Home »
» Penjawat Awam Mungkin Perlu Bayar Tabung Pencen Sendiri - CEO KWAP
Penjawat Awam Mungkin Perlu Bayar Tabung Pencen Sendiri - CEO KWAP
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad memberi kenyataan mengejutkan ramai pihak semalam apabila berkata, penjawat awam berkemungkinan perlu membayar sendiri tabung persaraan mereka.
Jika kemungkinan yang dinyatakan Wan Kamaruzaman itu akan dilaksanakan, maka situasi itu adalah hampir mirip seperti pekerja swasta menyalurkan pendapatan mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam kenyataan disiarkan akhbar The Sun, Wan Kamaruzaman dilaporkan berkata skim pencen semasa penjawat awam yang dipanggil ‘manfaat pasti’ agak sukar untuk dikekalkan dan alternatif yang ada ialah skim jenis KWSP yang digelar ‘sumbangan pasti’.
Menerusi skim sekarang, penjawat awam tidak perlu membuat caruman sendiri sebaliknya ia dibayar oleh majikan termasuk badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ianya membolehkan mereka mendapat separuh daripada gaji terakhir untuk seumur hidup setelah bersara pada usia 60 tahun, dan terus disumbangkan kepada pasangan selepas mereka meninggal dunia.
Walau bagaimanapun skim semasa ini membuatkan kerajaan menanggung liabiliti sehingga RM300 bilion malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui ianya sukar dikekalkan untuk jangka panjang.
Menerusi skim ‘sumbangan pasti’ kerajaan dapat mengurangkan bebanan bagi liabiliti pencen yang sentiasa bertambah, jelas Wan Kamaruzaman.
KWAP yang beroperasi di Cyberjaya, mengendalikan operasi pencen penjawat awam setelah kesemua jabatan pencen awam yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diserap di bawahnya sejak November 2015.
Selain itu pengubahsuaian yang dibuat ke atas Akta Dana Persaraan 2007 awal tahun lepas turut menyaksikan KWAP mengambil alih operasi pembayaran pencen bulanan kepada 700,000 pesara kerajaan.
No comments:
Post a Comment