KAK JUE BLOG'S

Kes Pelajar Terlibat Dengan Najis Dadah Ditahap Membimbangkan



Jumlah pelajar sekolah di Perak yang terlibat dalam penagihan dadah kian meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini dan berada di tahap membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, berdasarkan rekod terbaharu 10 bulan pertama ini daripada 3,499 pelajar yang melalui saringan ujian air kencing, 173 (4.94 peratus) daripadanya di dapati positif.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini bermula 2012 lagi saringan ujian dilakukan ke atas 6,920 pelajar, 55 (0.79 peratus) daripadaya di dapati positif, kemudian diikuti 2013 daripada 5,336, 60 (1.12 peratus) daripadanya meningkat.

"Peningkatan sekali lagi dicatatkan pada 2014 dengan 2.59 peratus, 2015 pula 4.09 peratus dan tahun ini sehingga Oktober sebanyak 4.94 peratus peningkatan ini mengambarkan penglibatan pelajar-pelajar sekolah memang amat membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis dari Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mengenai data pelajar terlibat dadah di Perak dalam Sidang DUN negeri ke-13 pada Isnin.

Tambah beliau bagi menangani masalah tersebut, pihak kerajaan akan melakukan satu projek pilot di Sitiawan, Manjung sebagai permulaan insiatif membanteras penyalah gunaan dadah di kalangan pelajar secara habis-habisan.

"Fokus akan diberikan kepada tiga perkara utama iaitu keluarga bebas dadah, pekerja bebas dan pelajar bebas dadah.

"Kita akan lakukan perkara tersebut secara berperingkat dan kita yakin kawasan tersebut daripada salah satu kawasan 'hotspot' akan bebas dadah," jelas beliau.

Share:

Kerajaan Negeri Pandang Serius Kes Hamil Luar Nikah



IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius kes hamil luar nikah di kalangan remaja di negeri ini yang turut menyumbangkan kepada 5,705 kes anak tidak sah taraf bagi tempoh 2014 hingga 2015.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikna Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, sebagai langkah pencegahan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LPPKN giat melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik daripada Jabatan Kesihatan, kes itu melibatkan 1,679 remaja.

"Program pendidikan turut dijalankan untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada remaja termasuk kepada ibu bapa mengenai hubungan seks luar nikah dan meningkatkan pengetahuan kesihatan reproduktif remaja melalui program intervensi (campur tangan oleh sebuah badan dalam sebuah permasalahan)," katanya semasa sesi penggulungan di Sidang DUN pada Isnin.

Rusnah berkata, bagi remaja yang telah hamil dan memerlukan perlindungan segera, mereka boleh ditempatkan di institusi perlindungan di bawah JKM atau pusat perlindungan swasta di negeri ini.

"Di bawah JKM, kita ada Taman Seri Putri Batu Gajah, di sini remaja itu diberi kaunseling dan bimbingan pengurusan diri serta penjagaan anak yang bakal lahir.

"Langkah lain bakal diambil ialah mewujudkan Pusat Remaja Kafe@TEEN sebagai tempat memberi maklumat berkaitan isu-isu kesihatan dan psikososial termasuk khidmat kaunseling oleh JKM," ujarnya.

Selain itu, kata Rusnah, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI) telah dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah, 52 Sekolah Rendah dan 7 IPT membabitkan sejumlah 9458 orang pelajar.

Menurut beliau, program khas turut diperkenalkan untuk remaja lelaki bagi membantu menangani isu sosial dari terus menular.
Share:

Kursus Pasca Perkahwinan DIWAJIBKAN 4 kali Dalam Lima Tahun Di Perak.



Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbang saranan supaya memperkenalkan pakej poligami secara Jama'ie atau nikah beramai-ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini hanya mempunyai Program Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie untuk pasangan yang baharu hendak berkahwin dan ia dilaksanakan sejak 2013 pada setiap 16 September.

"Kita akan lihat dan pertimbangkan cadangan itu. Kita sedia maklum antara punca poligami termasuk yang bernikah di luar negara adalah kerana wali tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.

Di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan kita sentiasa berurusan dengan negara tertentu seperti Thailand khususnya yang melibatkan poligami," katanya.

Beliau berkata, demikian semasa menjawab soalan tambahan Abu Bakar Hussian (PAS-Titi Serong) yang ingin tahu jika kerajaan negeri sedia memperkenalkan pakej khas poligami secara Jama'ie.

Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan tambahan Datuk Mohammad Daud Mohd Yusof (BN-Selama), Mohd Nizar berkata pasangan pengantin daripada program itu akan disenaraikan di bawah Kelab Rakan Nikah Jama'ie bertujuan mengawal dan membendung kes-kes perceraian.

Selain itu, Mohd Nizar berkata pasangan yang bernikah di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengikuti Kursus Pasca Perkahwinan terbahagi kepada empat fasa bermula daripada lima tahun pertama usia perkahwinan.
Share:

Kerajaan Beri Subsidi 60% Untuk Pesakit Kelas 1 dan 2


Kenaikan bayaran perkhimatan bagi kelas 1 dan 2 bukanlah bebanan ini kerana kerajaan masih menyumbangkan 60 peratus subsidi kepada pesakit yang menggunakan Kelas 1 dan 2 walaupun caj wad naik sehingga 50 peratus bermula Januari.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, jumlah purata pesakit yang menggunakan kedua-dua kelas hanya 30,000 pesakit sahaja manakala 98.5 peratus lagi menerima kemudahan rawatan di wad kelas tiga.
Seperti yang dijelaskan keputusan uuntuk menggunakan wad Kelas 1 dan 2 adalah terpulang kepada pesakit. Kebanyakkan mereka yang menggunakan Kelas 1 dan 2 ini adalah mereka yang biasanya menggunakan perkhidmatan swasta.

“Caj Kelas 1 dan 2 ini adalah masih kurang daripada caj sektor swasta. Perkara ini bukan satu isu, ianya satu pilihan kepada mereka dengan 60% subsidi masih diberikan terhadap rawatan ini,” kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen pada Khamis.

Untuk rekod, kadar kenaikan caj baru berkenaan melibatkan pesakit-pesakit yang dirawat di Kelas 1 dan 2 akan melibatkan semua jenis rawatan untuk warganegara seperti bayaran wad am dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi, radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri.

Bagaimanapun Dr Subramaniam, kenaikan itu tidak akan melibatkan pesakit warganegara yang
memilih untuk dirawat di Kelas 3, dimana caj wad dan rawatan kekal dengan kadar lama.

Dianggarkan sebanyak 75 pe­ratus daripada 31 juta penduduk negara ini memilih hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan berbanding hanya 25 peratus yang memilih hospital swasta.

Ketika ini Malaysia mempunyai 143 buah hospital kerajaan de­ngan 41,389 buah katil manakala 183 buah hospital swasta dengan 12,000 katil.
Share:

Program Wanita Kreatif Fest 2016 Flatform Perluaskan Usahawan Wanita

Image result for Program Wanita Kreatif Fest 2016 malaysia
Bidang kreatif dan inovasi tidak seharusnya terasing dari dunia kewanitaan. Menyedari hakikat tersebut, buat kali ketiganya Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di bawah Pembangunan Usahawan & Ekonomi menganjurkan Wanita Kreatif Fest 2016 bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 29 November ini.

Festival yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 13 November ini menghidangkan lebih banyak program bagi memastikan para usawahan wanita mampu pergi lebih jauh di dalam bidang perniagaan.

Ketua pergerakan tersebut, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, objektif festival ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai wanita berganding bahu bersama kaum bapa bagi menembusi bidang kreativiti dalam semua aspek kehidupan.

“Wanita UMNO sebagai pemimpin dan pejuang untuk isu wanita sudah pasti mahu tentukan setiap wanita di negara ini mendapat kebebasan ekonomi. Bila wanita ada kebebasan ekonomi maka mereka dapat membantu keluarga, komuniti dan meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

“Salah satu acara dalam festival ini adalah dengan menceburi bidang kreativiti dan inovasi kerana bidang ini memang menjadi tumpuan ramai,” ujarnya selepas merasmikan pra-perasmian festival berkenaan di Dewan Tun Razak 1 PWTC di sini, hari ini.

Datuk Noraini Ahmad selaku Pengerusi Pembangunan Usahawan & Ekonomi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang bertanggungjawab mengnajurkan festival ini pula berharap festival ini akan menjadi satu landasan terbaik untuk para usahawan wanita untuk melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan.

“Kita bukan sahaja memberi untuk mereka berniaga sepanjang festival ini tetapi festival ini membuka ruang lebih luas kepada mereka melalui program business matching.

Festival ini disertai oleh 120 peniaga, 20 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan dan 30 syarikat yang datang secara bergilir-gilir untuk business matching.-MediaUmno
Share:

Penduduk Selesa KB1AJ Tawar Minyak Masak Harga Murah



KUALA KANGSAR: Ketika rakyat di seluruh  negara tertekan berikutan kenaikkan harga minyak masak di pasaran, kerajaan negeri Perak meneruskan usaha membantu meringankan beban golongan keterbawahan untuk mendapatkan bekalan bahan itu pada harga murah.

Kerajaan negeri menerusi Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) di bawah pengurusan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) menawarkan harga minyak masak jauh lebih murah berbanding yang dijual di pasaran.

Tinjauan Suara Perak ke Dataran Pekan Sauk pada Sabtu mendapati ramai penduduk kampung beratur untuk membeli minyak masak dan barangan keperluan dapur lain di KB1AJ yang mula dibuka pada jam 8.30 pagi.

Rata-rata mereka yang ditemui merasa amat lega kerana dibenarkan membeli enam kilo minyak masak yang dijual pada harga RM2.25 sekilo berbanding RM2.50 sekilo yang dijual di pasaran.- suaraperak
Share:

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Akaun Emas


Image result for kwsp akaun emas

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata Akaun Emas tidak akan memberi kesan kepada skim lain yang sedia ada, di mana ahli mempunyai pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun.

Pilihan pengeluaran sebahagian pada usia 50 juga kekal.

Berikut adalah senarai soalan yang kerap ditanya untuk membantu pembaca lebih memahami skim baharu ini dan kesannya ke atas simpanan anda.

1. Saya berusi 56 tahun sekarang. Adakah saya akan terus mendapat dividen menerusi akaun KWSP saya yang sedia ada (Akaun 55) bersama-sama dengan Akaun Emas yang baharu tahun depan?

Ahli-ahli akan terus mendapat dividen dalam kedua-dua Akaun Emas dan bakinya di dalam Akaun 55.

2. Adakah terdapat dividen khas untuk Akaun Emas?

Tiada perbezaan dalam peratusan pembayaran dividen tahunan antara kedua-dua akaun - untuk berlaku adil kepada semua ahli KWSP.

3. Saya berusia 45 tahun ini. Bagaimana perubahan ini akan memberi kesan kepada saya?

Sumbangan dalam Akaun 1 dan Akaun 2 tidak akan terjejas dan sumbangan anda akan terus dipecahkan antara kedua-dua akaun.

Ahli-ahli masih boleh membuat pengeluaran dari Akaun 2 tertakluk kepada kelayakan.

4. Apakah Akaun 1 dan Akaun 2?

Simpanan KWSP anda adalah dibahagikan kepada dua akaun. Tujuh puluh peratus daripada caruman masuk ke dalam Akaun 1 dan 30 peratus pergi ke dalam Akaun 2.

5. Bolehkah saya membuat pengeluaran dari Akaun 1?

Ya, tetapi hanya apabila anda mencapai umur 55 tahun.

6. Bolehkah saya membuat lebih banyak pengeluaran dari Akaun 2?

Anda boleh membuat pengeluaran bagi skim pra-persaraan sedia ada seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, selepas umur 50 dan untuk melaksanakan haji.

7. Saya berusia 55 tahun ini. Bagaimana ini akan memberi kesan kepada saya?

Sumbangan daripada Akaun 1 dan 2 akan dipindahkan ke Akaun 55 untuk ahli-ahli yang telah mencapai 55 tahun ke atas mulai 1 Januari 2017.

Selepas pemindahan ke Akaun 55, pengeluaran boleh dibuat tertakluk kepada kelayakan dan prosedur semasa.

Apa-apa caruman selanjutnya (mulai 1 Januari 2017) akan diletakkan di bawah Akaun Emas yang baru.

Tiada pengeluaran pra-persaraan daripada Akaun Emas.

Sumbangan terkumpul di dalam Akaun Emas hanya boleh dikeluarkan pada usia 60.

8. Saya akan berusia 58 tahun pada 1 Januari 2017. Adakah saya masih boleh mengeluarkan simpanan KWSP saya?

Akaun Emas tidak akan digunakan secara retrospektif. Apa-apa sumbangan sehingga 31 Disember 2016 akan kekal dalam Akaun 55 dan ahli dibenarkan membuat pengeluaran penuh.

Apa-apa caruman selanjutnya daripada usia 58 hingga 60 akan diletakkan di Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan pada usia 60.

9. Ahli yang berumur 60.

Baki dalam Akaun 55 dan Akaun Emas akan digabungkan.

10. Apakah maksud dua akaun apabila akhirnya ia akan menggabungkan pada usia 60?

Susulan Kempen Rundingan Ahli tahun lepas, sebanyak 94 peratus responden amat sangat bersetuju supaya KWSP mengekalkan pengeluaran umur 55, dengan sumbangan baru dari usia 55 hingga 60 yang akan dikunci sehingga umur 60 tahun, oleh itu Akaun Emas diperkenalkan.

11. Jika seseorang itu masih bekerja di usia 58 tahun dan menghidap sakit teruk, adakah dia boleh menarik diri daripada Akaun Emas?

Ya, di bawah skim Pengeluaran Hilang Upaya.
Share:

KPDNKK Perak Rampas 323 Kilogram Minyak Masak



IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas 323 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM1,060 dari sebuah premis pembungkus di kawasan perindustrian ringan Jelapang Maju, petang  semalam setelah didapati menggunakan tong terpakai.

Menurut Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari, dalam serbuan  pada jam 2 petang itu, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNKK turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 50-an, termasuk pemilik premis berkenaan untuk membantu siasatan.

 “Bagi kami, kuantiti yang disita tidaklah penting tetapi yang penting mereka melakukan satu kesalahan serius kerana menggunakan tong kitar semula yang melibatkan perkara berkaitan halal sesuatu produk dan kepentingan pengguna,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNKK, Ipoh pada Khamis. 

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula boleh didenda RM3 juta.

Mengenai aduan pengguna berhubung kenaikkan harga melampau minyak masak, Suhaimi berkata, sehingga Rabu, pihaknya sudah menerima 10 aduan mengani perkara itu yang dikatakan berlaku di beberapa kedai runcit dan pasaraya.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati kenaikan itu melampau dan membebankan pengguna,” ujarnya.

Menurut Suhaimi, sekiranya siasatan mendapati kenaikkan itu melampau, peniaga yang terbabit akan didakwa mengikut mengikut  Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011.

Share:

TPM Beri Jaminan Akan Teliti Kes Guru Cabul Murid Sekolah



KUALA LUMPUR: Seorang guru yang didakwa mencabul kehormatan sembilan murid sekolah rendah kembali mengajar di sekolah lain sekali gus menimbulkan kebimbingan di kalangan ibu bapa dan pendidik.
Ketidakupayaan Kementerian Pendidikan atau polis untuk melindungi murid sekolah daripada guru tersebut menimbulkan rasa kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau secara peribadi akan meneliti perkara itu.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu berkata beliau akan mengambil kepentingan peribadi dalam kes membabitkan seorang guru didakwa mencabul sembilan murid di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor.
"Kita perlu bekerjasama demi kepentingan murid dan juga kanak-kanak," katanya dalam jawapan bertulis kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) di Dewan Rakyat.
Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis masih menyiasat kes membabitkan guru tersebut.
"Walaupun saya masih belum bercakap dengan Menteri Pendidikan, polis akan berhubung dengan pihak pengurusan sekolah tersebut dan juga ibu bapa," katanya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyatakan pendirian tegas mengenai perkara itu pada Rabu.
"Kita akan lihat jika terdapat alasan untuk menggantung guru tersebut dan memindahnya ke jawatan pentadbiran jauh dari sekolah," katanya kepada The Star di luar Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata kementerian itu tidak akan membenarkan pelaku seksual berada di sekolah.
Namun katanya, perlu ada bukti sebelum mana-mana guru disyaki terlibat boleh digantung tugas.
Beliau berkata tiada mangsa atau keluarga mereka tampil memberitahu anak mereka dicabul sekali gus menafikan cakap-cakap bahawa kementerian itu tidak mengendahkan kes tersebut.
"Secara teknikal, dia dihukum hampir dua bulan (dengan melakukan kerja pejabat)," katanya.
Beliau berkata berdasarkan Peratuaran-peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan tatatertib) 1993, seseorang yang disiasat kementerian itu akan dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selama 15 hari sementara menunggu siasatan.
Katanya, guru tersebut diletakkan di bahagian PPD Hulu Selangor selama hampir dua bulan bermula 18 Mei dan dipindahkan ke sekolah lain pada 27 Jun lalu.
Beliau berkata walaupun siasatan awal jabatan itu menunjukkan terdapat asas bagi kes tersebut, tiada mana-mana individu tampil membuat laporan polis bahawa mereka telah menjadi mangsa cabul.
Malah, beliau turut menyalahkan stigma sosial melibatkan apa-apa kes seksual kerana kekurangan bukti yang menghalang siasatan terhadap kes itu untuk diteruskan.
Katanya, adalah tidak benar kementerian tersebut tidak mengambil tindakan tegas ke atas pelaku seksual sambil menegaskan dua guru sudah dipecat pada 2012 dan 2013 atas kesalahan itu.-mstar
Share:

McDonald's Pertama Di Perak Akan Ditutup Selepas 30 Tahun Operasi



IPOH: Restoran francais terkemuka McDonald's yang pertama dan tertua di Perak akan ditutup selepas 30 tahun beroperasi.
Mula dibuka sejak lewat 1980-an, restoran itu yang terletak di Jalan Mustapha Al-Bakry akan ditutup sepenuhnya pada 30 November ini.
Semasa The Star melakukan tinjauan, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, semua staf sudah dimaklumkan tentang penutupan itu.
"Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hal tersebut tetapi kami tidak mengetahui punca penutupan restoran itu.
“Kami hanya dimaklumkan bahawa semua staf akan dipindahkan ke cawangan lain” jelasnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Low Yin Fong, 30, menyuarakan kesedihan apabila mendengar berita tersebut.
“Masa zaman sekolah dahulu, tempat ini merupakan salah satu tempat kegemaran untuk kami bertemu dengan rakan-rakan lain.
“Semasa kecil, Arwah pakcik saya selalu membawa saya dan sepupu ke sini untuk menikmati sarapan," ujarnya.
Selain itu, Yin Fong berkata, restoran berkenaan sangat unik kerana ia terletak di bangunan yang mempunya reka bentuk era penjajahan.
“Tidak semua cawangan McDonald's mempunyai reka bentuk sebegni.
“Saya akan singgah dan menikmati makanan di sana buat kali terakhir,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga yang dikenali sebagai S.K. Lim, 46, berkata, tidak banyak cawangan restoran makanan segera di Ipoh ketika zaman mudanya.
“Ketika itu, jika dapat makan di McDonald's dianggap sebagai mewah.
“Sebulan sekali, saya akan bawa keluarga saya makan di sana ketika anak saya masih kecil.
“Kedua-dua anak saya suka pergi ke sana. Mereka sangat seronok kerana dapat bermain di ruang permainan kanak-kanak di tingkat satu.
“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke sana. Sekarang McDonald's boleh didapati di mana-mana sahaja,” tambahnya.- mstar
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages