KAK JUE BLOG'S

Persediaan Makanan Jemaah Haji Ikut Piawaian Kesihatan Antarabangsa - Tabung Haji



MEKAH: Tabung Haji menggunakan beberapa syarikat penyaji perkhidmatan makanan, yang menepati piawaian kesihatan antarabangsa, bagi memastikan mutu makanan berkhasiat kepada jemaah haji Malaysia.
   
Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji Mohamad Naser Jaffar berkata Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menetapkan syarat yang ketat terhadap kesihatan pemakanan bagi elakkan sebarang insiden seperti keracunan makanan.
   
"Jika berlaku cirit-birit, ia akan beri kesan pada ramai jemaah haji dan akan memberi kesan kepada ibadat haji mereka, yang mempunyai tempoh yang terhad dan hanya setahun sekali.
   
"Perkara ini amat dititikberatkan. Kerajaan Arab Saudi akan bertindak menutup perkhidmatan penyaji makanan," katanya.
   
Beliau berkata demikian semasa meninjau persediaan syarikat penyaji makanan Al-Wafa Catering and Service terhadap jemaah haji, di sini, hari ini.

Mohamad Naser berkata sebelum bermula opeasi haji setiap tahun, pihak Tabung Haji dan doktor-doktor daripada Kementerian Kesihatan akan memeriksa dapur syarikat penyaji makanan.
   
"Langkah itu dibuat bagi memastikan dapur syarikat terbabit benar-benar bersih.
   
Selepas itu, pihak kesihatan Kerajaan Arab Saudi pula akan membuat pemeriksaan serupa. Ini membuktikan Tabung Haji mengambil berat tentang soal kebersihan penyediaan makanan untuk jemaah," katanya.
   
Al-Wafa Catering and Service sudah 12 tahun menjadi antara salah satu syarikat penyaji makanan. Tabung Haji akan menyediakan makanan kepada 22,320 jemaah Malaysia pada musim haji nanti.
   
Penolong Ketua Tukang Masak syarikat itu, Mohd. Hafizan Abu Hassan, 34, berkata, pihaknya akan memasak berdasarkan menu yang diberikan Tabung Haji supaya makanan dihidangkan berkhasiat dan menepati selera jemaah Malaysia.
   
"Setiap kali tiba musim haji, pihak kami akan menambah jumlah tukang masak supaya makanan yang dimasak menepati keperluan jemaah.
   
Makanan yang disediakan adalah masakan bercita rasa Malaysia supaya jemaah tidak rasa janggal ketika berada di sini nanti," katanya. - Bernama


Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages