KAK JUE BLOG'S

Warga Pendidik Perlu Sentiasa Tingkatkan Diri - Zambry



TAIPING: Para pendidik perlu bersiap sedia dan sentiasa mempertingkatkan diri dalam ilmu pengetahuan serta teknik pengajaran terkini bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata warga pendidikan kini berdepan cabaran yang mendesak mereka menjadi lebih celik terhadap teknologi dan kaedah mengajar yang kerap berubah.

Menurutnya, peranan guru ketika ini amat besar dan sangat mencabar, jika dibandingkan cabaran yang ditempuhi oleh guru-guru terdahulu.

"Ini kerana ledakan teknologi dan internet yang begitu luas membuatkan pelajar kita kadang-kadang lebih pintar daripada pengajarnya.

"Justeru itu, guru-guru perlu lebih bersedia dan melengkapi diri bagi mengharungi cabaran-cabaran ini, guru-guru perlu up to date," katanya ketika berucap dalam majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Pendidik, Guru KAFA, PIBG dan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Agama Rakyat di Kompleks Rakan Muda Kamunting pada Rabu.

Namun begitu, kata Dr Zambry, dalam masa yang sama, warga pendidik juga perlu berpegang kepada matlamat asas pendidikan iaitu merubah masyarakat menjadi lebih baik.

"Kita perlu terus berpegang kepada matlamat pendidikan iaitu untuk merubah masyarakat itu sendiri menjadi lebih baik," ujar beliau.-SuaraPerak
Share:

Tabung Haji Beri Jaminan Mata Wang Malaysia Tiada Masalah


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menafikan berita palsu yang disebar menerusi media sosial yang mendakwa kononnya mata wang Malaysia tidak diterima di Makkah dan Madinah, Arab Saudi.
TH dalam satu kenyataan berkata pemantauan melalui pejabat TH di Jeddah mendapati mata wang Malaysia diterima oleh kebanyakan pengurup wang di dua kota suci berkenaan.
"Selain itu, maklumat mengenai penggunaan kad ATM atau debit, yang membolehkan pengeluaran wang antarabangsa, yang kononnya tidak diterima, dan turut tersebar di media sosial, juga adalah tidak benar.
"Penggunaan kad ATM atau debit perlu mengikut tatacara yang betul dan perlu diaktifkan untuk melakukan pengeluaran wang," kata TH.
Sehubungan itu, TH berkata para jemaah Malaysia yang akan ke tanah suci dan berhasrat untuk menggunakan kad ATM atau debit, dinasihati untuk berhubung terus dengan bank yang mengeluarkan kad berkenaan untuk maklumat penggunaan yang betul.
Share:

Sidang DUN Perak Lulus Bajet 2017



IPOH: Dewan Undangan Negeri Perak yang bersidang sejak Selasa minggu lalu meluluskan Enakmen Perbekalan 2017 yang memperuntukan bajet negeri sebanyak RM1.2 bilion.

Selepas dibahaskan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enakmen itu diluluskan selepas undi belah bahagi yang menyaksikan semua 31 ADUN Barisan Nasional (BN) menyokong, 23 ADUN pembangkang menolak, tiga ADUN PAS berkecuali dan dua lagi tiada di dalam Dewan ketika pengundian dibuat.

Dua ADUN yang tiada di dalam Dewan ialah Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) dan Lee Chuan How (DAP – Pasir Pinji) yang ditahan ketika menyertai perhimpunan Bersih 5.

Dewan turut meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dengan beberapa pindaan.

Dua usul juga diluluskan iaitu Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2017 yang memperuntukan RM401 juta untuk perbelanjaan pembangunan di samping usul merakam sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena pelantikan baginda sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ke-15.-SuaraPerak
Share:

Tiada Kompromi Sindiket Guna Petani Lindungi Pencerobohan Tanah Kerajaan



IPOH- Kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi dengan kegiatan sindiket besar pencerobohan tanah kerajaan dengan memperalatkan petani untuk melindungi kegiatan haram mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius soal penerokaan haram terutama yang menggunakan taktik licik bagi mendapatkan tanah secara mudah.

Katanya walaupun kerajaan negeri bertindak tegas, kes-kes tulen seperti petani yang mengusahkan tanah pertanian bagi tujuan sara hidup sejak sekian lama di sesuatu kawasan akan diberi pertimbang sewajarnya.

Kata beliau antara mekanisme yang digunakan kerajaan negeri menyelesaikan isu penerokaan haram adalah dengan mengenakan sistem sewaan melalui agensi atau pun lesen menduduki sementara kepada petani yang terlibat.

"Tawaran ini tertakluk kepada mereka yang mengusahakan tanah itu bagi tujuan sara hidup dan bukan untuk disewa kepada pihak lain,"katanya semasa sesi penggulungan Bajet 2017 di Sidang DUN pada Isnin.

Beliau menjelaskan melalui program pemutihan yang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian sejak tahun 2009 daripada 77, 365.98 ekar keluasan kasar yang diusahakan secara haram, 61,341.88 atau 70 peratus telah berjaya diputihkan.

"Ia melibatkan 12,268 orang manakala bakinya kini sedang dalam proses penyelesaian kerana masih terdapat mereka yang masih enggan memberikan kerjasama termasuk tidak mahu membayar sewaan mahupun pajakan," katanya.

Menurut Dr Zambry, Kerajaan Negeri sebenarnya responsif dalam soal ini kerana melalui pemutihan ini ada yang menjadi peserta kepada program yang dijalankan agensi kerajaan.

"Ada yang jadi penyewa atau pemajak ada juga yang diberikan hak milik. Sehubungan itu saya berharap jangan ada pihak tertentu yang membakar sentimen bagi tujuan menghasut petani-petani ini," ujarnya. - SuaraPerak
Share:

Kes Pelajar Terlibat Dengan Najis Dadah Ditahap Membimbangkan



Jumlah pelajar sekolah di Perak yang terlibat dalam penagihan dadah kian meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini dan berada di tahap membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, berdasarkan rekod terbaharu 10 bulan pertama ini daripada 3,499 pelajar yang melalui saringan ujian air kencing, 173 (4.94 peratus) daripadanya di dapati positif.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini bermula 2012 lagi saringan ujian dilakukan ke atas 6,920 pelajar, 55 (0.79 peratus) daripadaya di dapati positif, kemudian diikuti 2013 daripada 5,336, 60 (1.12 peratus) daripadanya meningkat.

"Peningkatan sekali lagi dicatatkan pada 2014 dengan 2.59 peratus, 2015 pula 4.09 peratus dan tahun ini sehingga Oktober sebanyak 4.94 peratus peningkatan ini mengambarkan penglibatan pelajar-pelajar sekolah memang amat membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis dari Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mengenai data pelajar terlibat dadah di Perak dalam Sidang DUN negeri ke-13 pada Isnin.

Tambah beliau bagi menangani masalah tersebut, pihak kerajaan akan melakukan satu projek pilot di Sitiawan, Manjung sebagai permulaan insiatif membanteras penyalah gunaan dadah di kalangan pelajar secara habis-habisan.

"Fokus akan diberikan kepada tiga perkara utama iaitu keluarga bebas dadah, pekerja bebas dan pelajar bebas dadah.

"Kita akan lakukan perkara tersebut secara berperingkat dan kita yakin kawasan tersebut daripada salah satu kawasan 'hotspot' akan bebas dadah," jelas beliau.

Share:

Kerajaan Negeri Pandang Serius Kes Hamil Luar Nikah



IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius kes hamil luar nikah di kalangan remaja di negeri ini yang turut menyumbangkan kepada 5,705 kes anak tidak sah taraf bagi tempoh 2014 hingga 2015.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikna Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, sebagai langkah pencegahan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LPPKN giat melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik daripada Jabatan Kesihatan, kes itu melibatkan 1,679 remaja.

"Program pendidikan turut dijalankan untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada remaja termasuk kepada ibu bapa mengenai hubungan seks luar nikah dan meningkatkan pengetahuan kesihatan reproduktif remaja melalui program intervensi (campur tangan oleh sebuah badan dalam sebuah permasalahan)," katanya semasa sesi penggulungan di Sidang DUN pada Isnin.

Rusnah berkata, bagi remaja yang telah hamil dan memerlukan perlindungan segera, mereka boleh ditempatkan di institusi perlindungan di bawah JKM atau pusat perlindungan swasta di negeri ini.

"Di bawah JKM, kita ada Taman Seri Putri Batu Gajah, di sini remaja itu diberi kaunseling dan bimbingan pengurusan diri serta penjagaan anak yang bakal lahir.

"Langkah lain bakal diambil ialah mewujudkan Pusat Remaja Kafe@TEEN sebagai tempat memberi maklumat berkaitan isu-isu kesihatan dan psikososial termasuk khidmat kaunseling oleh JKM," ujarnya.

Selain itu, kata Rusnah, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI) telah dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah, 52 Sekolah Rendah dan 7 IPT membabitkan sejumlah 9458 orang pelajar.

Menurut beliau, program khas turut diperkenalkan untuk remaja lelaki bagi membantu menangani isu sosial dari terus menular.
Share:

Kursus Pasca Perkahwinan DIWAJIBKAN 4 kali Dalam Lima Tahun Di Perak.



Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbang saranan supaya memperkenalkan pakej poligami secara Jama'ie atau nikah beramai-ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini hanya mempunyai Program Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie untuk pasangan yang baharu hendak berkahwin dan ia dilaksanakan sejak 2013 pada setiap 16 September.

"Kita akan lihat dan pertimbangkan cadangan itu. Kita sedia maklum antara punca poligami termasuk yang bernikah di luar negara adalah kerana wali tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.

Di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan kita sentiasa berurusan dengan negara tertentu seperti Thailand khususnya yang melibatkan poligami," katanya.

Beliau berkata, demikian semasa menjawab soalan tambahan Abu Bakar Hussian (PAS-Titi Serong) yang ingin tahu jika kerajaan negeri sedia memperkenalkan pakej khas poligami secara Jama'ie.

Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan tambahan Datuk Mohammad Daud Mohd Yusof (BN-Selama), Mohd Nizar berkata pasangan pengantin daripada program itu akan disenaraikan di bawah Kelab Rakan Nikah Jama'ie bertujuan mengawal dan membendung kes-kes perceraian.

Selain itu, Mohd Nizar berkata pasangan yang bernikah di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengikuti Kursus Pasca Perkahwinan terbahagi kepada empat fasa bermula daripada lima tahun pertama usia perkahwinan.
Share:

Kerajaan Beri Subsidi 60% Untuk Pesakit Kelas 1 dan 2


Kenaikan bayaran perkhimatan bagi kelas 1 dan 2 bukanlah bebanan ini kerana kerajaan masih menyumbangkan 60 peratus subsidi kepada pesakit yang menggunakan Kelas 1 dan 2 walaupun caj wad naik sehingga 50 peratus bermula Januari.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, jumlah purata pesakit yang menggunakan kedua-dua kelas hanya 30,000 pesakit sahaja manakala 98.5 peratus lagi menerima kemudahan rawatan di wad kelas tiga.
Seperti yang dijelaskan keputusan uuntuk menggunakan wad Kelas 1 dan 2 adalah terpulang kepada pesakit. Kebanyakkan mereka yang menggunakan Kelas 1 dan 2 ini adalah mereka yang biasanya menggunakan perkhidmatan swasta.

“Caj Kelas 1 dan 2 ini adalah masih kurang daripada caj sektor swasta. Perkara ini bukan satu isu, ianya satu pilihan kepada mereka dengan 60% subsidi masih diberikan terhadap rawatan ini,” kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen pada Khamis.

Untuk rekod, kadar kenaikan caj baru berkenaan melibatkan pesakit-pesakit yang dirawat di Kelas 1 dan 2 akan melibatkan semua jenis rawatan untuk warganegara seperti bayaran wad am dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi, radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri.

Bagaimanapun Dr Subramaniam, kenaikan itu tidak akan melibatkan pesakit warganegara yang
memilih untuk dirawat di Kelas 3, dimana caj wad dan rawatan kekal dengan kadar lama.

Dianggarkan sebanyak 75 pe­ratus daripada 31 juta penduduk negara ini memilih hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan berbanding hanya 25 peratus yang memilih hospital swasta.

Ketika ini Malaysia mempunyai 143 buah hospital kerajaan de­ngan 41,389 buah katil manakala 183 buah hospital swasta dengan 12,000 katil.
Share:

Program Wanita Kreatif Fest 2016 Flatform Perluaskan Usahawan Wanita

Image result for Program Wanita Kreatif Fest 2016 malaysia
Bidang kreatif dan inovasi tidak seharusnya terasing dari dunia kewanitaan. Menyedari hakikat tersebut, buat kali ketiganya Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di bawah Pembangunan Usahawan & Ekonomi menganjurkan Wanita Kreatif Fest 2016 bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 29 November ini.

Festival yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 13 November ini menghidangkan lebih banyak program bagi memastikan para usawahan wanita mampu pergi lebih jauh di dalam bidang perniagaan.

Ketua pergerakan tersebut, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, objektif festival ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai wanita berganding bahu bersama kaum bapa bagi menembusi bidang kreativiti dalam semua aspek kehidupan.

“Wanita UMNO sebagai pemimpin dan pejuang untuk isu wanita sudah pasti mahu tentukan setiap wanita di negara ini mendapat kebebasan ekonomi. Bila wanita ada kebebasan ekonomi maka mereka dapat membantu keluarga, komuniti dan meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

“Salah satu acara dalam festival ini adalah dengan menceburi bidang kreativiti dan inovasi kerana bidang ini memang menjadi tumpuan ramai,” ujarnya selepas merasmikan pra-perasmian festival berkenaan di Dewan Tun Razak 1 PWTC di sini, hari ini.

Datuk Noraini Ahmad selaku Pengerusi Pembangunan Usahawan & Ekonomi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang bertanggungjawab mengnajurkan festival ini pula berharap festival ini akan menjadi satu landasan terbaik untuk para usahawan wanita untuk melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan.

“Kita bukan sahaja memberi untuk mereka berniaga sepanjang festival ini tetapi festival ini membuka ruang lebih luas kepada mereka melalui program business matching.

Festival ini disertai oleh 120 peniaga, 20 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan dan 30 syarikat yang datang secara bergilir-gilir untuk business matching.-MediaUmno
Share:

Penduduk Selesa KB1AJ Tawar Minyak Masak Harga Murah



KUALA KANGSAR: Ketika rakyat di seluruh  negara tertekan berikutan kenaikkan harga minyak masak di pasaran, kerajaan negeri Perak meneruskan usaha membantu meringankan beban golongan keterbawahan untuk mendapatkan bekalan bahan itu pada harga murah.

Kerajaan negeri menerusi Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) di bawah pengurusan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) menawarkan harga minyak masak jauh lebih murah berbanding yang dijual di pasaran.

Tinjauan Suara Perak ke Dataran Pekan Sauk pada Sabtu mendapati ramai penduduk kampung beratur untuk membeli minyak masak dan barangan keperluan dapur lain di KB1AJ yang mula dibuka pada jam 8.30 pagi.

Rata-rata mereka yang ditemui merasa amat lega kerana dibenarkan membeli enam kilo minyak masak yang dijual pada harga RM2.25 sekilo berbanding RM2.50 sekilo yang dijual di pasaran.- suaraperak
Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages