KAK JUE BLOG'S

Aku Negara Ku Lagu Wajib Dinyanyikan Ketika Perhimpunan Sekolah Dan Jabatan Kerajaan





Klick link untuk lagunya https://g.co/kgs/9BDgBC

Seperti yang telah diwar-warkan selepas ini perhimpuan mingguan semua sekolah seluruh negara wajib menyanyikan lagu ‘Aku Negaraku’ Dan ianya telah bermula dari 22 Mei 2017.

Lagu ini merupakan lagu patriotik terbaru bagi negara kita Malaysia sebagaimana diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia menerusi Laman Sosial Facebooknya – Najib Razak
Lirik Lagu Aku Negaraku

Berikut adalah lirik lagu Aku Negaraku, lagu patriotik terbaru yang kini diwajibkan dilagukan di perhimpuan mingguan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia:

Aku Negaraku

Ku sedar tanah air aku bertuah
Di sini tempatku berjasa
Ku sedar sempurna hidupku di sini
Malaysia ku terhutang budi

[Chorus]
Aku Negaraku
Aku Negaraku
Sememangnya Negaraku maju
Negaraku tanah tumpah darahku

Aku Negaraku
Di hatiku negaraku
Selamanya aku negaraku
Satu
Negaraku tanah tumpah darahku

Kita bersama membina masa depan
Semangat setinggi angkasa
Kita bersama bersyukur pada Tuhan
KepadaNYA kita berserah

Ulang [Chorus]

Ku laungkan namamu ke seluruh dunia
Malaysia aku bahagia

Ulang [Chorus]

Aku Negaraku

Dapatkan Lagu ‘Aku Negaraku’ disini

Disini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Sila download pada icon anak panah ke bawah selepas anda klik pada mana mana link di bawah.

Download :

Aku Negaraku (Penuh) (MP3)
Aku Negaraku (Instrumental) (MP3)
Aku Negaraku (MMO) (MP3)
Aku Negaraku (Stem BV) (MP3)
Aku Negaraku (Stem LV) (MP3)
Aku Negaraku (Video Lirik) (MP4)
Perkongsian Asal

Bahan bahan ini telah dikongsikan melalui update terkini laman web Kementerian Pendidikan Malaysia.
Share:

Cara Penulisan Refleksi yang Mudah, Tepat, Ringkas untuk RPH Guru

Related image

Teknik Penulisan Refleksi

Untuk guru-guru nak tulis refleksi dalam buku Rancangan Pengajaran
Harian (RPH), saya nak kongsi contoh-contoh penulisan refleksi:

*Sesi P&P telah mencapai objektif/target yang diingini

*Murid – murid dapat menguasai kesemua aras P&P

*Murid-murud dapat menguasai kesemua kemahiran yang dipelajari

*Murid-murid dapat menguasai kemahiran pembelajaran secara intensif

*Murid-murid dapat menguasai objektif pembelajaran dengan 10 daripadanya mencapai target

*Murid-murid dapat menguasai aras satu dan dua daripada hasil pembelajaran

*5 daripada 20 murid-murid tidak menguasai hasil pembelajaran

*10 daripada 20 murid-murid tidak mencapai objektif pengajaran

*5 daripada 20 murid-murid tidak menguasai aras 3 daripada hasil pembelajaran

*10 daripada 20 murid-murid tidak menguasai aras 2 daripada hasil pembelajaran

*Murid-murid telah menyertai aktiviti P&P dengan jayanya

*Sebahagian murid-murid tidak terlibat dalam aktiviti P&P kerana kesuntukan masa

*Murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian

*Sebahagian murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian

*Hanya sebahagian murid-murid yang mengikuti P&P, manakala bakinya tidak bersungguh-sungguh dalam P&P

*Sebahagian pelajar tiada di dalam kelas kerana menghadiri aktiviti luar kelas

*P&P ditangguhkan kerana menghadiri mesyuarat / mesyuarat guru

*P&P ditangguhkan kerana menghadiri program luar kelas

*P&P ditangguhkan kerana menghadiri program luar sekolah

*Aktiviti P&P tidak dapat berjalan dengan sempurna pada tempoh yang ditetapkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan

*Sebahagian aktiviti P&P perlu diulang semula kerana murid2 tidak menguasai objektif pembelajaran


**Ubahsuai ikut keperluan guru-guru.
Share:

Tabika Kemas Jenama Paling Dipercayai Dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak

Image result for KEMAS

PUTRAJAYA - Program Transformasi Tabika Kemas mula membuahkan hasil apabila institusi itu dipilih sebagai antara jenama paling dipercayai di Malaysia tahun ini oleh majalah keluarga, Reader’s Digest.

Pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Emas dalam kategori perkhidmatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu dibuat berdasarkan undian dan kaji selidik dalam talian ke atas 8,000 responden tentang pandangan mereka terhadap sistem pendidikan prasekolah di Malaysia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anugerah julung kali itu membuktikan Tabika Kemas adalah antara yang terbaik dan setanding dengan perkhidmatan tabika yang dijalankan pihak swasta.

Image result for KEMAS

“Pencapaian ini sekaligus menepis tanggapan negatif segelintir pihak yang sering memperkecilkan kualiti pendidikan Tabika Kemas berbanding tabika swasta,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bicara Komuniti Dialog TN50@KKLW: Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Dalam kaji selidik itu, responden ditanya berkaitan dengan sifat amanah dan boleh dipercayai, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kredibiliti serta kebolehfahaman kepada kehendak pengguna.

Turut menerima Anugerah Emas daripada Reader’s Digest itu ialah tabika Q-Dees dan Smart Readers yang dikendalikan swasta, katanya.

Dilancarkan pada 2016, transformasi Tabika Kemas dilaksanakan membabitkan tiga modul utama iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI), Program Pemupukan Semangat Patriotik dan Program Keyakinan Diri.

Related image

Mengenai dialog hari ini, Ismail Sabri berkata beliau berpuas hati kerana peserta memberikan cadangan penambahbaikan bagi memperkasa pendidikan awal kanak-kanak antaranya dengan mengutarakan kepentingan penggunaan teknologi digital serta inovasi dalam pembelajaran.

Katanya kandungan dialog yang dikendalikan oleh personaliti televisyen Teh Syuhaida dengan penampilan dua ikon Kemas iaitu Penolong Pengarah Unit Indeks Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohd Hariri Mohamad Daud dan guru prasekolah Noorjahan Sultan, individu yang diiktiraf antara 50 guru terbaik seluruh dunia oleh Varkey Foundation, akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri akan datang sebagai nota kabinet.

Ismail Sabri berkata pandangan dan aspirasi yang dijanakan pada sesi dialog berkenaan juga akan dijadikan panduan dalam merangka perancangan strategik dan penyediaan kerangka Dasar Pembangunan Luar Bandar sebelum dibentangkan kepada umum Ogos nanti.
Share:

Kenali EMOSI Dalam Perspektif Islam





Emosi didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Iaitu kehebatan dan kesensitifan perasaan yang selalunya diluahkan dari dalaman kepada tingkah laku tertentu atau cara kita menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan. 

Menurut Kamus Bahasa Melayu (1994), menyatakan bahawa emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih, marah dan lain-lain. Oxford Advanced Learners’ Dictionary (1995), menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dan pelbagai jenis kasih sayang, keriangan, benci, takut, cemburu, keseronokan atau gangguan pada perasaan. The Oxford Dictionary of Current English (1986) pula menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dari dalam terutamanya daripada aspek mental atau naluri, seperti kasih sayang ataupun takut. Muhammad Uthman Najati (1993), emosi merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang.[1] 

Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit untuk menunjukkan apa yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi. 

Ada kalanya emosi dianggap sebagai suatu alasan yang saling berlawanan. Sama ada beralasan untuk mengikut kehendak emosi atau tidak membiarkan emosi menguasai diri. Demikian adalah konteks yang selalu berkaitan mengenai emosi iaitu tentang penghasilan resolusi untuk mengawalnya. Oleh itu, emosi adalah satu ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan-perasaan kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi dapat berlaku secara naluri bergantung pada situasi. 

BENTUK-BENTUK EMOSI 

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith dan pendapat para ulama’, kejadian manusia adalah terdiri daripada unsur jasmani dan rohani, maka Islam tidak pernah menafikan tentang wujudnya emosi dalam diri manusia. Malah al-Qur’an telah menggambarkan beberapa bentuk emosi yang terdapat dalam diri manusia seperti : 

Emosi Takut 

Iman al-Ghazali dalam menghuraikan emosi takut telah mengibaratkan ia sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini. Prof Madya Dr Ab Aziz Mohd Zin pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menjelaskan bahawa emosi takut merupakan perasaan yang ada pada diri manusia. Manusia akan merasa takut apabila berhadapan dengan perkara yang merbahaya dan kemudaratan. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am ayat 15 yang mana telah menjelaskan tentang emosi takut yang wujud pada manusia. 

Maksud-Nya : Katakanlah: "Sesungguhnya Aku takut akan azab hari yang besar (hari kiamat), jika Aku mendurhakai Tuhanku." 
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya al-Qur’an wa Ilm al-Nafs telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah s.w.t, manusia dan juga takut kepada kematian serta kemiskinan. 

Emosi Marah 

Emosi marah merupakan salah satu perasaan yang timbul apabila manusia berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi marah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam.

Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan. 

Emosi marah yang tidak dapat dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri serta orang lain. Allah s.w.t turut menyeru manusia supaya menahan marah seperti dalam firmannya dalam surah Ali Imran ayat 134. 

Maksud-Nya : (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. 

Dalam Islam memperakui bahawa adanya emosi marah, tetapi bukan emosi marah yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan kerosakan kepada dirinya dan masyarakat seperti mana al-Razi menjelaskan bahawa kemarahan yang keterlaluan boleh membahayakan diri sendiri. Islam tidak melarang manusia mempunyai perasaan marah yang kena pada tempatnya dan diperlukan. Dalam konteks dakwah Islamiyah, Rasulullah s.a.w pernah marah. Kemarahannya kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran. 

Emosi marah merupakan naluri semulajadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan diri dan orang lain. 

Emosi Benci 

Emosi benci mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah apabila manusia benci melihat kemungkaran yang berlaku akan mendorong manusia untuk memperbetulkan keadaan tersebut manakala keburukannya pula ialah apabila emosi benci tidak dapat dikawal boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan serta pertelingkahan.

Dalam al-Quran yang menceritakan tentang wujudnya emosi benci dalam diri manusia. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 216. 

Maksud-Nya : Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui. 

Dalam konteks dakwah pula emosi benci ini hendaklah digunakan di tempat yang betul dan melarang daripada mempunyai perasaan benci yang boleh membawa kepada pergaduhan atau kerosakan dalam masyarakat. 

Emosi Malu 

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Hal ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri. Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut, berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang menyimpang ke samping serta terjurus ke lantai dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu. Suara seorang yang berasa malu bernada rendah, lembut, menggeletar dan teragak-agak. Mimik muka menjadi tersipu, mulut akan tersenyum dan dia akan mengundur diri.[2] 

Kesan positifnya ialah perasaan malu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara melampaui batas, memalukan, menjatuhkan maruah dan sebagainya. Manakala kesan negatifnya pula ialah apabila perasaan malu dalam diri seseorang itu terlampau malu tidak bertempat, merka mungkin menghadapi kesukaran dalam berbagai perkara seperti berhadapan dengan orang ramai, tidak yakin membuat sesuatu perkara dan sebagainya. Justeru, perasaan malu perlu dikawal dengan baik agar ia tidak mendatangkan kesan negatif di dalam diri. 

Emosi Sedih 

Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang berhadapan dengan keadaan yang mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit. Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, berjumpa kawan-kawan dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan. 

Islam lebih menganjurkan umatnya supaya tidak bersedih kepada perkara-perkara yang melalaikan dan bersedih sehingga melemahkan diri serta sehingga melahirkan kata-kata mengkufurkan Allah s.w.t. Dalam al Qur’an ada menjelaskan mengenai emosi sedih. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat 277. 

Maksud-Nya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 

KEPENTINGAN EMOSI 

1. Kelangsungan Hidup (Survival)

Emosi memberi isyarat (alert) apabila keperluan sebagai manusia biasa tidak dipenuhi. Misalnya apabila manusia berada dalam kesunyian oleh kerana keperluan untuk berhubung dengan orang lain tidak dipenuhi. Selain itu, apabila manusia merasa takut yang disebabkan keperluan untuk keselamatan tidak dipenuhi. Apabila kita diketepikan (rejected) disebabkan keperluan yang diterima tidak dipenuhi. 

2. Membuat Keputusan 

Emosi menjadi punca maklumat berharga iaitu dengan membantu manusia membuat keputusan Menurut kajian apabila sistem hubungan emosi dalam otak terjejas atau rosak, manusia tidak akan dapat membuat keputusan walaupun yang mudah kerana dia tidak tahu bagaimana dia akan rasa tentang pilihannya. 

3. Membuat Jangkaan / Meramal Tingkahlaku 

Melalui emosi dapat meramal tingkahlaku sendiri dan tingkahlaku orang lain. Melalui pergerakkan tubuh individu mahupun reaksi individu dapat menunjukkan akan keadaan emosi individu tersebut. Contohnya emosi suka yang mana dapat diterjemahkan melalui reaksi senyuman dan ketawa. Melalui reaksi tersebut dapat dibuat jangkaan bahawa seseorang individu itu sedang berada dalam kegembiraan. 

4. Menentukan Batasan 

Emosi memberikan isyarat apabila diri tidak selesa dengan perlakuan seseorang. Jika percaya dengan emosi dan yakin dapat menyatakan perasaan akan dimaklumkan apa kita rasa atau berasas tidak selesa sebaik wujud rasa tidak selesa. Tindakan ini membantu kita menetapkan batasan untuk menjaga kesejahteraan, kesihatan fizikal dan mental. 

5. Komunikasi

Emosi membantu kita berkomunikasi dengan orang lain. Ekspresi wajah dapat menyampaikan maklumat tentang apa yang kita rasa pada waktu itu. Misalnya seorang individu berada dalam perasaan sedih, tersinggung, perlukan pertolongan dan sebagainya. Jika kita berupaya membaca gerak tubuh atau isyaratnya, kita dapat membantu dan menunjukkan empati. Melalui emosi juga membantu dalam komunikasi tanpa suara. 

6. Kegembiraan 

Emosi juga menjadi penting dalam membantu mengetahui bagi manusia bahawa mereka gembira apabila merasa gembira. Apabila merasa gembira kita berasa puas hati, selesa, nikmat perasaan yang datang apabila keperluan emosi dipenuhi. Oleh itu, emosi menjadi perkara penting dalam membawa penafsiran perasaan gembira dan suka.

7. Penyatuan 

Emosi mungkin punca potensi utama menyatukan umat manusia pelbagai agama, bangsa, budaya malahan pegangan politik. Emosi adalah bersifat menyeluruh (universal) yang mana merangkumi empati, belas kasihan, kerjasama dan kemaafan. Emosi juga boleh memecah belahkan umat emosi sepertimana emosi benci dan marah. Melalui perasaan benci dan marah dapat menimbulkan permasalahan dalam perhubungan seperti dalam institusi rumahtangga yang membawa kepada berlakunya kes-kes penceraian mahupun anak lari dari rumah. 

PERKEMBANGAN EMOSI 

Sejak awal kelahiran, manusia sentiasa berkembang dan terus berkembang dalam pelbagai sudut pertumbuhan fizikal, psikologi, mental dan sebagainya. Emosi juga adalah suatu bentuk daya kognitif yang terbentuk dan berkembang secara peringkat demi peringkat semenjak awal kelahiran. 

1. Emosi Idea 

Secara umumnya peringkat ini menggambarkan bahawa ekspresi penyampaian emosi adalah berada di peringkat permulaan. Manusia menyampaikan emosinya secara tidak sedar dan ia keluar daripada naluri semula jadi bawah sedar. Seorang kanak-kanak dapat merasakan sesuatu perasaan tetapi tidak dapat menyatakan mengapa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan timbulnya perasaan tersebut. Emosi yang disampaikan lebih dalam bentuk tindak balas gerakan fizikal. 

2. Emosi Pemikiran 

Emosi akan berkembang ke peringkat yang seterusnya iaitu apabila seseorang mampu mengaitkan emosi dengan pemikiran. Pengalaman daripada apa yang dilihat, didengar dan dialami direkodkan secara langsung sebagai reaksi emosi. Reaksi-reaksi tersebut akan disimpan dalam memori yang akan digunakan dalam proses pemikiran kelak. 

Pada peringkat awal kanak-kanak, kebolehan di dalam memahami emosi dan puncanya semakin meningkat. Pengawalan emosi kanak-kanak mula meningkat termasuklah kemampuannya untuk menerima kekecewaan serta menjadi seorang yang fleksibel dalam mengawal emosi dan dorongan. 

3. Faktor-Faktor Perkembangan Emosi 

Terdapat beberapa faktor membawa kepada perkembangan emosi manusia antaranya faktor kepintaran yang mana manusia yang lebih pintar adalah lebih peka kepada keadaan bahaya. Apabila diri sering terdedah kepada perkara bahaya maka emosi manusia akan terbentuk seperti emosi takut, cemas dan sebagainya. Selain itu, faktor jantina juga membawa kepada perkembangan emosi. Perempuan mempunyai ekspresi atau emosi takut melebihi sekiranya dibandingkan dengan lelaki. 

Seterusnya, faktor lain adalah seperti status sosioekonomi, keadaan fizikal, hubungan sosial, kedudukan dalam keluarga dan personaliti. Apabila manusia itu berada dalam kumpulan dan kumpulan itu membawa pengaruh emosi yang sama membuatkan semua ahlinya juga beremosi. Hal ini juga membantu kepada perkembangan emosi dari sudut hubungan sosial. Kanak-kanak tidak berasa yakin malahan berasa takut dalam sesuatu perkara. Perkara ini boleh dikaitkan dengan personaliti manusia. Personaliti kurang berkeyakinan melahirkan beberapa bentuk emosi seperti takut, malu dan sebagainya. 

CARA PENGURUSAN EMOSI 

1. Mengenal Emosi Diri Sendiri 

Seseorang individu itu perlulah cuba mengenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut. Dengan kata lain, fikiran boleh menyebabkan wujudnya satu perasaan dan setelah wujudnya perasaan, maka timbullah keinginan untuk diperlakukan melalui perbuatan atau perlakuan. 

2. Mengurus Emosi Sendiri 

Seseorang individu itu perlulah pandai mengambil peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi itu datang tanpa diundang tetapi diri sendiri yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri dan apakah ia mendatangkan positif atau negatif. 

3. Mengenali Emosi Orang Lain 

Seseorang individu itu perlu mengenali perasaan diri sendiri dahulu, kemudiannya barulah cuba untuk mengenali, memasuki dan menjelajahi emosi individu yang lain pula atau dengan kata lain empati. Cara ini perlu bagi mengelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila ada individu lain yang mahu mencurahkan emosi mereka. 

4. Memotivasikan Emosi Yang Negatif 

Seseorang individu itu perlulah menjadikan emosi yang negatif itu sebagai satu alat untuk meningkatkan keupayaan dalam berfikir, merancang dan menyelesaikan sebarang masalah. Emosi yang negatif sebagai pemangkin kepada perubahan emosi yang positif. 

5. Mengendali Perhubungan Melalui Komunikasi 

Setelah mengenali emosi orang lain dan berjaya serta berupaya mengurus diri sendiri, maka perhubungan yang positif dan keakraban dapat dibentuk dan diwujudkan. Perhubungan dan keakraban ini boleh diwujudkan dengan lebih baik lagi melalui komunikasi dan ia boleh mengekspresikan pemikiran secara aktif tanpa diwarnai dengan kemarahan. 

HUBUNGAN EMOSI DENGAN KESIHATAN MANUSIA 

Emosi yang sihat berkait rapat dengan setiap tindak-tanduk kita, justeru ia wajar diberi perhatian. Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan juga akan lebih terkawal. Individu akan lebih tabah menghadapi dugaan, mampu menjalinkan perhubungan yang bermakna dan bersemangat kental. Mental sihat, cergas dari segi mental bukan bermakna kita hidup tanpa sebarang masalah dan kedukaan. Sebaliknya apa yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan bersandarkan kekuatan yang dimiliki. Penjagaan fizikal jaminan emosi sihat, walau berapa pun usia, perhatian yang diberikan terhadap kesihatan fizikal, iaitu dengan menjaga tubuh badan akan sekali gus menjadikan mental lebih sihat. Hal ini kerana sewaktu bersenam, otak dan sistem saraf akan menghasilkan sejenis kimia yang dinamakan endorfin yang mampu menceriakan mood seseorang. Senaman dapat meredakan tekanan, mengurangkan kerisauan dan kemurungan. Mengamalkan corak pemakanan yang seimbang dan memastikan badan mendapat zat makanan yang diperlukan dengan secukupnya. Cara paling mudah ialah dengan mengambil makanan tambahan. 

Terlalu beremosi boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan disamping mengarahkan diri kepada penyakit-penyakit. Emosi marah yang berlebihan dapat menyebabkan sakit jantung. Takut yang berlebihan menyebabkan kemurungan. Kebimbangan yang berlebihan memudaratkan buah pinggang. Sedih yang berlebihan menyebabkan sakit jantung. Malu yang berlebihan menyebabkan penyakit seperti ulser dan penyakit hati.[3] 

KESIMPULAN 

Emosi memiliki bentuk yang berbeza yang terdiri daripda emosi berbentuk suka, sedih, marah, malu, takut dan sebagainya. Emosi berkembang kerana motif/motivasi yang lahir dalam diri manusia. Motivasi dan emosi adalah saling berhubungan iaitu apabila motivasi berada dalam keadaan buruk maka emosi manusia itu akan menjadi buruk dan sebaliknya. Kesihatan manusia adalah bergantung kepada kecerdasan atau kesihatan emosi. 

Sekiranya emosi individu itu tidak baik dan berada dalam keadaan terganggu, ia sedikit sebanyak menganggu tahap kesihatan individu tersebut. Oleh itu, pengurusan emosi yang baik perlu dilakukan oleh manusia tidak kira usia. 

[1] Fariza Md. Sham (2005), Tekanan Emosi Remaja Islam. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia) h. 6 
[2] Abdul Rashid Mohamed, & Mohamad Daud Hamzah. (2005), Kajian Korelasi Emosi Malu Dengan Pencapaian Akademik Di Kalangan Mahasiswa Melayu. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil 20, h.154-155 
[3] Mohammad Ali Toha Assegaf. (2010), 365 Tips Sehat Ala Rasulullah. Indonesia : Hikmah
Share:

Istana Negara Siap Sedia Sambut Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke 15



Rakyat Malaysia akan sekali lagi menyaksikan acara bersejarah pertabalan Ketua Utama Negara apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu adzam Shah.
Ini merupakan kali kedua istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan menjelang upacara penting itu, persiapan di venue utama itu yang diatur begitu teliti dan penuh istiadat kebesaran di raja sejak enam bulan lepas telah memasuki fasa akhir.
Walaupun tiada sebarang perubahan besar, namun Istana Negara telah dihias indah dengan landskap dan lampu-lampu berwarna-warni yang memberi nilai tambah dan membangkitkan seri lokasi itu yang menjadi mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Sempena istiadat itu juga, poster-poster dan kain rentang yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong turut dipasang di lokasi-lokasi strategik sekitar ibu kota menuju ke Istana Negara bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan menjadi ketua negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Acara pertabalan itu akan menandakan secara rasminya Sultan Muhammad V memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang akan diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi beraja di negara ini.
Menurut Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini tarikh pertabalan itu yang juga jatuh pada tarikh kebesaran Islam iaitu Israq dan Mikraj, dipilih sendiri oleh Seri Paduka setelah mendapat nasihat daripada ulama-ulama dan para mufti.
Acara pertabalan itu yang mungkin hanya disaksikan dalam tempoh lima tahun dijangka bermula pada 9.30 pagi esok dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).  
Sultan Muhammad V sebelum ini telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 13 Dis 2016 yang telah mengukuhkan dan memberi legitimasi kepada kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Pertabalan Sultan Muhammad V itu merupakan kali kedua Sultan Kelantan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan memerintah dari 21 Sep 1975 hingga 29 Mac 1979.
Sultan Muhammad V yang diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.
Menurut Azuan, istiadat pertabalan itu memberi tumpuan bagi mengekalkan elemen-elemen teras adat istiadat yang telah diamalkan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini.
Acara esok akan dimulakan sebaik keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Peterana Diraja bagi mengambil Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM.
Antara elemen penting dalam istiadat berkenaan ialah berangkat masuk Seri Paduka ke dalam Balairong Seri dengan diiringi alunan muzik "Raja Berangkat" daripada Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta pembawa alat-alat kebesaran Diraja, yang merupakan elemen penting yang mencerminkan kedudukan mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Sepanjang istiadat pertabalan itu juga, Datuk Paduka Maharajalela akan menyembahkan naskah Al-Quran kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolik peranan Seri Paduka sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.
Juga penting pada acara itu ialah penyerahan Keris Panjang Diraja atau juga dikenali sebagai Keris Kerajaan sebagai lambang kesediaan seseorang raja untuk memikul amanah sebagai ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.
Klimaks pada acara pertabalan itu nanti ialah apabila Seri Paduka melafazkan titah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong dan seruan "Daulat Tuanku" tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti oleh para hadirin dalam Balairung Seri.
Serentak itu lagu Negaraku akan dimainkan berserta tembakan meriam 21 das dimulakan sebagai simbolik pengumuman kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong yang baharu telah ditabalkan.
Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.-23/4/2017 Oleh SH Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer,Bernama
Share:

Panduan Yang Simple Untuk Hidup Bahagia


Kebahagian dalam hidup adalah anugerah terbaik dalam hidup setiap insan. Setiap orang impikan yang terbaik dan berusaha untuk memenuhinya demi insan-insan yang tersayang. Untuk memilikinya perlu hadapi pelbagai ujian dan halangan. Hanya mereka yang gigih berusaha, tabah dan tidak jemu mencuba akan berjaya.

Mari kita kongsi panduan hidup tulisan seorang pensyarah bernama 
En Ahmad Zamri 47 tahun, 
seorang Pensyarah Sains Komputer dari Malaysia Dia meninggal dunia disebabkan oleh kanser pankreas pada 2008, tetapi dia menulis buku "The Last Lecture" pada 2007. Suatu legasi yang dia tinggalkan.

Dalam suratnya kepada isteri dan anak-anaknya, Didi Lokman, dan Cici dia menulis satu panduan yang sangat baik, "Panduan Untuk Hidup Yang Lebih Baik" untuk isteri dan anak-anaknya. 

Bagaimana untuk memperbaiki hidup anda.

1. Jangan bandingkan hidup anda dengan orang lain. Anda mungkin tidak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka.

2. Jangan mempunyai pemikiran negatif terhadap benda yang kamu tidak boleh kawal. Sebaliknya, tumpukan tenaga anda terhadap benda yang positif yang anda miliki pada masa ini.

3. Jangan terlebih buat apa yang anda mampu. Cukuplah setakat yang anda mampu.

4. Jangan terlalu serius terhadap diri anda. Tiada siapa yang berbuat demikian.

5. Jangan bazirkan tenaga anda terhadap gossip.

6. Berfikir lebih jauh bila anda masih terjaga.

7. Iri hati adalah sia-sia. Kamu sudah mempunyai semua yang kamu perlukan.

8. Lupakan perkara yang sudah lepas. Jangan ungkit kesilapan pasangan anda di masa lampau. Ianya akan menghancurkan kegembiraan anda di masa kini.

9. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci sesiapa. Hindarkan daripada membenci sesiapa.

10. Berdamailah dengan masa lalu kamu supaya ia tidak akan merosakkan masa sekarang kamu.

11. Tiada siapa yang mengawal kegembiraan kamu selain dari kamu sendiri.

12. Ketahuilah bahawa hidup ini ialah seperti sekolah dan kamu di sini untuk belajar. Masalah ialah salah satu dari kurikulum yang akan muncul dan pergi seperti kelas algebra, tetapi pengajarannya akan kamu pegang seumur hidup kamu.

13. Senyum dan tertawa selalu.

14. Kamu tidak perlu menang setiap pertengkaran. Setuju untuk tidak setuju.

15. Hubungi keluarga kamu selalu.

16. Beri sesuatu yang baik untuk orang lain setiap hari.

17. Maafkan orang lain.

18. Luangkan masa untuk orang yang berumur 70 tahun ke atas dan 6 tahun ke bawah.

19. Pandangan orang lain terhadap kamu bukan urusan kamu.

21. Pekerjaan kamu tidak akan menjaga kamu bila kamu sakit tetapi keluarga kamu akan menjaga kamu. Selalu berhubung. 

22. Dahulukan Allah swt dalam segala yang kamu fikir, katakan dan buat.

23. Allah swt itu penyembuhan.

24. Buat perkara yang betul.

25. Bagaimana baik atau buruk pun situasi sekarang, ia akan berubah.

26. Bagaimanapun yang kamu rasa, bangun, salin pakaian dan pergi.

27. Yang terbaik akan datang kemudian.

28. Buang apa yang tidak berguna atau yang tidak menggembirakan.

29. Bila kamu terjaga di waktu pagi, bersyukur kepada Allah swt..

30. Kalau kamu kenal Allah swt kamu akan gembira selalu. Jadi, bergembiralah selalu.

Apabila kamu mengamalkan kesemua di atas,  Bukan sahaja ianya akan memperbaiki hidup anda, tetapi juga orang di sekeliling anda.
Share:

Kuasa Istimewa Yang Ada Pada Solat Subuh



KEMENANGAN pertama seorang Muslim melawan godaan syaitan adalah ketika dia bangkit daripada tidur untuk menunaikan solat subuh, sama ada berjemaah atau bersendirian.

Ini kerana solat subuh adalah ritual agama Islam yang paling kerap ditinggalkan atas pelbagai sebab. Antara yang popular adalah lewat bangkit dari tidur dan memenuhi desakan urusan berkaitan kerjaya.

Namun begitu, bagi Pengasas Institut Bayyinah, Amerika Syarikat, Nouman Ali Khan, solat subuh sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ramai yang tidak menyedari perkara itu walaupun keistimewaan tersebut ada disebut dalam al-Quran,” kata pendakwah warga Amerika Syarikat dalam satu siri ceramahnya yang dipetik daripada laman web LoveAllah328, baru-baru ini.

Ikuti temubual dengan beliau:

Boleh saudara terangkan surah berkenaannya?

Nouman - Ada mesej yang baik tentangnya daripada surah al-Isra’ ayat 78, bermaksud:

“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”

Dalam surah itu, Allah SWT menyuruh kita mendirikan solat. Tetapi, Allah SWT menyebut secara khusus tentang solat subuh berbanding dengan solat fardu yang lain. Ia seolah-olah menunjukkan sesuatu yang istimewa tentang solat itu.

Apakah keistimewaan itu?

Nouman - Pada akhir ayat tersebut, Allah SWT menyatakan bahawa ia disaksikan (mashood). Jadi, apa yang kita lakukan pada waktu itu iaitu bersolat, baca al-Quran dan lain amalan sunat akan disaksikan.

Persoalannya, siapakah yang menyaksikannya? Sedangkan pada waktu itu, semua orang sedang tidur. Sesiapa yang bersolat pada waktu itu pun, tidak ada orang yang melihatnya.

Siapa yang menyaksikan?

Nouman - Biasanya, mashood itu berlaku pada tengah hari dan tempat popular tetapi masjid bukan tempat popular, lebih-lebih lagi pada waktu solat Subuh.

Tetapi dalam ayat itu, Allah SWT menyatakan “...sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” Bermakna, ia bukan disaksikan oleh manusia di sekeliling kita tetapi oleh malaikat yang mencatatkan amalan kebaikan.

Lebih penting lagi oleh Allah SWT yang melihat hamba-Nya datang sujud kepada-Nya. Hamba-Nya itu meninggalkan kenikmatan tidur dan urusan dunia lain. Saya sering kali menasihati diri sendiri supaya menjadikan amalan tidur lebih awal sebagai rutin harian.

Mudahkah amalan tidur lebih awal ?

Nouman - Ia sesuatu yang mudah untuk diucapkan tetapi sukar diamalkan. Kita sering ada banyak urusan dunia yang perlu dilakukan.

Urusan dunia itu menjadi lebih banyak menjelang petang. Ini ditambah pula, waktu itu syaitan cukup aktif menggoda manusia dengan kenikmatan dunia.

Urusan dunia itu menyebabkan kita tidur lambat, maka secara asasnya, solat subuh bukan lagi termasuk dalam senarai urusan penting kita.

Kita mungkin solat subuh tetapi dalam keadaan tidak khusyuk, walaupun kita bangun apabila terdengar azan.

Apa yang perlu dilakukan?

Nouman - Jadikan amalan tidur awal sebagai satu rutin harian. Ini kerana, kita akan mampu bangun lebih awal. Kita juga boleh baca al-Quran sebelum azan subuh. Saya percaya, anda akan dapat manfaat dari sudut kerohanian pada masa itu juga.-Utusan
Share:

SPM 2016 : GPN Lebih Baik, 8,647 Calon Peroleh Semua A




PUTRAJAYA: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15 pada tahun 2015, umum Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

"Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik," katanya dalam sidang media ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2016 di sini, Khamis.

Seramai 8,647 daripada 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon pada tahun 2015, katanya.

Seramai 102 calon atau 1.94 peratus calon memperoleh A+ pada tahun ini berbanding 163 calon atau 2.6 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.

"Walaupun Gred A telah berkurangan, GPN semua mata pelajaran telah meningkat secara signifikan. Ini bermakna prestasi keseluruhan pelajar meningkat tetapi yang mendapat gred tinggi (semua A) berkurangan, kemungkinan tertumpu B+.

"Secara keseluruhan, prestasi pencapaian individu pelajar adalah lebih baik pada tahun ini," katanya.

Seramai 434,535 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2016 berbanding 440,682 calon pada 2015, iaitu berkurangan 1.39 peratus atau 6,147 calon.

Khair berkata 340,698 atau 85.21 peratus calon layak dianugerahkan sijil SPM pada tahun 2016 iaitu 313,667 calon sekolah Kementerian Pendidikan manakala 27,031 adalah calon selain sekolah kementerian.

Beliau berkata sebanyak 41 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 28 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi empat mata pelajaran tidak berubah.

"Empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran teras yang lain seperti Matematik, Sejarah dan Pendidikan Moral mencatatkan penurunan," katanya.

Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.32 Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) manakala mata pelajaran Matematik menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.29 GPMP, katanya.

Nilai GPMP yang lebih kecil menunjukkan prestasi yang lebih baik.Khair berkata jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar semakin mengecil yang mana nilai GPN mengecil sebanyak 0.03 iaitu 0.47 berbanding 0.50 tahun 2015.

Beliau berkata pencapaian GPN bagi calon luar bandar menunjukkan peningkatan 0.08 iaitu 5.36 pada tahun 2016 berbanding 5.44 pada tahun 2015.

Pencapaian calon di bandar pula meningkat sebanyak 0.05 iaitu 4.89 pada tahun 2016 berbanding 4.94 pada tahun 2015, katanya.

"Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar," katanya.

Bagi calon berkeperluan khas, Khair berkata 510 atau 58.42 peratus daripada 873 calon layak dianugerahkan SPM.Bagi sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Khair berkata seramai 214,971 calon atau 52.83 peratus berjaya memperoleh sijil itu.

Seramai 40,725 calon atau 55.11 peratus daripada 73,891 calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account melalui kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan Pearson, United Kingdom, katanya.-Bernama
Share:

Cikgu 'Sanggul Tinggi' Dalam Komik Lat Meninggal Dunia.



IPOH: Mrs Hew, seorang guru bercermin mata, bersanggul tinggi ala sarang lebah dan sering bersama rotan, salah satu watak popular dalam komik Lat, telah meninggal dunia pada usia 80.

Anak sulungnya, Alvin Hew, 53, berkata ibunya, Lee Siew San yang amat berbangga dirinya menjadi salah satu watak dalam komik Lat, meninggal dunia di kediaman mereka di Canning Garden kira-kira pukul 1.30 pagi Rabu.

"Ketika Lat pertama kali melukis dirinya dalam komik, beliau tahu watak itu adalah dirinya. Walaupun berasa bangga, tetapi beliau tidak pernah memberitahu orang ramai," katanya.

Alvin berkata gambaran Lat mengenai ibunya telah menjadikan Siew San terkenal selain membolehkan beliau bercampur dengan orang-orang kenamaan apabila Lat menjemput beliau menghadiri pameran, termasuklah tayangan perdana Lat the Musical.

"Kami amat berbangga dengan warisan yang dicipta oleh Lat ini berdasarkan karektornya," kata Alvin yang ditemui di gereja, Khamis.Suami Siew San, Hew Chai Kee berkata beliau juga sedikit-sebanyak terkena tempias status selebriti isterinya.

"Beliau pernah berkata 'saya adalah isteri Hew Chai Kee' dan saya juga pernah berkata 'saya adalah suami Moira Hew'," katanya sambil ketawa.

Chai Kee, 87, seorang bekas pelombong timah, pernah bertanding menentang pengasas bersama PPP Datuk S.P. Seenivasagam bagi kerusi Menglembu pada pilihan raya umum tahun 1969.

Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, telah memberi penghormatan kepada guru bahasa Inggerisnya itu, sambil menambah Siew San adalah salah seorang individu terawal yang memberikan pengaruh dalam kehidupannya.

Katanya, beliau belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) di Jalan Pasir Putih selama dua tahun dari 1962.

"Saya dan rakan-rakan adalah budak kampung yang tidak bercakap walau sepatah perkataan Inggeris. Kemudian, hanya dalam masa dua tahun, saya tiba-tiba faham apa yang saya dengar di radio.

"Beliau menggalakkan saya melukis di dinding bilik darjah dan untuk majalah sekolah.

"Wajahnya serius seperti dalam komik, tetapi beliau sangat baik hati. Jika tidak kerana dedikasinya, tiada apa yang dapat kami pelajari," katanya.

Mendiang turut meninggalkan dua lagi anak, Belinda, 52, dan Cyril, 49, serta empat cucu.

Cucu sulungnya, Inaki Hew, 17, yang menemani Siew San ketika acara pembukaan Lat the Musical pada 2011, berkata beliau sentiasa tahu bahawa neneknya adalah inspirasi untuk watak dalam komik. - MSTAR


Share:

MRSM Sultan Azlan Shah Nama Baru MRSM Kuala Kangsar



KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam berkenan mengisytiharkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah sebagai nama baharu MRSM Kuala Kangsar pada perasmian MRSM itu di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nama baharu MRSM ke-8 di Perak dan ke-50 di Malaysia itu adalah bersempena nama ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak ke-34.

MRSM Sultan Azlan Shah yang dibangunkan di atas kawasan seluas 20 hektar di Liman Kati Mukim Kota Lama Kiri di sini, mula beroperasi pada 6 Julai 2015 di bawah pimpinan Pengetua Shahrome Daud.

Kini MRSM itu mempunyai 725 pelajar meliputi 347 pelajar lelaki dan 378 perempuan dengan 51 guru dan 29 staf sokongan.

Penubuhan MRSM itu disasar menjadi pemangkin bukan sahaja dari sudut limpahan ekonomi tetapi juga pencetus kecemerlangan pendidikan anak-anak tempatan dengan adanya usaha sama untuk melaksanakan pelbagai program.

Sejak penubuhan MRSM pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada 1972, kini terdapat 52 institusi itu di seluruh negara untuk memperluaskan lagi penyertaan bangsa Melayu dalam bidang sains, teknologi, pengurusan dan kerjaya peringkat profesional sekali gus mendaulatkan golongan bumiputera dalam bidang keusahawanan melalui pendidikan.

Sehingga kini, MRSM telah melahirkan lebih 170,000 pelajar dan ramai yang menjadi tokoh penting negara sama ada dalam kerajaan, korporat mahupun sebagai pemimpin politik serta usahawan dan golongan profesional. – BERNAMA
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages