 pelajar Malaysia di Mesir yang berdepan kegagalan membayar hutang yuran pengajian sehingga mencecah RM4.5 juta, Idris berkata pihaknya akan membuat pengumuman rasmi Khamis ini termasuk jumlah sebenar pelajar yang terlibat.



"Rombongan kementerian ke Mesir pun telah pulang ke Malaysia semalam, jadi saya akan dapatkan maklumat jumlah sebenar pelajar terlibat sebelum tindakan susulan diambil," katanya.



-- BERNAMA


Share:

Cuaca Buruk Semasa Air Pasang Besar Punca Bah Besar - Pakar



KUALA LUMPUR - Fenomena air pasang besar yang melanda kawasan pantai barat Semenanjung awal minggu ini dan menyebabkan banjir di beberapa tempat mengejutkan banyak pihak.

Dalam laporan hari ini, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan amaran bahawa air pasang dengan ketinggian lebih lima meter akan berulang pada bulan depan.

Memandangkan air pasang besar, yang turut dikenali sebagai 'king tides' atau 'spring tides' boleh diramal, kemungkinan pihak berkuasa yang berkaitan boleh memantau perkembangan fenomena air pasang dan memberikan amaran awal kepada penduduk untuk bersedia menghadapi kemungkinan air pasang besar luar biasa dan menyebabkan banjir.....
Share:

Pengeluaran KWSP Untuk Pendidikan Naik Mendadak

Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR: Platform dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merangkumi i-Akaun, kiosk KWSP dan myEPF, terus menjadi mod transkasi pilihan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KWSP berkata, prestasi operasi 2016 suku keduanya menyaksikan penggunaan i-Akaun setakat Jun tahun ini meningkat 44.26 peratus kepada 4.81 juta berbanding 3.33 juta pada suku kedua 2015.

Jumlah penggunaan Kios KWSP ketika suku di bawah kajian meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta sebelum ini.

Penggunaan kemudahan dalam talian e-Pengeluaran melonjak selepas ia diperluas untuk memasukkan permohonan bagi pengeluaran pendidikan dan kesihatan pada April, di samping pengeluaran untuk perumahan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkhidmatan KWSP telah berubah pesat bagi disesuaikan dengan masa dan harapan ahlinya.

"Kemudahan e-Pengeluaran adalah bahagian perniagaan dan transaksi yang berkembang kerana ia menawarkan lebih banyak kemudahan kepada ahli mengemukakan permohonan pengeluaran mereka.

"Bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran telah juga melaporkan pengurangan besar dalam masa yang diambil serta meningkatkan produktiviti harian," katanya.

Bank yang menyertai e-Pengeluaran pada masa ini termasuk Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

Shahril Ridza berkata, KWSP berusaha untuk menambah bilangan bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran bagi membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada kemudahan dalam talian itu.

Setakat akhir Jun 2016, e-Pengeluaran telah meluluskan 18,707 permohonan untuk pengeluaran pendidikan sejak kemudahan dalam talian itu diperkenal April lepas.

"Keseluruhan permohonan diluluskan untuk pengeluaran pendidikan pada suku kedua 2016 menyaksikan peningkatan mendadak 200.43 peratus kepada 60,931 melibatkan RM370.39 juta berbanding 20,281 permohonan yang diluluskan bernilai RM96.86 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Shahril Ridza berkata, jumlah pemohon untuk pengeluaran simpanan persaraan secara berperingkat juga meningkat berikutan peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang mengiktiraf manfaat menyimpan untuk tempoh lebih panjang di samping memperoleh dividen tahunan.

Suku di bawah kajian menyaksikan kenaikan 12.64 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 kepada 91,111 daripada 80,890 dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jumlah yang dikeluarkan di bawah skim itu ialah RM2.70 bilion berbanding RM3.12 bilion pada suku kedua 2015, katanya.

"Sebaliknya, jumlah permohonan dilulus untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 pada suku kedua 2016 jatuh 8.56 peratus kepada 54,946 berbanding 60,087 permohonan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, jumlah permohonan dilulus untuk pengeluaran perumahan turun kepada 111,169 pada suku kedua 2016 melibatkan RM1.62 bilion, berbanding 111,898 pada suku kedua 2015.

Keseluruhannya, jumlah ahli KWSP meningkat 3.05 peratus kepada 14.80 juta (suku kedua 2016) berbanding 14.38 juta (suku kedua 2015), di mana 6.85 juta atau 46.33 peratus adalah ahli aktif.

Jumlah majikan yang baru mendaftar pada suku di bawah kajian merosot 19.17 peratus daripada 18,903 (suku kedua 2015) kepada 15,279 pada suku kedua 2016, menjadikan majikan setakat 30 Jun 2016 berjumlah 539,291.

Sehingga akhir Jun 2016, kadar majikan ingkar adalah stabil pada 1.10 peratus, katanya.

"Seiring dengan pertambahan ahli, komitmen kami juga meningkat untuk memberi perkhidmatan yang lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos dan kami menggalakkan lebih ramai ahli mendaftar untuk i-Akaun bagi memanfaatkan kemudahan berkenaan.

"i-Akaun juga membolehkan ahli memastikan majikan mereka mencarum bagi pihak mereka secara tetap dan tepat pada masanya," tambah beliau. - Bernama
Share:

Menu Istimewa: Kari Ikan Sembilang Sirip Merah Tanjung Piandang



Menu Wajib Jika Ke Tanjung Piandang

SENTUHAN ‘magis’ dalam satu-satu hidangan mampu memberikan publisiti hebat kepada sesebuah daerah menerusi pengalaman bagi mereka yang berpeluang menikmatinya, tidak terkecuali dengan menu wajib Kari Ikan Sembilang Sirip Merah di Tanjung Piandang, Kerian.

Jika Pahang terkenal dengan ikan Patin dan Kedah pula dengan Baung, maka jika berkunjung ke Tanjung Piandang, kari Ikan Sembilang Sirip Merah memang menjadi salah satu menu wajib yang diminta.

Perkara itu diakui pemilik salah sebuah restoran di Tanjung Piandang, Rohaya Dahaman, 42.
Tanjung Piandang merupakan sebuah mukim yang terletak di utara Perak dan antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai pelusuk negeri ialah Pantai Ban Pecah.

Kari Ikan Sembilang Sirip Merah Popularkan Tanjung Piandang

Rohaya bersama suami, Samsudin Ariffin, 59, telah pun memulakan perniagaan keluarga di bawah nama Pak Din Sri Piandang Corner Catering sejak tahun 2000.

Bermakna sudah mencecah 16 tahun mereka menyediakan kari ikan sembilang yang menjadi sebutan ramai.

Walaupun rata-rata kedai makan di sini turut menyediakan menu yang sama, namun ramai yang tertumpu di restoran Pak Din memandangkan ada satu ‘rahsia’ yang mereka amalkan dalam pemilihan ikan tersebut.

“Kami akan pastikan sebolehnya guna ikan sembilang jenis sirip merah, isinya lebih enak dan manis selain kurang bau hanyir. 

“Kalau boleh elakkan guna sembilang yang ada tompok hitam putih macam bentuk panau.
“Jenis macam itu memang kuat bau hanyir mungkin sebab ia hidup dalam air laut yang dekat dengan pokok bakau, kalau sirip merah pula selalunya dalam air yang ada tanah liat jadi kualitinya lebih bersih,” kata Samsudin atau lebih mesra disapa Pak Din oleh penduduk setempat.
Menurut Pak Din, keadaan pasang surut air laut turut memberi kesan kepada kuantiti ikan, oleh sebab itu dia perlu membelinya daripada peraih dalam jumlah yang banyak sehingga boleh mencecah enam puluh kilo pada satu-satu masa.
“Selalu kami ambil di pelantar tunggu nelayan naik bawa hasil tetapi disebabkan El-Nino, ikan pun kurang dan saya perlu beli banyak untuk buat stok.
“Kami bungkus siap-siap dan letak dalam peti ais, setiap hari keluarkan ikut sambutan pelanggan yang datang,” ujar Pak Din.

Berpengalaman Hidangkan Menu Buat Kerabat DiRaja dan Menteri

Bercerita serba sedikit tentang latar belakang pengalaman pasangan ini, ternyata penangan hidangan kari mereka berjaya menambat selera semua golongan, termasuk kerabat DiRaja serta beberapa orang kenamaan.
Malah permintaan yang tinggi daripada beberapa jabatan di sekitar Kerian menyebabkan jenama ‘Pak Din Corner’ turut dikenali di tempat lain.
“Telah tiga kali kami hidangkan kari ikan sembilang kepada Sultan di majlis-majlis rasmi dan kami dimaklumkan Tuanku memang gemarkan lauk-lauk kampung.
“Yang seronoknya bila YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi suka sangat dengan kari ini, begitu juga dengan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Kalau Dr Zambry singgah atau hadir program di sini, mesti beliau meminta lauk kari ikan sembilang dengan ketam lembut,” kata Pak Din sambil tersenyum.
Ditanya jika ada ramuan rahsia atau sebarang petua khusus dalam penyediaan makanan itu, Rohaya berkata, cara memasaknya sama seperti membuat kari, namun dia mengolah serba sedikit untuk menjadikannya lebih lemak dan pekat.
“Guna rempah biasa sahaja dan ubahsuai sedikit dengan kisar cili serta bawang untuk tambahan rasa. Paling penting bawang putih dan merah, cabai serta halia dan ikan mesti dicuci betul-betul supaya tidak berbau,” katanya.

Perkenal Konsep Minum ‘Teh Cina’ Atau ‘Teh Gebang’

Tidak terhad dengan satu menu ‘trademark’, Rohaya memberitahu, ada sejenis minuman yang diperkenalkan di restorannya sehingga berjaya menarik perhatian pelanggan yang terdiri daripada masyarakat Cina.
Tambahan pula minuman itu turut mendapat liputan daripada krew Majalah 3 kerana berdasarkan rekod, belum ada pengusaha restoran Melayu di Malaysia yang menyediakan minuman itu.
“Orang-orang di sini sebut teh cina atau teh gebang, memang dapat menarik minat ramai masyarakat Cina datang kerana dikatakan bagus untuk kesihatan dan menyejukkan badan,” ujarnya sambil memberitahu, teh itu dihidangkan di dalam teko dengan mangkuk kecil, sama seperti di restoran Cina.
Beliau memberitahu, masyarakat kampung menyebutnya sebagai teh gebang kerana dikatakan apabila sekali minum, pasti hendak ditambah berkali kali.
“Sebab itu, bagi orang luar, kalau tengok pemandangan di sekitar restoran waktu petang atau malam, kadangkala keliru samada ini restoran Melayu atau bukan disebabkan ramai pelanggan Cina minum teh di sini,” kata Rohaya.
 Mereka yang berminat untuk membuat tempahan menu, khususnya kari ikan sembilang, boleh menghubungi terus Rohaya di talian 012-4230078 atau Pak Din 012-5047944.

Share:

Suasana Meriah, Sayu Sambut Kepulangan Wira, Wirawati Paralimpik


Muhammad Ziyad, Mohamad Ridzuan, Abdul Latif dan Siti Noor Radiah tersenyum bangga menaiki bas sejurus turun pesawat Emirates EK 0346 yang membawa atlet Paralimpik Malaysia yang telah meraih pingat emas dan gangsa di Sukan Paralimpik Rio 2016 di KLIA pada Khamis. Foto Bernama


SEPANG: Suasana di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi bergema dengan sorakan peminat sukan tanah air apabila menerima ketibaan wira dan wirawati paralimpik negara yang pulang dari temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Khamis.

Kontinjen negara terdiri daripada 21 atlet yang diketuai ketua kontinjen, Dr Ang Kean Koo disambut dengan 'water salute' sejurus pesawat EK0346 dari Dubai yang dinaiki mereka selamat mendarat di KLIA kira-kira 3.14 petang.

Kumpulan atlet paralimpik negara itu kemudian dibawa menaiki dua bas khas dengan diiringi lima kenderaan membawa Jalur Gemilang menuju ke Kompleks Bunga Raya.

Tiga pemenang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20, turut berada di dalam pesawat berkenaan.


Ketibaan kontinjen disambut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM, SM Nasaruddin SM Nasimuddin sebelum dibawa ke pentas utama Kompleks Bunga Raya untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.



Pesawat Emirates EK 0346 yang membawa atlet Paralimpik Malaysia, yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, diberi sambutan "water salute” ketika tiba di KLIA. Foto Bernama

Anggota keluarga Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif turut hadir dari Perlis dengan menaiki bas yang disewa khas, juga disertai anggota keluarga Siti Radiah dari Segamat, Johor dan anggota keluarga Muhammad Ziyad dari Gombak.

Suasana riuh rendah dan meriah di Kompleks Bunga Raya kemudiannya berubah menjadi sayu sebaik sahaja ibu bapa dan anggota keluarga kepada pemenang pingat negara kelihatan menangis sambil memeluk anak-anak 'luar biasa' mereka.

Terdahulu, lobi Kompleks Bunga Raya dipenuhi kira-kira 1,000 peminat dan anggota keluarga serta atlet pelapis sejak 12 tengah hari yang tidak sabar menunggu kepulangan wira dan wirawati negara itu.

Suasana di Kompleks Bunga Raya riuh rendah dengan sorakan peminat serta nyanyian lagu-lagu patriotik dan Negaraku sementara menunggu ketibaan pesawat yang membawa atlet negara.

Selain itu, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Rio, Mohd Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong turut bersama-sama menyambut ketibaan rakan atlet mereka.

Kontinjen negara kemudiannya akan dibawa berarak sekitar ibu kota Kuala Lumpur dengan menaiki bas hop-on-hop-off sejurus selesai sambutan di Kompleks Bunga Raya dan dibawa ke Dewan Filharmonik, KLCC, Pavillion sebelum berakhir di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan.

Kontinjen paralimpik negara meraih pencapaian terbaik pada penampilan di Rio kali ini dengan pencapaian tiga pingat emas dan satu gangsa, sekali gus menamatkan cabaran di temasya berprestij itu pada kedudukan ke-36.

Untuk rekod, Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman dengan hanya melibatkan tiga atlet sahaja, namun untuk tiga temasya berikutnya tiada atlet negara yang terlibat.

Kontinjen negara kembali menyertai temasya itu pada 1988 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting yang meraih pingat gangsa.

Pada temasya di Barcelona 1992, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan pingat dengan satu pingat perak melalui Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan (powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (olahraga).

Pada edisi ke-13 di Beijing, China pada 2008, atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah negara dengan muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu. Pingat gangsa itu adalah satu-satunya pingat kontinjen Malaysia di Beijing.

Di London pada 2012, kontinjen negara meraih satu pingat perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara memanah recurve dan satu pingat gangsa melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam olahraga (lontar peluru). - Bernama
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages