KAK JUE BLOG'S

#Sempena Perayaan Aidilfitri : Bomba Mula Rondaan Malam Mulai Esok



Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur akan mengadakan rondaan malam dan juga khidmat nasihat kepada masyarakat bermula esok sebagai persediaan mencegah kebakaran sempena kedatangan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya, Khirudin Drahman @Husaini, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua ketua di 18 balai seluruh Kuala Lumpur untuk mengerahkan anggota menjalankan rondaan di zon masing-masing dan pada masa sama bertemu dengan masyarakat memberi penerangan dan nasihat mengenai bahaya kebakaran dan juga langkah mencegahnya. 

Katanya, inisiatif itu dimulakan awal tahun ini, berbanding tahun sebelumnya iaitu seminggu sebelum dan selepas hari raya bertujuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia

"Seramai 787 anggota bomba Kuala Lumpur akan bertugas sepanjang musim perayaan kali ini. Keanggotaan cukup kerana turut mempunyai ada bomba sukarela, bomba komuniti selain pasukan tindakan kecemasan (ERT). 

"Semua anggota bertugas akan bergerak mengikut lokasi masing-masing dan turut menumpukan kawasan panas seperti di Jalan Masjid India dan Kampung Baru, yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya ketika ditemui, di sini. 

Sementara itu, Khirudin berkata, setiap anggota masyarakat juga perlu sensitif dan peka dengan keadaan sekeliling dan bertindak melaporkan kepada pihak bomba sekiranya terbau atau terlihat sesuatu yang luar dari kebiasaan supaya tindakan segera dapat diambil seterusnya mengurangkan impak kebakaran. 

Menurut beliau, kebanyakan kebakaran berlaku disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai pencegahan dan ketika berdepan kebakaran selain sikap tidak ambil kisah dengan beranggapan bahawa kebakaran itu tidak akan berlaku kepada diri sendiri. 

"Kebakaran dapat dielakkan. Namun, sikap 3L (Lupa, Lalai dan Leka), selain ego dan tidak ambil kisah masyarakat terhadap jiran tetangga mengundang kepada kebakaran kecil menjadi besar. 

"Oleh sebab itu, menerusi kempen advokasi (khidmat nasihat) ini anggota kita akan turun berjumpa dengan masyarakat dan ada masa sama mendidik mereka supaya bersedia melawan kebakaran," katanya. -BH





Share:

PRK P.067 KUALA KANGSAR : MRSM Kedua Untuk Anak Polis Bakal Dibina Di Perak Tahun Ini - Ahmad Zahid



KUALA KANGSAR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak khusus untuk anak-anak anggota polis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MRSM itu merupakan yang kedua seumpamanya selepas yang pertama di Kulim, Kedah, bagi menempatkan anak-anak anggota polis yang layak dari seluruh negara.

"Kita telah putuskan pembinaannya di satu kawasan yang telah dibeli dan tender (pembinaan) dijangka dikeluarkan pada akhir bulan ini.


- BERNAMA
Share:

#PRK P.067 KUALA KANGSAR : Mastura Rujuk Pakar Agama Sebelum Putuskan Keluar Mengundi Atau Tidak


Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menunjukkan edaran berkaitan 'Agenda Memperjuangkan Harapan Orang Kuale'.

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid yang masih dalam tempoh edah, akan merujuk kepada pakar agama sebelum membuat keputusan sama ada keluar mengundi atau sebaliknya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.
Mastura, 55, berkata beliau sangat berharap agar dapat keluar, namun akan akur dengan apa jua keputusan pihak pakar agama berhubung perkara itu.
"Kehendak diri untuk keluar menunaikan kewajiban mengundi sangat kuat namun sekiranya ada berkaitan hal agama melibatkan batas untuk saya keluar mengundi, saya akan dapatkan nasihat orang yang berilmu sebelum membuat keputusan.
"Bagaimanapun, saya mendoakan semua penduduk agar berada dalam keadaan sihat dan beramai-ramai keluar mengundi di hari pengundian nanti," katanya dalam sidang media ditemani anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, 19, di kediamannya di Bukit Chandan, di sini, Sabtu.
Mastura berkata, beliau sudah sekurang-kurangnya empat kali keluar mengundi sejak menetap di Kuala Kangsar sebelum ini.
"Sejak dahulu, setiap kali musim pilihan raya, saya tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab dan akan keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, tidak jauh dari sini (rumah)," katanya.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru di Kuala Kangsar antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan seorang calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan raya menetapkan hari pengundian diadakan pada 18 Jun. - Bernama
Share:

PM Najib Umum Bantuan Khas RM500 Kepada Pekebun Kecil Getah


KUALA KANGSAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas kejatuhan harga getah 2016 kepada 388,111 pekebun kecil di seluruh negara bagi meringankan beban mereka.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM194 juta.

Bantuan khas RM500 itu dibayar secara 'one off' kepada semua penerima bermula hari ini, katanya.


Pekebun-pekebun kecil menerima sumbangan pada majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Gerah 2016

"Ini (bantuan) bukan kerana pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kerana kita telah beri bantuan ini pada 2013, 2014 dan ini adalah kali ketiga.

"Kalau ada yang kata bantuan itu disebabkan PRK itu tak betul. Ini soal kebajikan masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di sini, hari ini.

Daripada keseluruhan 388,111 penerima itu, seramai 1,479 adalah pekebun kecil dari sekitar kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM739,500.

Menjelas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah keseluruhan penerima itu juga, seramai 307,770 merupakan pemilik pengusaha, manakala bakinya 80,341 adalah penoreh yang tidak mempunyai kebun getah.

"Kerajaan sememangnya mengambil berat keperluan rakyat di mana sahaja mereka berada apatah lagi di kawasan luar bandar yang merupakan penyokong tegar kerajaan sedia ada.

"Walaupun keadaan ekonomi global lembab, waima apa keadaan sekalipun kerajaan tidak sanggup melihat orang kampung susah tanpa bantuan," katanya.

Najib berkata selaku ketua kerajaan, beliau serta menteri-menteri kabinet yang lain sentiasa membuat perancangan yang rapi dan jitu selain mampu dilaksanakan untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedaya upaya sentiasa mengotakan semua janjinya kepada rakyat dan ia berbeza dengan pembangkang yang belum terbukti mampu menunaikan janji mereka.

"Parti pembangkang mereka boleh cakap dan kritik tapi belum buktikan kemampuan. Apatah lagi negeri yang ditadbir oleh pembangkang juga bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut meminta warga Kuala Kangsar supaya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen itu, Datin Mastura Mohd Yazid.

"Saya amat berharap apalah kiranya pertimbangkan hajat saya tak lain tak bukan satu sahaja...tolong sokong calon BN," katanya.

PRK Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mastura yang juga balu Allahyarham Wan Mohd Khair-il, Dr Najihatussalehah Ahmad (P
AS), Prof Dr Ahmad Termizi (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

- BERNAMA
Share:

Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) Kini Universiti.



KUALA KANGSAR – Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), di sini dinaik taraf menjadi universiti penuh, berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri berkata, ia dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS).

“Sebagai kesinambungan sejarah Kuala Kangsar selaku antara bandar pendidikan tertua di negara ini menerusi kewujudan beberapa institusi pendidikan tersohor seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Clifford, saya umumkan KUISAS sebagai universiti penuh berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan ke kolej universiti itu, di sini. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menjadikan KUISAS universiti adalah antara lima agenda calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.
Share:

#PRK P.093 SUNGAI BESAR : Penduduk Sudah Selesa Dibawah Pentadbiran BN





Apabila setiap pilihan raya bakal diadakan, pastinya sentimen dan kemahuan penduduk di sesebuah kawasan sentiasa diambil kira. Pastinya, kesemua penduduk di kawasan berkenaan mahu melihat kemajuan berterusan terus dinikmati mereka disamping keselesaan mereka terhadap bekas Ahli Parlimen yang mewakili mereka selama berpenggal-penggal.
Perkara ini tidak terkecuali dengan penduduk Sungai Besar ketika ditemui sebentar tadi. Tanyalah walau sesiapa sekalipun, apa yang mereka harapkan adalah kemajuan, pembangunan dan mereka yang sentiasa mendengar keluh kesah dan masalah mereka sentiasa diberi keutamaan untuk dipilih kelak.


Encik Hairul, salah seorang peniaga di Bazar Ramadhan di sini memberitahu, penduduk Sungai Besar sebenarnya tidak begitu berkenan dengan corak kempen memaki hamun dan memburukkan calon dari parti lain. Mereka sebenarnya mahu mendengar, apa yang mampu ditawarkan oleh ketiga-tiga calon pilihan raya kali ini.
Sehingga hari ini, mereka lebih meyakini calon Barisan Nasional yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dimana mereka sememangnya berharap, apa yang dibawa oleh bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Datuk Hajjah Noriah Kasnon dapat diteruskan.
Ujar beliau lagi, legasi yang ditinggalkan Allahyarham cukup besar dan adalah menjadi harapan beliau dan kesemua penduduk di Sungai Besar untuk melihat apa yang dirancang dan dibawa oleh Allahyarham dapat diteruskan.


Ujar beliau lagi, walaupun pada awalnya terdapat sedikit masalah, namun perbezaan pendapat berkenaan dapat diatasi dan kini, beliau amat berharap, sesiapa sahaja yang dipilih kelak, dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Hajjah Noriah. Malah beliau juga memberitahu, pastinya sokongan akan ditumpahkan kepada anak tempatan berbanding orang luar.
Untuk rujukan, calon PAS, Abdul Rani Osman merupakan ADUN Meru yang bukan anak jati Sungai Besar. Walaupun calon PAN, Azhar Abdul Shukur merupakan anak tempatan, namun jika dilihat dari tempat beliau mendaftarkan diri untuk mengundi, beliau bukan mewakili suara tempatan.
Inilah yang ditekankan oleh penduduk Sungai Besar yang mahu melihat Parlimen ini diwakili oleh anak tempatan yang tinggal di dalam Parlimen ini sendiri berbanding orang luar atau bukan pemaustatin di Parlimen ini. Justeru, corak sokongan pastinya terarah kepada BN yang mempertaruhkan anak tempatan bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Hajjah Noriah
Share:

Singapura Larang Penjawat Awam Guna Internet


penggunainternet

SINGAPURA — Dalam satu keputusan mengejut, kerajaan Singapura akan memutuskan hubungan semua komputer kakitangan kerajaan dengan internet berkuat kuasa Mei tahun depan untuk mengetatkan keselamatan.

Satu notis telah diedarkan kepada semua agensi, kementerian dan badan berkanun tentang sekatan itu, yang melibatkan kira-kira 100,000 buah komputer, lapor portal The Straits Times.

“Kerajaan Singapura sering memantau keselamatan teknologi maklumat supaya lebih selamat,” kata jurucakap Infocomm Development Authority (IDA), badan yang bertanggungjawab tentang hal teknologi maklumat.

Langkah itu diambil bagi mengelakkan kebocoran maklumat melalui email dan perkongsian dokumen bagi mengelakkan ancaman keselamatan.

Tempoh percubaan bermula dengan kakitangan dalam IDA seawal April.

Kakitangan cuma boleh menggunakan telefon pintar atau tablet peribadi untuk melayari internet kerana alat tersebut tidak ada akses kepada sistem email kerajaan.

Difahamkan penjawat awam juga akan dibenarkan untuk menghantar email kerja kepada email peribadi jika diperlukan.

Jika mereka perlu menggunakan internet, komputer khas yang mempunyai talian akan disediakan.

Langkah tegas ini mengejutkan ramai pihak kerana syarikat bank, telekomunikasi dan kasino — biasanya paling tegas dalam hal dasar menggunakan komputer — jarang menghalang capaian kepada internet di komputer kerja.

Kebimbangan mereka adalah kakitangan mungkin secara tidak sengaja memuat turun aplikasi malware daripada laman web yang merbahaya atau berkongsi maklumat yang sensitif secara online.

 – MalayMail
Share:

DUIT RAYA RM 500 KEPADA PENJAWAT AWAM SEMPENA HARI RAYA- NAJIB



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.    
Dalam kenyataan di sini, beliau berkata, bantuan khas RM250 akan turut dinikmati 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.
"Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 13 Jun ini," katanya sambil menambah ia melibatkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.    
"Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2016," kata perdana menteri.    
Najib menarik perhatian bahawa penjawat awam akan menikmati satu kenaikan gaji tahunan (KGT) pada Julai ini yang melibatkan anggaran implikasi kewangan RM1.1 bilion. - Bernama
Share:

Pembayaran Zakat Melalui On Line Kini Di Buka




Umat Islam kini boleh membayar zakat fitrah secara dalam talian yang beroperasi 24 jam menerusi portal www.zakat.com.my atau 14 perbankan internet terpilih, antaranya Maybank, Bank Rakyat dan Bank Islam. 
Selain itu, mereka boleh melakukan transaksi zakat fitrah di kaunter zakat bergerak termasuk 10 kaunter zakat yang dibuka sepanjang Ramadan dengan waktu operasi mulai jam 8.15 pagi hingga jam 4.30 petang, manakala di UTC KL Pudu Sentral, jam 8.15 pagi hingga jam 5 petang.

 Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Rais Alias, berkata 11 lokasi kaunter bayaran zakat PPZ-MAIWP itu berdekatan penempatan orang ramai dan mudah akses membolehkan pembayar menyemak rekod zakat, membuat taksiran serta mendapatkan khidmat nasihat yang betul. 
"Sebanyak 99.9 peratus penduduk wilayah wajib membayar zakat fitrah, yang diukur mengikut kemampuan seseorang individu sekurang-kurangnya mempunyai cukup makanan untuk dirinya dan keluarga pada hari raya.

 "Mereka yang membayar zakat fitrah di 11 kaunter PPZ-MAIWP akan diberikan cenderahati penghargaan iaitu, buku mini 'Mudahnya Menjemput Rezeki' dan set buku panduan kanak-kanak, Siri Rukun Islam membabitkan syahadah, solat, zakat, puasa dan haji," katanya pada sidang media 

Pengumuman Perkhidmatan PPZ-MAIWP Sepanjang Ramadan 1437H, di sini. Orang ramai juga boleh menonton panduan umum siaran INFOADDEEN, Tips Ramadan dan dakwah secara dalam talian di youtube.com/PPZTV dan Facebook.com/myzakat. 

Panel jemputan ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Ustaz Ramadan Fitri dan Ustaz Khairul Azhar Samsuddin. 

INFO 11 lokasi kaunter bayaran zakat PPZ-MAIWP: - Taman Shamelin Perkasa-Wangsa Maju KLSC, 
Seksyen 5-Putrajaya Presint 9-Putrajaya Presint 15, 
Diplomatik-Anjung Niaga, 
Taman Tun Dr Ismail-Daruzzakah Lorong Haji Hussein 2, 
Kampung Baru-Masjid Al-Iman Al-Ghazali Kepong-Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong-Masjid Negara-Labuan Times Square-UTC KL Pudu Sentral.

Share:

Apam Diraja Juadah Istimewa Bazar Ramadan Kuala Kangsar



Apam diraja atau juga dikenali dengan nama apam pasang

WALAUPUN pelbagai kuih-muih boleh didapati di bazar Ramadan, namun kuih apam diraja Kuala Kangsar atau turut dikenali sebagai apam pasang, juadah istimewa di Bazar Ramadan Kuala Kangsar.

Apam diraja berwarna putih gebu itu diperbuat daripada nasi yang dikisar sebelum dikukus dan dicantum dua.

Seorang peniaga apam diraja di bazar Ramadan Arena Square di sini yang hanya ingin dikenali sebagai makcik Ani berkata dia menjual kira-kira 50 biji apam diraja sehari pada bulan Ramadan dan pada hari-hari biasa jualan mencecah 100 biji.

"Kuih ini hanya ada di Kuala Kangsar dan ia satu daripada kesukaan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Kuih ini enak dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan kari," katanya kepada Bernama di Kuala Kangsar.

Kuih apam itu dijual pada harga RM3 sepasang (dua keping).

Sementara itu, Nik Hazizah Nik Hassan, 53, yang menjual sebanyak 60 jenis agar-agar berkata dia mula menghasilkan pencuci mulut itu selepas sahur dan menggunakan 25 kilogram gula dan 24 tin susu pekat manis.

Nik Hazizah dari Kota Baharu, Kelantan yang telah berniaga selama 17 tahun di sini berkata dia menjual tiga potong agar-agar atau puding pada harga RM2 dan harga itu kekal sejak tiga tahun lalu.

"Biar jual murah yang penting orang beli," katanya sambil menambah yang dia biasanya memperoleh keuntungan RM5,000 sepanjang Ramadan.

Sependapat dengan Nik Hazizah mengenai keperluan menjual makanan pada harga  murah adalah peniaga ayam percik yang hanya ingin dikenali sebagai Mat Nayan.

Beliau yang berniaga sajian itu sejak 30 tahun lalu menjualnya pada harga antara RM1 hingga RM3 mengikut bahagian ayam.

"Bila pelanggan berpuas hati dengan harga, maka ayam yang dijual akan habis, kita juga jual ayam segar setiap hari," katanya yang menyediakan 50 ekor ayam sehari.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rohaida Ahmat, 34, dari Kuala Lumpur berkata makanan yang dijual di bazar berkenaan bukan sahaja beraneka, malah harga ditawarkan juga berpatutan.

"Memang rambang mata bila sampai ke bazar ini, tapi yang seronok harga makanan yang dijual murah," katanya yang merupakan seorang Penerbit Rancangan.

-mstar
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages