Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan ke atas pengusaha restoran yang bertanggungjawab mengeluarkan burger daging babi menggunakan nama P Ramly.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KPDNKK mempunyai akta boleh diambil tindakan ke atas mana-mana pengusaha yang mengelirukan pengguna.
Beliau berkata, pihaknya telah menyiasat pengusaha jualan burger babi di restoran di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Penguat kuasa kita berjumpa pengusaha terbabit dan membincangkan perkara ini kelmarin. Kita akan ambil tindakan sepatutnya jika kita pasti mereka buat kesalahan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.
Difahamkan, menu baharu itu diperkenal sempena sambutan Hari Merdeka dengan harga RM9.90 satu set.
Ia menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pelanggan beragama Islam, yang mendakwa mereka keliru burger P Ramly adalah burger keluaran syarikat Bumiputera, jenama Ramly Burger berstatus halal.
Memetik laporan sebuah akhbar semalam, pengeluar daging burger Ramly Food Processing Sdn Bhd turut mempertikai kelewatan pihak berkuasa bertindak selepas mereka mengemukakan aduan sejak tiga minggu lalu.
Mereka turut mempersoal tindakan pihak berkenaan menggunakan nama Ramly yang juga mirip seniman agung negara, Tan Sri P Ramlee.
Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Ninja Joe melalui Facebooknya menyatakan, mereka akan terus jual burger tersebut dan hanya akan menukar nama lain.
Menurutnya, perkataan Ramly untuk burger daging babi itu adalah penghormatan kepada jenama Ramly sebagai pengeluar burger ternama di negara ini, tiada kaitan dengan pelakon P Ramlee dan ia satu kebetulan.
Difahamkan, huruf ‘P’ merujuk daging babi, ‘Pork Ramly’. – Sinar
No comments:
Post a Comment