KUALA LUMPUR: Penghargaan dan sumbangan yang disampaikan pelbagai pihak kepada atlet Olimpik dan Paralimpik negara ternyata memberi kesan mendalam terhadap diri mereka.
Terkini, wira dan wirawati negara ini diraikan pada majlis penghargaan berbentuk wang tunai dan trofi anjuran Umno yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pemenang pingat gangsa acara lompat jauh wanita, Siti Noor Radiah Ismail berterima kasih atas semua sokongan dan penghargaan yang diperoleh setakat ini.
“Penghargaan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.
Bagi Abdul Latif Romly yang membawa pulang pingat emas acara lompat jauh T20 pula, beliau sangat terharu atas pengiktirafan yang diberikan kepada atlet negara.
“Saya tidak pernah alami perkara sebegini, jadi saya sangat gembira dan bangga, Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya rasa,” katanya yang menetapkan sasaran untuk mempertahankan rekod dunia pada masa depan.
Malahan, wirawati Olimpik yang juga penerjun negara, Pandelela Rinong turut tidak terkecuali apabila menganggap usaha semua pihak meraikan merka sebagai sesuatu yang menyentuh hatinya.
“Saya rasa gembira dan terharu di atas semua penghargaan yang telah disalurkan,” katanya.
Beliau yang sedang menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM), sudah memulakan latihan bagi persediaan untuk menyertai kejohanan tahun hadapan.
Sementara itu, atlet yang mendapat jolokan Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas semua ganjaran yang diberikan atas usaha atlet negara.
"Yang penting pengiktirafan ini akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada bukan sahaja atlet, tetapi kepada semua pihak untuk melihat bahawa sukan ini adalah satu industri yang boleh dijadikan sebagai kerjaya,” jelasnya.
Selain Perdana Menteri, majlis itu turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Majlis Tertinggi Umno termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta atlet pelapis di bawah 'Program Kita Juara'.-mstar
No comments:
Post a Comment