KAK JUE BLOG'S

Kerajaan Negeri Pandang Serius Kes Hamil Luar Nikah



IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius kes hamil luar nikah di kalangan remaja di negeri ini yang turut menyumbangkan kepada 5,705 kes anak tidak sah taraf bagi tempoh 2014 hingga 2015.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikna Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, sebagai langkah pencegahan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LPPKN giat melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik daripada Jabatan Kesihatan, kes itu melibatkan 1,679 remaja.

"Program pendidikan turut dijalankan untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada remaja termasuk kepada ibu bapa mengenai hubungan seks luar nikah dan meningkatkan pengetahuan kesihatan reproduktif remaja melalui program intervensi (campur tangan oleh sebuah badan dalam sebuah permasalahan)," katanya semasa sesi penggulungan di Sidang DUN pada Isnin.

Rusnah berkata, bagi remaja yang telah hamil dan memerlukan perlindungan segera, mereka boleh ditempatkan di institusi perlindungan di bawah JKM atau pusat perlindungan swasta di negeri ini.

"Di bawah JKM, kita ada Taman Seri Putri Batu Gajah, di sini remaja itu diberi kaunseling dan bimbingan pengurusan diri serta penjagaan anak yang bakal lahir.

"Langkah lain bakal diambil ialah mewujudkan Pusat Remaja Kafe@TEEN sebagai tempat memberi maklumat berkaitan isu-isu kesihatan dan psikososial termasuk khidmat kaunseling oleh JKM," ujarnya.

Selain itu, kata Rusnah, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI) telah dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah, 52 Sekolah Rendah dan 7 IPT membabitkan sejumlah 9458 orang pelajar.

Menurut beliau, program khas turut diperkenalkan untuk remaja lelaki bagi membantu menangani isu sosial dari terus menular.
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages