DAKWAH Islamiah adalah suatu usaha untuk membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan yang ditentukan oleh Allah SWT. Untuk mencapai matlamat tersebut banyak halangan terpaksa dihadapi oleh dakwah.
Justeru atas permasalahan inilah pihak Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif mengadakan perhimpunan agamawan kebangsaan pada 20 Julai ini di Bangi, Selangor bagi membincangkan pelbagai persoalan tentang masalah ini.
Perhimpunan ini dijangka dihadiri seramai 500 peserta yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan agamawan dari seluruh negara.
Perhimpunan ini akan membincang dan menumpukan isu-isu yang berkaitan dengan persoalan dakwah dan perpaduan iaitu satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di negara ini selepas kekuatan yang lain seperti ilmu pengetahuan, ketenteraan, ekonomi, politik dan lain-lain sudah roboh dan runtuh.
Kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhuwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.
Di samping itu kita juga melihat bagaimana Barat sewenang-wenang menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah.
Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai ortodoks, fundamental dan konservatif.
Istilah-istilah itu kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan sehingga terlahir Islamofobia, dan dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan tindakan jenayah lain.
Maka dengan itu ikon Islam sudah dilihat sebagai sesuatu yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia. Begitu juga menara masjid telah dilihat sebagai faktor yang mendorong kepada keganasan.
Perspektif salah ini sedang berkembang dalam masyarakat Barat sehingga ada negara berusaha menggubal undang-undang bagi melarang apa sahaja unsur yang boleh dihubungkan dengan Islam.
Persoalan ini bukanlah mudah untuk ditangani sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi melakarkan kembali kemurnian Islam sehingga berjaya mengikis pandangan serong terhadap apa yang mereka fahami mengenai konsep perang suci atau jihad.
Jika ada sebarang salah faham, perselisihan hendaklah diselesaikan secara yang paling baik dan berhemah, tidak ikut melawan dengan kekerasan.
Usaha dialog yang aktif juga akan mengikis gejala Islamofobia rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.
Globalisasi sebenarnya telah dimulakan oleh Islam. Kalau kita lihat sejarahnya, perkembangan Islam walaupun pada awal kemunculannya hanya dalam kalangan orang Arab, keluasan pengaruhnya telah menjalar ke seluruh pelosok kehidupan manusia. Hampir tidak ada negara yang tidak mempunyai penganut Islam, walaupun majoritinya bukan Islam.
Kini, jumlah penganut Islam adalah yang kedua terbanyak selepas penganut Kristian. Menurut anggaran, dalam 10 orang penduduk dunia, empat orang beragama Islam. Ini membuktikan walaupun ada cercaan dan usaha memburuk-burukkan Islam, penganut Islam terus bertambah sehingga berupaya mengatasi penganut agama lain selain Kristian.
Ada juga pendapat mengatakan dalam masa 100 tahun lagi, Islam akan muncul sebagai agama yang paling banyak penganutnya. Ini kerana pertumbuhan semula jadi dan pertambahan umat Islam baru meningkat begitu cepat berbanding agama-agama lain.
Faktor globalisasi yang mendera orang Islam menjadikan lebih ramai yang bersimpati. Simpati ini terus menyebabkan mereka melihat kelompok agama lain yang menyeksa masyarakat Islam sebenarnya melakukan keganasan.
Dari sudut ini, Islam semakin mendapat kekuatan apabila masyarakat Barat turut mempersoalkan tindakan kerajaan mereka memenjarakan orang Islam tanpa diberikan hak membela diri dan dibicarakan. Masyarakat Islam sebenarnya telah dihukum berdasarkan prasangka.
Ini menarik minat para cendekiawan Barat menilai kembali Islam dan akhirnya mereka menemui Islam sebagai agama terbaik yang pernah hadir dalam kehidupan manusia.
Banyak tokoh yang kita dapat jadikan teladan mengenai pencarian ini, termasuk Jeffrey Lang, seorang pakar matematik yang telah menulis beberapa buah buku mengenai keyakinannya terhadap Islam walaupun sebelumnya beliau seorang ateis.
Masalah dakwah seterusnya ialah pengaruh Barat yang menebal dalam kalangan orang Islam. Ini disebabkan hampir keseluruhan masyarakat Islam pernah dijajah oleh Barat.
Walaupun sekarang semua negara Islam telah merdeka, namun kesan penjajahan fikiran masih wujud.
Oleh kerana penjajah yang pernah menguasai negara-negara Islam terdiri daripada orang Kristian Barat yang kebanyakan sistem nilainya tidak sama dengan sistem nilai Islam, maka pemikiran dan perwatakan masyarakat Islam sehingga sekarang banyak yang bercanggah dengan yang dianjurkan oleh Islam.
Untuk mengikis pengaruh yang dianggap telah sebati ini memerlukan usaha yang lebih, kerana terpaksa menghadapi banyak masalah yang merintang.
Demikian juga dengan pengaruh kebendaan yang agak menebal dalam kalangan sesetengah masyarakat Islam. Oleh kerana kebanyakan negara Islam mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka pengaruh tersebut sukar untuk diatasi sedangkan Islam mementingkan bukan sahaja kesenangan di dunia malah juga di akhirat. Ciri-ciri yang dibawa oleh Islam seperti ini akan bertembung dengan jiwa kebendaan yang melihat kesenangan bagi manusia itu semata-mata ada di dunia sahaja.
Masalah lain ialah perpecahan dalam kalangan umat Islam. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam sendiri berpecah menjadi beberapa kumpulan.
Akibat daripada perpecahan ini banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah.
Banyak sebab mengapa umat Islam berpecah, antaranya kerana lahirnya berbagai-bagai parti politik dan pertubuhan dakwah, sedangkan sebahagian daripada umat Islam adalah jahil tentang Islam dan ramai yang buta huruf.
Di samping itu, orang Islam mempunyai sifat taksub kepada pemimpin. Akibat perpecahan ini, dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya.
Demikian juga wujudnya anggapan bahawa tanggungjawab dakwah bukan urusan setiap orang Islam dengan adanya anggapan sedemikian dalam kalangan orang Islam sekarang, maka tugas dakwah dibiarkan kepada sekumpulan orang sahaja.
*Mohd. Shauki Abd Majid, PENULIS ialah Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)/Utusan
No comments:
Post a Comment