KOTA BHARU 25 Jun Seorang remaja berusia 17 tahun terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kedukaan apabila tiga jari kanannya hancur setelah mercun bola yang dipegangnya meletup dalam kejadian di Kampung Bukit Panau, Tanah Merah, semalam
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Nik Rashidi Azman dikatakan bermain mercun itu bersama adiknya, Nik Ridwan Azman, 15, di kawasan rumah jiran mereka.
Akibat insiden berkenaan anak ketiga daripada lima beradik itu turut mengalami kecederaan di bahagian muka.
Ibunya, Ungku Aznah Ungku Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak juadah untuk berbuka puasa di rumah sebelum dimaklumkan oleh Nik Ridzwan bahawa jarinya abangnya berdarah akibat mercun tersebut.
Katanya, Nik Ridwan memberitahunya bahawa mercun yang dipegang abangnya itu meletup di tangan sebelum sempat dilemparkan ke arah lain.
“Akibat daripada kejadian itu, jari telunjuk, jari tengah dan jari manisnya hancur sehingga menampakkan tulang. Bagaimanapun adik, Nik Ridwan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Tambah Ungku Aznah, anaknya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai oleh penduduk sekitar sebelum dirujuk ke HRPZ II bagi mendapat rawatan susulan malam tadi.
“Saya bimbang, kecederaan yang dialami Nik Rashidi begitu teruk. Hari ini jururawat mencuci luka kerana dikhuatiri akan dijangkiti kuman. Saya sedih melihat dia menahan sakit ketika proses tersebut,” katanya.
Katanya, dia tidak pasti dari mana mereka mendapatkan mercun memandangkan sebelum ini anaknya itu jarang bermain bahan berbahaya itu.
Katanya, dia juga selalu menasihatkan anak-anaknya supaya tidak bermain mercun kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Dengan 10 hari lagi menjelang Aidilfitri, saya cukup berharap Nik Rashidi cepat sembuh dan boleh pulang ke rumah menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya. -Utusan
No comments:
Post a Comment