KAK JUE BLOG'S

#Skim Piramid Kini Di Pantau.


PETALING JAYA: Sebuah syarikat jualan langsung menimbulkan syak wasangka selepas menuntut pelaburan besar daripada ahli-ahli yang berpotensi.
Menjanjikan hasil kekayaan dan pulangan lumayan, syarikat itu juga memberitahu bakal pelanggan supaya membuat pinjaman peribadi untuk melabur.
Satu carian menerusi laman Google mendedahkan senarai panjang aduan dan dakwaan bahawa syarikat itu menjalankan skim piramid yang menyebabkan ramai mangsa jatuh miskin sebelum mereka menyertainya.
Pada 2014, Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) menerima sekurang-kurangnya lima aduan dan pertanyaan mengenai kesahihan syarikat itu.
E-mel dan panggilan telefon merupakan modus operandi syarikat itu untuk merekrut ahlinya.
Pengarah Eksekutif DSAM, Lawrence Cheah berkata aduan ini dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.
"Malangnya, kekurangan bukti dalam bentuk hitam putih menjadikan ia sukar bagi pihak berkuasa untuk bertindak. Malah ada yang tidak bersedia untuk membuat aduan secara rasmi dan tampil memberi keterangan jika ia diheret ke mahkamah.
"Mereka yang menghubungi kami mengatakan mereka diminta melabur sejumlah wang bernilai RM20,000 atau lebih dengan jaminan pulangan lumayan dan dimaklumkan bahawa mereka akan dibayar sekiranya merekut ahli baharu.
"DSAM merupakan ahli Persekutuan Dunia Persatuan Jualan Langsung (WFDSA). Ahli kami mengamalkan kawalan kendiri berdasarkan kod diiktiraf di peringkat global dan Kod Etika - KPDNKK.
"Memandangkan syarikat itu bukan ahli kita, kita hanya boleh membantu kementerian dengan menghantar semula aduan yang diterima," katanya.
Cheah berkata 'starter kit' untuk syarikat yang sah biasanya di bawah RM200 dan memaksa ahli baharu untuk membeli saham atau melabur adalah salah di sisi undang-undang.
Mendapatkan bayaran untuk merekrut juga tidak dibenarkan.
"Ahli hanya boleh mendapat keuntungan daripada jualan dan komisen menerusi penjualan produk," katanya.
Presiden Persatuan Pengedar Langsung Malaysia (MDDA), Rosedy Issa mengesahkan syarikat itu mendapat lesen daripada kementerian dan juga ahli persatuan berkenaan.
"Kami menerima banyak pertanyaan mengenai sama ada syarikat ini sah di sisi undang-undang," katanya.
Beliau berkata lesen syarikat itu dikeluarkan pada 2013 dan akan tamat Ogos tahun ini.
Menurut Rosedy, selepas dimaklumkan Sunday Star, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya menyemak dengan kementerian, MDDA dan DSAM sama ada syarikat itu benar-benar wujud sebelum menyertainya.
"Kami memandang serius aduan orang ramai kerana ia menjejaskan nama baik industri ini," katanya.
Kementerian itu dikatakan masih memantau syarikat tersebut walaupun siasatan baru-baru ini menunjukkan perniagaannya adalah sah.
Pada 20 April lalu, pihak berkuasa mendapati bahawa pelan pemasaran syarikat itu adalah selaras dengan syarat dan terma lesen.
Malah semua produk yang dipasarkan telah diluluskan, kata kementerian itu dalam satu reaksi balas menerusi e-mel.
"Bagaimanapun, syarikat itu masih dipantau. Pemeriksaan akan dijalankan apabila ia terpakai untuk memperbaharui lesennya yang akan tamat pada Ogos ini, "katanya.
Sehingga kini, tiada permohonan pembaharuan telah dikemukakan.- mstar
Share:

Trafik Dari Kuala Kangsar Ke Simpang Pulai Sesak, Laluan Kontra Diaktifkan - PLUS/LLM

Gambar sekadar hiasan... 
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan dari Kuala Kangsar menghala ke Simpang Pulai sesak sepanjang 30 kilometer, setakat pukul 1.30 tengah hari Ahad.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata keadaan itu berlaku berikutan peningkatan jumlah kenderaan apabila orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti sempena Aidilfitri.

"Laluan kontra diaktifkan dari Km 289.6 hingga Km 295.6 dari Simpang Pulai ke Gopeng untuk menyuraikan kesesakan trafik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.....

Share:

KBS Perhebat Strategi Pastikan Belia Menjauhi Ekstremisme - Khairy



PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan sedang menyelaras dengan pelbagai persatuan belia dan pakar-pakar untuk mendekati kumpulan sasaran dalam usaha mendidik mereka mengenai bahaya fahaman militan  dan ekstremisme.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata kementerian juga sedang mengkaji pelbagai aspek termasuk platform media sosial tentang bagaimana belia mudah  dipengaruhi dan direkrut untuk menyertai kumpulan ekstremis.

"Kami amat bimbang mengenai radikalisasi golongan muda di Malaysia.

"Jadi kami membawa ramai pakar-pakar ke universiti dan persatuan belia untuk berceramah kepada belia bagi memastikan bahawa mereka tahu bagaimana radikalisasi berlaku," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet di Seri Perdana di sini hari ini.

Khairy berkata, kementerian telah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mengambil tindakan pencegahan terutama dari segi keselamatan sementara kementeriannya menumpukan kepada pendidikan dan kesedaran.

"Bagaimana pengambilan dilakukan secara online. Ini amat penting kerana anggota direkrut secara online oleh kumpulan-kumpulan seperti Daesh tanpa kadang-kadang mengetahuinya.

"Mereka mungkin direkrut melalui mesej politik, mesej agama selepas mereka diradikalisasi," kata beliau.

Beliau berkata kementerian akan menganjurkan lebih banyak program seperti program Sukarelawan Antarabangsa untuk membolehkan ramai golongan muda dari Malaysia menyumbang secara positif di luar negara.

"Sekarang, 50 orang belia dari Malaysia berada di Kemboja kerana melakukan kerja-kerja komuniti. Kita memerlukan lebih banyak peruntukan untuk memperluaskan program ini.
"Jika kita memberi peluang kepada golongan muda dari Malaysia untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa dengan melakukan kerja-kerja komuniti, maka kecenderungan untuk menyertai pertubuhan-pertubuhan radikal akan berkurangan," katanya. - awani
Share:

Umat Islam Di Malaysia Sambut Aidilfitri Rabu Ini


KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Rabu ini.
Pengumuman tarikh itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menerusi siaran televisyen pada Isnin malam.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 6 Julai 2016 " katanya. - Bernama
Share:

Juara Tahfiz Muda Astri Oasis Dipilih Sebagai Ikon Rakan Muda Masjid Negeri Perak


Juara Tahfiz Muda Astro Oasis 2016 musim pertama Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos, 11, dipilih sebagai ikon Rakan Muda Masjid peringkat negeri Perak bagi menarik generasi muda, khusus sebayanya berminat mendalami ilmu al-Quran dan berkunjung ke surau dan masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya percaya adalah lebih efektif sekiranya anak muda sendiri yang menyampaikan kepada generasi muda lain kerana mereka boleh bercakap dalam bahasa dan lenggok gaya anak muda.

"Saya telah bincang dengan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan kita bersetuju menjadikan adik Aqil sebagai ikon program Rakan Muda Masjid. Apabila ada program ini, jika berkesempatan kita akan bawa adik Aqil ke program keagamaan di negeri ini.

"Sekurang-kurangnya untuk pembukaan membaca al-Quran, majlis membaca doa dan adalah lebih baik juga beliau memberi tazkirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Kepujian kepada Mohamad Aqil di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Kunda di sini itu akan fokus di seluruh masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Bagan Datoh dahulu berikutan tidak mahu mengganggu konsentrasi pembelajarannya sekiranya kerap dijemput memenuhi undangan.

"Buat permulaan, dia akan dijemput ke surau dan masjid terpilih pada waktu-waktu tertentu bagi tarik golongan muda sepertinya untuk bersama beribadah dan saya rasa ia suatu pendekatan yang efektif.

"Kalau orang tua ajak, mereka mungkin pergi atas rasa takut, tapi kalau generasi muda kawan-kawan mereka sendiri yang ajak ke masjid, saya rasa ia satu pelawaan daripada rakan sebaya, bukanlah atas rasa takut tapi atas semangat setia kawan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Aqil ketika ditemui berkata beliau tidak sangka dan berterima kasih dengan pelantikannya sebagai ikon Rakan Muda Masjid.
Mula belajar mengaji dengan ayahnya Mohd Fairos Ashaari seawal usia empat tahun dan khatam al-Quran pada usia 7 tahun, anak kelima daripada enam beradik itu berkata beliau akan menghafaz al-Quran setiap kali waktu solat, terutama selepas subuh dan maghrib.

"Ayah saya seorang ustaz Sekolah Menengah Agama Rakyat Irshadiah di sini dan dialah yang mengajar saya mengaji. Semasa mengaji apa yang paling penting jangan main-main dan kena fokus," katanya yang mahu menjadi seorang pensyarah apabila dewasa nanti.

Share:

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Julai Bukti Kerajaan Tak Muflis @NajibRazak



Perlaksanaan kenaikan gaji penjawat awam bermula Julai depan membuktikan kerajaan hari ini menunaikan janji yang dibuat, sekaligus menolak tohmahan beberapa pihak mengenai kedudukan kewangan kerajaan yang disifatkan tidak stabil dan cekap.
Mengumumkan kenaikan satu tangga gaji itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tuduhan negara bakal berdepan dengan masalah muflis adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya kerajaan tetap komited dalam usaha menjaga kepentingan rakyat.
“Meskipun berdepan tohmahan dan pelbagai fitnah, terutamanya berkenaan keadaan kewangan kerajaan dan negara, malah ada yang berkata kita akan jatuh muflis dan sebagainya, kerajaan tetap meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai yang paling utama.
“Insya-Allah, bermula bulan Julai 2016, kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum RM1,200 kepada penjawat-penjawat awam seluruh negara akan mula dilaksanakan sepertimana yang telah saya umumkan dalam Bajet 2016 yang lalu,” kata Najib.
Beliau berkata demikian melalui salah satu entrinya di laman Facebook miliknya pada Khamis.
Najib yang juga Menteri Kewangan amat berterima kasih dan menghargai komitmen yang ditunjukkan penjawat awam selama ini dan berharap dengan kenaikan tersebut memberi semangat baru kepada penjawat awam.
“Usaha dan kerja keras penjawat-penjawat awam amat kerajaan hargai dan saya harap dengan bantuan ini akan terus membakar semangat semua penjawat awam untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan cemerlang, Insya-Allah,” katanya.
Pada pembentangan Bajet 2016 tahun lalu, Najib mengumumkan kerajaan telah bersetuju memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred bermula Julai 2016.
Kenaikan gaji tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.
Share:

Kemeriahan Iftar di Masjid Nabawi


MADINAH: Usai solat Asar, makanan siap dipek, minuman berkaleng, botol dan kotak serta manisan mula dibawa ke Masjid Nabawi untuk berbuka puasa.
Kanvas dihamparkan manakala plastik putih yang bertindak umpama saprah mula dibentang di luar kawasan Masjid Nabawi.
Anak-anak muda lelaki berganding bahu membentang kanvas dan plastik putih panjang sebelum kawasan dataran Masjid Nabawi dibanjiri jemaah umrah serta penduduk sekitar untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Di kaki lima hotel pula laungan sabil sabil jelas kendengaran yang mana edaran makanan dan minuman sedang rancak diagihkan.
Di dalam masjid juga makanan diagihkan biar pun tidak semeriah seperti di dataran Masjid Nabawi.
Boleh dikatakan, Ramadan di Arab Saudi khusunya di dua kota suci umpama pesta ibadat, pesta bersedekah, pesta makanan dan minuman serta jalinan silaturahim yang semakin akrab sepanjang bulan puasa.
Sejurus azan Maghrib berkumandang, semua menjamah manisan, makanan dan minuman. Namun selepas 10 minit, anak-anak muda menghampiri jemaah dan mengingatkan untuk bersolat.
Lima minit kemudian, lauangan qamat pula kedengaran sekali gus menandakan solat Maghrib berjemaah akan bermula.
Sekali lagi suara anak-anak muda yang begitu pantas berkemas dan mengangkat kanvas menasihatkan jemaah agar menyegerakan solat.
Kagum melihat kecekapan mereka berkemas kerana dalam masa singkat kawasan di dataran Masjid Nabawi kembali bersih dan boleh dijadikan tempat bersolat.
Share:

#Tragedi Mercun Musim Perayaan :Tiga Jari Hancur Mercun Bola Dipegang Meletup.


KOTA BHARU 25 Jun Seorang remaja berusia 17 tahun terpaksa me­nyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kedukaan apabila tiga jari kanannya hancur setelah mercun bola yang dipegangnya meletup da­lam kejadian di Kampung Bu­kit Panau, Tanah Merah, semalam

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Nik Rashidi Azman dikatakan bermain mercun itu bersama adiknya, Nik Ridwan Azman, 15, di kawasan rumah jiran mereka. 

Akibat insiden berkenaan anak ketiga daripada lima beradik itu turut mengalami kece­deraan di bahagian muka.

Ibunya, Ungku Aznah Ungku Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak juadah untuk berbuka puasa di rumah sebelum dimaklumkan oleh Nik Ridzwan bahawa jarinya abang­nya berdarah akibat mercun tersebut. 

Katanya, Nik Ridwan memberitahunya bahawa mercun yang dipegang abangnya itu meletup di tangan sebelum sempat dilemparkan ke arah lain. 

“Akibat daripada kejadian itu, jari telunjuk, jari tengah dan jari manisnya hancur sehingga menampakkan tulang. Bagaimanapun adik, Nik Ridwan tidak me­ngalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini. 

Tambah Ungku Aznah, anak­nya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai oleh penduduk sekitar sebelum dirujuk ke HRPZ II bagi mendapat rawatan susulan malam tadi. 

“Saya bimbang, kecederaan yang dialami Nik Rashidi begitu teruk. Hari ini jururawat mencuci luka kerana dikhuatiri akan dijangkiti kuman. Saya sedih melihat dia menahan sakit ketika proses tersebut,” katanya. 

Katanya, dia tidak pasti dari mana mereka mendapatkan mercun memandangkan sebelum ini anaknya itu jarang bermain bahan berbahaya itu. 

Katanya, dia juga selalu menasihatkan anak-anaknya supaya tidak bermain mercun kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini. 

“Dengan 10 hari lagi menje­lang Aidilfitri, saya cukup berharap Nik Rashidi cepat sembuh dan boleh pulang ke rumah menyambut hari raya bersama ke­luarga,” katanya. -Utusan
Share:

Raja Permaisuri Agong Perkenan Menyampaikan Sumbangan Aidilfitri.



Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan dan kurniaan kepada 350 anak yatim, ibu tunggal, warga emas, fakir miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Aidilfitri.

Sumbangan daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) berupa wang tunai, barangan makanan dan baju raya itu disampaikan kepada penerima terpilih dari sekitar Bagan Serai terdiri daripada 100 anak yatim, 50 penerima OKU, 100 ibu tunggal serta warga emas dan 100 penerima fakir miskin.

Turut hadir Anggota Lembaga Pengarah YASH Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat.

Ketika berucap, Norazam Shah berkata majlis yang diadakan hari ini merupakan yang terakhir dalam bulan Ramadan tahun ini.

"Bermula 18 Jun lepas di negeri Kedah, Yayasan telah mengurniakan sumbangan di tiga tempat di Alor Setar iaitu di TH Hotel, Grand Alora Hotel dan Royal Kedah Club yang melibatkan lebih 1,000 anak-anak yatim," katanya.

Norazam Shah berkata majlis itu merupakan cerminan nilai kelembutan tuanku yang senantiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan kehidupan masyarakat yang memerlukan.

"Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa amat memerlukan bantuan pendidikan bagi membimbing mereka supaya menjadi insan yang beriman, berilmu dan berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

- BERNAMA



Share:

Penjawat Awam Mungkin Dapat Cuti Hari Raya Ketiga - Ali Hamsa



PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti tambahan kepada penjawat awam pada Hari Raya Aidilfitri ketiga yang dijangka jatuh pada 8 Julai.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, 8 Julai yang jatuh pada Jumaat itu boleh diisytiharkan sebagai cuti peristiwa untuk penjawat awam sempena perayaan.
"Ia agak jarang berlaku kerana ia tidak berlaku sebelum ini di mana Hari Raya jatuh pada Rabu dan Khamis, dan hari berikutnya adalah hari bekerja, dan kemudiannya anda mempunyai cuti hujung minggu.
"Kerajaan akan membuat pertimbangan dan saya akan membawakan cadangan ini. Tetapi masih belum ditentukan lagi," katanya pada perjumpaan khas Ketua Setiausaha Negara Bersama Anggota Majlis Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan yang diusulkan oleh Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.
Bagi cuti peristiwa yang diluluskan, ia hanya akan terpakai kepada negeri-negeri di mana Jumaat adalah hari bekerja.
Hari Raya dijangka jatuh pada 6 Julai dan 7 Julai tahun ini, iaitu Rabu dan Khamis.
Negeri-negeri di Malaysia sebelum ini mengisytiharkan cuti peristiwa untuk acara tertentu, termasuk kemenangan dalam pertandingan sukan.
Johor mengisytiharkan 15 Mei lalu sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA.

Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages