KAK JUE BLOG'S

Parlimen: KKMM Ambil Pelbagai Langkah Bendung Kecelaruan Bahasa Melayu Di Stesen TV


KUALA LUMPUR - Setiap stesen penyiar telah diminta menubuhkan Jawatankuasa Kecil Pemantauan Penggunaan Bahasa Melayu dalam membendung kecelaruan penggunaan bahasa Melayu di stesen televisyen.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata ia sebagai langkah pemantauan dalaman di stesen masing-masing.

Menurut kementerian itu, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) telah mewujudkan Kumpulan Pemantauan Bahasa (Pegawai Bahasa) yang berfungsi memantau, menegur dan membetulkan penggunaan bahasa penerbit, pembaca berita, penyampai televisyen dan radio.

"Bagaimanapun, RTM hanya bertanggungjawab terhadap siaran dan kakitangannya sahaja," katanya.

Ia bagi menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam menyekat kecelaruan bahasa Melayu oleh pengacara di stesen televisyen swasta yang dilihat mencemarkan bahasa tersebut.

Selain itu, KKMM berkata buku 'Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Massa Tahun 2013' juga telah diterbitkan melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Garis panduan ini telah diterima pakai oleh pengamal media penyiaran, media cetak dan media baharu kerajaan dan swasta yang mengandungi panduan umum tatabahasa Melayu dan panduan penggunaannya, selain panduan sebutan dan penyampaian," kata kementerian itu.

Katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak penyiar swasta turut terlibat sebagai ahli Jawatankuasa Pemantauan Penggunaan Bahasa Melayu dalam media elektronik yang ditubuhkan oleh DBP bersama IPPTAR bagi penambahbaikan penggunaan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata dari segi pemantauan bahasa Melayu di stesen televisyen, ia adalah di bawah DBP melalui peruntukan akta di bawahnya seperti Akta Bahasa Kebangsaan.


- BERNAMA

Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages