KAK JUE BLOG'S

Polis, JPN Kerjasama Banteras Jenayah Di Kalangan Pelajar



IPOH: Polis Perak memperhebatkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bagi membanteras kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar, termasuk penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, selaras dengan hasrat itu, pihaknya akan menfokuskan kepada empat pendekatan yang akan dibuat bersama-sama pihak sekolah seluruh negeri.

Menurut beliau, walaupun peratus penglibatan pelajar dalam aktiviti jenayah serta tangkapan dibuat adalah kecil tetapi pihak polis tetap bimbang dan tidak memandang ringan perkara tersebut.

“Pada tahun ini daripada 5,337 kes jenayah, 46 daripadanya adalah melibatkan pelajar manakala bagi tangkapan pula daripada 2,033 kes, 71 daripadanya adalah pelajar,” katanya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Selasa.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah JPN Rozi Puteh Ismail.

Hasnan berkata, antara empat pendekatan tersebut adalah meningkatkan kehadiran pihak polis trafik, polis bantuan, warden sekolah serta pengawal sekolah sepanjang sesi persekolahan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, kata beliau, kelab pencegahan jenayah akan dimantapkan lagi di samping mempertingkatkan kesedaran ibu bapa mengenai salah laku pelajar di sekolah.

“Kita turut akan mendapatkan maklumat awal tentang penagihan, pengedaran dadah serta jenayah di kalangan pelajar serta guru, untuk disalurkan kepada kita secara segera,” jelasnya.

Tambah beliau, empat pendekatan itu  juga akan diberi penekanan khusus di sekolah-sekolah yang berada di daerah Ipoh, Manjung serta Taiping.

“Tiga daerah ini merupakan kawasan-kawasan yang tinggi jenayahnya dan antara daerah yang diutamakan ialah Taiping,” jelasnya.
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages