KAK JUE BLOG'S

Datuk Abd Rahman Sulaiman Kini Bergelar Tan Sri



4 Jun (Bernama) -- Wartawan veteran dan bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman adalah antara 53 penerima gelaran 'Tan Sri', bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Abdul Rahman, 70, telah berkhidmat dalam pelbagai organisasi berkaitan media sejak 50 tahun lepas termasuk enam tahun sebagai pengerusi agensi berita itu sehingga Januari tahun ini.

Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia dan ijazah Sarjana Pengurusan dari Asian Institute of Management di Manila, beliau memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Radio Malaysia pada September 1966 sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan kanan pada September 1971.

Di Bernama, beliau menyandang pelbagai jawatan termasuk Ketua Biro, pewarta luar negara dan editor sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 1989.

Beliau kemudian bersara pilihan pada April 1995 untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun itu.

Semasa penghujung Krisis Kewangan Asia pada 2001, Abdul Rahman mengetuai Jabatan Komunikasi Krisis, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau terus berkhidmat dengan MTEN selepas ia dinamakan semula sebagai Direktorat Pelaksanaan Negara di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, yang ditugaskan untuk menyelia dan memantau projek serta program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Susulan pembubaran direktorat itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada Febuari 2010.

Selepas menamatkan tempoh pelantikannya sebagai Pengerusi Bernama, Abdul Rahman dilantik sebagai Penasihat dan Ketua Pasukan Komunikasi Negara di Pejabat Perdana Menteri.

Sebagai bekas pemimpin pelajar semasa di universiti, beliau aktif dalam politik dan pertubuhan sukarela serta pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Parit Buntar selama dua penggal dari 1995 hingga 2001.

Selain menganggotai Jawatankuasa Bahagian UMNO Parit Buntar, beliau kini adalah Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Secara keseluruhannya, Abdul Rahman telah berkhidmat untuk negara secara terus-menerus hampir setengah abad lamanya kecuali tempoh semasa beliau melanjutkan pengajiannya dari 1973 hingga 1976.

-- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages