KAK JUE BLOG'S

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Nuzul Quran 1437H

nuzul quran
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan usia untuk menjengah ambang 17 Ramadan yang merupakan di antara hari-hari kebesaran Islam terutamanya kerana memperingati permulaan turunnya wahyu Al-Quran ke atas Nabi Muhammad SAW.
Di Negara kita, sesuai dengan Islam sebagai agama Negara, hari ini kita isytiharkan sebagai hari cuti umum sebagai tanda membesarkan peristiwa tersebut yang sekaligus menandakan penghormatan kita terhadap perlantikan Nabi kita sebagai penutup segala Nabi serta penganugerahan Al-Quran kepada kita sebagai panduan suci dalam mengharungi ujian kehidupan.
Di atas semangat yang sama hari ini disambut dengan pelbagai cara dan acara di peringkat individu, organisasi dan terutamanya masjid-masjid dan surau-surau sebagai tanda kesyukuran serta mengagungkan Al-Quran sebagai syiar Islam yang paling utama.
Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Hajj ayat 32 bahawa “…mereka yang membesarkan syiar-syiar Allah itu merupakan petanda ketaqwaan yang wujud dalam hati.” Melihat suasana meraikan Al-Quran dalam Negara kita, lebih-lebih lagi di hari dan bulan Ramadan ini, sewajarnyalah kita bersyukur kerana ini semua menandakan semangat ketaqwaan yang wujud dalam masyarakat dan Negara kita.
Sudah menjadi dasar dan amalan di Negara kita bahawa pembangunan material bukanlah menjadi satu-satunya matlamat dan tumpuan kerajaan. Sebaliknya pembangunan nilai dan diri insan sentiasa menjadi keutamaan dan penentu sebenar di sebalik kemajuan ekonomi dan sosial yang zahir. Semua ini kita tekuni sebagai jelmaan penghayatan ajaran Al-Quran yang menganjurkan kemakmuran bersepadu duniawi dan ukhrawi.
Al-Quran juga mengajar kita untuk menjauhi perpecahan dan persengketaan yang merugikan. Kita juga dianjurkan dalam pelbagai ayat dalam Al-Quran untuk menguruskan perbezaan pandangan dengan bijaksana. Di bulan yang mulia ini, elok benarlah jika kita memperbaharui azam untuk merapatkan jurang perbezaan di antara kita. Kita mengakui bahawa banyak perbezaan yang ada di kalangan masyarakat kita tapi kita juga banyak berkongsi kepentingan, maslahah dan aspirasi bersama.
Apapun perbezaan yang ada, jika kita sedia berjiwa besar dan berpegang kepada panduan nilai-nilai agama, tradisi dan budaya serta menghormati sistem bernegara yang selama ini kita amalkan, Insya-Allah kita akan tetap terpelihara.
Marilah kita memanfaatkan sepenuhnya hari-hari Ramadan yang berbaki kerana kita tidak pasti sama ada kita akan berpeluang bertemu lagi dengannya di tahun-tahun yang mendatang. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan, kekuatan dan tawfiq untuk meningkatkan ibadah kita yang tulus ke hadrat Ilahi tanpa melalaikan tugas dan tanggungjawab kita yang juga merupakan sebahagian dari bentuk kepatuhan kita kepada ajaran Al-Quran al-Karim.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages