KAK JUE BLOG'S

Malaysia Masih Mampu Bentang Belanjawan Terbaik Walaupun Ekonomi Dunia Tidak Menentu - Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR - Malaysia masih mampu membentangkan belanjawan yang terbaik untuk rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini mengambil kira agihan kepada semua golongan dan sektor.

"Saya mewakili pihak jemaah menteri mengucapkan tahniah atas belanjawan yang cukup berpijak di bumi yang nyata walaupun kita tahu kehilangan pendapatan daripada sumber-sumber yang berasaskan kepada petroleum.

"Namun, apa yang telah dibentangkan memperlihatkan bahawa kita masih mampu memberikan agihan yang sepatutnya kepada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melahirkan ucapan terima kasih kerana sektor keselamatan tetap diberikan keutamaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh jumlah peruntukan yang besar.

Katanya peruntukan berjumlah RM80 juta bagi membekalkan pakaian seragam kepada anggota RELA juga menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri untuk melihat anggota sukarelawan itu berada di seluruh pelosok negara bagi membantu agensi keselamatan dan penguatkuasaan menjaga keamanan negara.

Sejumlah RM12.8 bilion diperuntukkan bagi Kementerian Dalam Negeri, termasuk RM8.7 bilion kepada PDRM dalam Bajet 2017.

Mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memajukan negara dalam tempoh tiga dekad, Ahmad Zahid berkata beliau memberikan dokongan yang penuh terhadap pengenalan transformasi itu kerana ia penting dalam memastikan generasi akan datang bersama kerajaan membentuk hala tuju negara.

"Pada tahun 2057, negara kita akan berada di ambang 100 tahun kemerdekaan, tentunya transformasi nasional yang baru ini amat diperlukan supaya generasi Y yang ada serta generasi Z, dan generasi alfa yang akan muncul, mempunyai saham bersama membentuk negara," katanya.

Ditanya mengenai bajet kepada Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid menegaskan ia bukanlah peruntukan kepada Pejabat Perdana Menteri, sebaliknya ia melibatkan 90 agensi di bawah jabatan itu.- Bernama



Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Recent Posts

Pages