KAK JUE BLOG'S

Potensi Kanak-Kanak Peringkat Daerah Kerian Meriah


Kanak-kanak adalah anugerah Allah SWT. Kehadiran mereka menyeri sebuah keluarga. Kanak-kanak individu yang punya hak tersendiri mengikut akta kanak-kanak yang telah dimetri.
Menyedari keperluan membentuk kanak-kanak perlu dimulakan seawal yang mungkin. Maka lahirlah acara mencungki bakat dengan mengadakan Hari Potensi Kanak-kanak.
Acara ini diadakan setiap tahun.  Tahun ini merupakan acara in door. Dimana semua acara melibatkan acara yang dijalankan didalam dewan. Acara berkumpulan seperti ialah Tarian, Kompang berformasi, Nasyid, Boneka tangan dan Reka cipta. Acara individu pula seperti Pidato, Bercerita, Story telling, Tilawah dan Kanak-kanak cemerlang.



Hari ini pada 17 hb Ogos 2016. Telah berlangsung pertandingan Kompang Berformasi, Tarian, Boneka Tangan dan Nasyid. Semua acara yang dipertandingkan ini sempena Hari Potensi Kanak-kanak yang diadakan setiap tahun. Pertandingan dijalankan pada peringkat Daerah, KEMAS Bagan Serai menjadi tuan rumah. Setelah bertungkus lumus berlatih hari ini kanak-kanak menunjukkan bakat dan potensi mereka.  Program hari ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Muhaimin.


Semua penonton yang hadir rasa teruja melihat telatah anak-anak cilik beraksi. Hari ini guru-guru dilihat lebih berdebar-debar berbanding kabak-kanak. Masing- masing risau dan memikirkan persembahan anak didik masing-masing. Namun lejayaan bukan penentu segalanya. Tetapi lebih utama penyertaan dan kebolehan kanak-kanak dapat diterjemahkan sebagai persembahan. Namun tipulah jika tidak terfikir untuk berjaya.. paling utama adalah pencapaian objektif seperti yang telah dirancangkan.



Keputusan pertandingan hari ini  selepas disahkan oleh pengadil , 
*Parlimen Bagan Serai memenangi
1- Tarian
2. Kompang Berformasi
3. Boneka Tangan
Parlimen Parit Buntar
1. Nastid
Tahniah pada yang berjaya. Diharap kejayaan hari ini dapat dikekalkan semasa peringkat negeri nanti.





Share:

Peng Soon-Liu Ying Mahu Bawa Pulang Pingat Emas Pertama Negara.



KUALA LUMPUR: Tiba di Olimpik Rio, Brazil 2016 dengan status ranking ke-11 dunia, gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan tiada apa yang mustahil menerusi kejayaan bersejarah mara ke pentas final, pagi esok. 

Kejayaan itu bukan saja sudah mengesahkan pingat buat kontinjen negara, namun cukup besar 
Pada aksi final yang bakal memberi debaran cukup besar buat seluruh rakyat Malaysia, Peng Soon dan Liu Ying sekali lagi bertemu gandingan Indonesia - Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir - lawan sama yang pernah menewaskan mereka di perlawanan terakhir peringkat Kumpulan,sabtu lalu. 

Ketika kekalahan itu seakan memberi bayangan kurang gembira buat negara, Peng Soon-Liu Ying mengharungi peringkat suku akhir dengan cemerlang iaitu melakar kemenangan ke atas gandingan Poland, Robert Mateusiak - Nadiezda Zieba. 

Di pentas separuh akhir pula, mereka kemudian meruntuhkan gandingan Tembok Besar China, yang juga pilihan keempat kejohanan Xu Chen- Ma Jin yang juga menghuni ranking keenam dunia.

Sebagai rekod, gandingan Peng Soon-Liu Ying diletakkan sebagai pilihan kelapan di Rio manakala Tontowi-Liliyana sebagai pilihan kedua di belakang gandingan China, Zhang Nan-Chnzhao Yunlei yang mereka tumbangkan di separuh akhir. 

Apa yang pasti, untuk merealisasikan harapan menggunung itu, banyak kerja keras yang perlu dilakukan bukan saja daripada gandingan negara, dikuatkan dengan kebijaksanaan jurulatih serta doa seluruh rakyat Malaysia. Jelas Tontowi-Liliyana lawan yang cukup sukar dan boleh dikatakan, cukup liat untuk ditumbangkan. 

Ia dapat dilihat berdasarkan rekod pertembungan. Daripada sembilan pertembungan mereka sebelum ini, hanya satu berjaya dimenangi gandingan Peng Soon-Liu Ying dengan kekalahan terakhir pada Sabtu lalu. Lebih membimbangkan, satu-satunya kemenangan yang pernah diraih beregu negara ialah empat tahun lalu di Terbuka China pada November 2012. 

Ketika ditemui, Peng Soon-Liu Ying menyuarakan keyakinan mereka sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan bersejarah itu namun pastinya, gandingan Indonesia itu juga memiliki misi yang sama - pingat emas pertama negara mereka di Rio. Ertinya dengan kemenangan bakal memberikan hadiah paling berharga - pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan terbesar dunia itu. - bh

Share:

Regu Badminton Negara Mara Ke peringkat Suku Akhir


Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei mara ke suku akhir selepas meraih kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan kejohanan badminton di Sukan Olimpik Rio di sini pada Jumaat.

Pasangan negara itu menewaskan Poon Lok Yan-Tse Ying Suet 21-15, 21-13 dari Hong Kong dalam tempoh 36 minit dan akan bertemu nombor empat dunia dari Indonesia Niyta Krishinda Maheswari-Greysia Polli esok, bagi menentukan pemenang Kumpulan C.

Sementara itu, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying juga mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan kedua mereka dalam Kumpulan C.....


Share:

Pokemon Go : Ada Had, Larangan Bermain Dalam Masjid Dan Kawasan Surau

pokego

PUTRAJAYA – Perlu ada had dikenakan pada permainan Pokemon Go agar institusi agama tidak tercemar dalam keasyikan masyarakat terhadap permainan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Beliau berkata, tempat-tempat ibadat termasuk masjid tidak sepatutnya digunakan sebagai lokasi pencarian karektor permainan itu.

Othman, yang turut mencuba permainan tersebut bagi melihat sendiri fungsinya, mendapati Pokemon turut berada di kawasan masjid dan surau.

Pada pendapat beliau, pihak yang membangunkan aplikasi tersebut tidak begitu sensitif terhadap pusat ibadat yang mana ia tidak sesuai untuk dijadikan gelanggang permainan aplikasi maya itu.

“Permainan ini pada pendapat saya bagus kerana ia menggalakkan masyarakat beriadah sambil bersenam kerana memerlukan kita berjalan untuk mencari karektor tersebut, namun perlu ada hadnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Othman berkata adalah tidak elok sekiranya seseorang pergi ke tempat-tempat ibadat hanya untuk bermain permainan itu malah beliau berpendapat permainan tersebut turut telah mendatangkan pelbagai mudarat.

“Kita lihat di luar negara ada pemain yang memasuki kawasan privasi seperti rumah orang dan kawasan larangan hingga ke tahap ada yang tercedera dan meninggal akibat permainan tersebut,” katanya.

Permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA itu mula memasuki Malaysia Sabtu lepas dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Tinjauan Bernama di dua buah masjid di Putrajaya iaitu Masjid Putra, Presint 1 dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 di sini hari ini mendapati kedua-dua tempat itu diletakkan sebagai tempat ‘PokeStop’, untuk mendapat ‘reward atau hadiah’.

Malah kedua-dua tempat ibadat bagi orang Islam itu turut dijadikan ‘PokeGym’, platform yang digunakan sebagai medan pertarungan bagi para pemain yang sudah mula mencapai aras lima.

Tinjauan juga mendapati melalui aplikasi tersebut, PokeStop dan PokeGym juga terdapat di hampir kesemua tempat tumpuan orang ramai dan bangunan-bangunan kerajaan serta kementerian di sekitar Putrajaya.-Bernama
Share:

Denda Rm 300 Jika Bermain Pokemon Go Ketika Memandu



Sesiapa yang didapati bermain Pokemon Go ketika memandu kenderaan boleh didenda sehingga RM300.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Nadzri Siron berkata denda itu sejajar dengan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Sama ada pemandu menggunakan telefon bimbit untuk tujuan berkomunikasi mahupun untuk ‘tangkap’ karakter Pokemon ia tetap salah dan tindakan yang serupaakan diambil terhadap pesalah,” katanya pada Rabu.

 Perbuatan menggunakan telefon bimbit atau bermain Pokeman Go ketika memandu menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa, mereka akan ditahan dan dituduh di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1986.
“Tiada kompromi dalam isu keselamatan orang awam,” tegasnya sambil menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurut beliau, setakat ini masih belum ada pemandu di mana-mana negeri yang diambil tindakan kerana bermain Pokemon Go ketika memandu.
Pokemon Go telah mencetuskan gelombang baharu dalam permainan realiti berperantara dalam sejarah penciptaan aplikasi telefon pintar.
Ia merupakan permainan sembunyi-sembunyi konvensional yang memerlukan pemain mencari dan berlawan dengan karakter maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar.

Aplikasi ini dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai tahun ini di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, sebelum tersebar ke lebih 30 negara sekarang.
Sementara itu di Johor Bharu, Ketua Jabatan Siasatan dan PenguatkuasaanTrafik Johor Supt Baharuddin Mat Taib turut menasihati pengguna jalan supaya tidak menggunakan telefon bimbit dan bermain Pokemon Go bagi memastikan keselamatan di jalan raya terjamin.
Beliau berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya sudah mengeluarkan saman terhadap 1,875 individu kerana menggunakan alat komunikasi semasa memandu atau menunggang kenderaan manakala 2, 459 individu disaman dalamtempoh yang sama tahun lepas.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan lampu strobe pada kenderaan tanpa kebenaran.

“Penggunaan lampu strobe perlu mendapat kebenaran daripada Ketua PengarahJPJ dan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 24 dan Kaedah 138 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/59).
“Lampu strobe merupakan sejenis lampu terang yang boleh kelihatan dari jarak jauh … pihak polis memandang serius mengenai kesalahan ini dan akan menggiatkan penguatkuasaan,” katanya.

Manakala di Kedah Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk V. Valluvan berkata setiap pengguna jalan raya yang bermain Pokemon Go atau menggunakan apa jua aplikasi termasuk sistem pengesan global (GPS) di telefon bimbit sehingga menyebabkan mereka hilang kawalan, tetap dianggap melakukan kesalahan biar pun tidak memegang gajet tersebut.

Tambahnya perkara tersebut termaktub dalam undang-undang di bawah Kaedah 17 A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Kalau letak di depan dan pemandu terlalu asyik dengan aplikasi tersebut, itu tidak betul.
“Undang-undang tidak menyatakan Pokemon Go, Waze atau apa-apa aplikasi. Tetapi disebut bahawa pemandu mesti mempunyai kawalan terhadap kenderaan dan keduanya tidak boleh menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Share:

Pokemon Go Haram - Mufti Wilayah Persekutuan



KUALA LUMPUR: Karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lepas.
"Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat, fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.
"Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.
"Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku - pengintipan pihak luar; pencerobohan ruang peribadi; faktor keselamatan seperti kemalangan; kelalaian dan sebagainya," katanya lagi.
Zulkifli berkata, pihak jawatankuasa Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar masyarakat memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, serta tidak mempunyai usur khurafat. - Bernama
Share:

PM Beri Jaminan Kerajaan Kekal Subsidi RM8,910 Setiap Jemaah Haji

PM bersama jemaah haji

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Ra­zak memberi jaminan ba­ha­wa kerajaan akan mengekalkan dasar pemberian subsidi setiap tahun kepada jemaah haji dari negara ini.

Perdana Menteri berkata, subsidi yang ditanggung Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tahun ini mencatatkan rekod dengan jumlah RM8,910 bagi setiap jemaah.

Menurut beliau, kos keseluruhan subsidi tahun ini adalah sebanyak RM160 juta dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM150 juta tahun lalu.

“Tiap-tiap tahun bila saya jumpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mereka amat keberatan untuk mengesyorkan supaya subsidi haji ini ditarik balik atau dikurangkan.

“Sebab itu, saya menerima syor selagi boleh, selagi termampu, kita akan terus mengekalkan dasar memberi subsidi yang besar kepada jemaah haji kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dekat sini semalam.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Jamil Khir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Duta Arab Saudi di Malaysia, Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Abdul Azeez dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

Perdana Menteri turut menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya bersedia menghadapi langkah-langkah keselamatan tambahan yang diambil kerajaan Arab Saudi berikut insiden keganasan berhampiran Masjid Nabawi pada Ramadan lalu.

Beliau memberitahu, setiap jemaah dikehendaki menjalani imbasan cap 10 jari melalui sistem biometrik dan mesin pengimbas keselamatan dipasang di pintu masuk setiap hotel di Madinah.

“Jemaah haji wanita pula dikehendaki memakai gelang yang mempunyai cip di dalamnya,” jelasnya.

Najib menambah, petugas-petugas Tabung Haji di tanah suci juga akan menganjurkan taklimat keselamatan bagi semua jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mencemarkan nama baik negara atau membawa kesan tidak baik terhadap ibadah mereka.

“Saya juga berharap prestasi dan imej jemaah haji Malaysia dapat dipertahankan.

“Setiap kali apabila saya bertemu dengan Raja Arab Saudi, sama ada sekarang atau dahulu, mereka semua memuji dan mengatakan jemaah haji Malaysia sangat baik dan berdisiplin,” katanya.

Perdana Menteri turut berharap semua jemaah haji Malaysia mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara semasa di tanah suci lebih-lebih lagi dalam suasana banyak negara menjadi sasaran serangan pengganas serta sedang bergolak mutakhir ini.

Beliau menambah, umat Islam di Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada ibadah haji de­ngan terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat. – UTUSAN
Share:

KDN Melarang Penanaman Ketum Secara Komersial Di Malaysia



Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Beliau berkata ia turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.

"Buat masa ini kerajaan putuskan tidak izinkan (pokok ketum) ditanam secara komersial, diedarkan dan digunakan kerana keburukannya lebih banyak.

"Kita telah dapat input secara saintifik, daun ketum ini ada unsur-unsur kebaikan tapi lebih banyak unsur-unsur tidak baik jika digunakan iaitu boleh menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Prima, di sini Khamis.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak menghalang penggunaan daun ketum untuk kajian perubatan secara saintifik.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar, yang usaha itu juga boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada pekebun kecil.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bertegas akan mengambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan arahan larangan menanam pokok ketum untuk tujuan komersial.

Beliau berkata mereka yang berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952 di bawah KKM. - 

- BERNAMA


Share:

"Rogol tetap rogol. Tidak boleh ditutup dengan perkahwinan" - Rohani Abdul Karim

"Rogol tetap rogol. Tidak boleh ditutup dengan perkahwinan" - Rohani Abdul Karim
"Rogol tetap rogol, pesalah mesti menjalani hukuman jika sabit kesalahan, ia tidak boleh ditutup dengan perkahwinan," kata Rohani.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membuat intervensi sebelum kelulusan diberikan kepada mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan merogol daripada mengahwini mangsa bawah umur, kata Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Merujuk kepada kes seorang lelaki 22 tahun yang digugurkan daripada tuduhan rogol selepas mengahwini mangsanya yang berusia 14 tahun, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan satu jenayah yang harus dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

"Perkahwinan bagi gadis bawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran daripada keluarga, Mahkamah Syariah dan Ketua Menteri atau Menteri Besar di sesebuah negeri.

Jadi kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat intervensi supaya perkahwinan seperti itu tidak diteruskan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Reuters melaporkan seorang lelaki yang melakukan rogol statutori terhadap remaja berumur 14 tahun di Sarawak pada tahun lepas, terlepas hukuman penjara selepas mengahwini mangsanya.

Tuduhan ke atas lelaki itu digugurkan selepas sijil perkahwinan dikemukakan dan gadis itu menarik balik aduan tersebut.

Rohani berkata pihak kementerian telah dimaklumkan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) akan membuat semakan semula kes itu di mahkamah tinggi.

"Rogol tetap rogol, pesalah mesti menjalani hukuman jika sabit kesalahan, ia tidak boleh ditutup dengan perkahwinan," katanya.

Kementerian yang memegang amanah di bawah Akta Kanak-kanak mengambil berat hal itu mahu orang ramai mengetahui hak kanak-kanak, kata Rohani.- awani

Share:

4,000 Lagi Rumah Mampu Milik Dibina Di Perak

Gambar hanya hiasan 

IPOH - Sebanyak 4,000 unit apartmen mampu milik akan dibina di Bandar Tasik Amanjaya dekat sini sebagai usaha untuk membantu rakyat memiliki kediaman.

Pembinaan rumah tersebut dalam empat fasa di atas tanah seluas 26.7 hektar akan dibangunkan menerusi kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan Vivocom Entreprise Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM700 juta.

Majlis menandatangani perjanjian bagi kerjasama itu dimeterai hari ini dengan MB Inc diwakili Ketua Kumpulan Strategik Korporat Kewangan, Shamsul Mohamed Isa, manakala Vivocom Enterprise Sdn Bhd diwakili Pengarah Eksekutifnya, Choo Seng Choon.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim berkata pembinaan projek perumahan itu akan dimulakan hujung tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Projek ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat MB Inc selain menyahut seruan kerajaan dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah agar pemaju membangunkan lebih banyak rumah mampu milik," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kerjasama itu di sini Khamis.

Menurut Aminuddin projek yang terletak di Jalan Ipoh-Lumut itu bukan sahaja menawarkan pemandangan indah kepada pembeli, malah bakal memberi impak pembangunan ekonomi terhadap kawasan setempat.

Katanya rumah yang berkeluasan 900 meter kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air itu akan dijual pada harga RM180,000 hingga RM220,000 setiap unit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata projek tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan semua kawasan secara saksama.

"Semua pembangunan kita spread out (bertebaran) , bukan hanya bertumbuh di kawasan bandar Ipoh sahaja agar ia dinikmati bersama," katanya. - Bernama


Share:
Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages