KAK JUE BLOG'S

Suasana Pilu Sambut Jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Sultan Perak beri penghormatan terakhir jenazah MP Kuala Kangsar

IPOH – Suasana pilu menyelubungi sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pagi ini sebaik ketibaan pesawat Hercules C130 yang membawa jenazah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Pesawat yang dipandu Kapten Mohd Amin Ibrahim tiba di LTSAS kira-kira 6.45 pagi selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pukul 4 pagi tadi.

Turut berada di pesawat berkenaan adalah isteri Wan Mohammad Khair-il Anuar, Mastura Yazid serta empat anak pasangan tersebut iaitu Wan Emir Astar, Wan Muhammad Amar, Wan Imar Izzat dan Wan Emir Iskandar.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada saudara mara, Exco Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan negeri serta kenalan berada di LTSAS bagi menyambut jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Turut berkenaan berangkat menyambut ketibaan jenazah adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sebaik pintu pesawat dibuka, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenaan menaiki pesawat bertemu anggota keluarga Allahyarham serta mengaminkan doa yang dipimpin Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Terdapat kalangan yang hadir tidak dapat menahan tangisan apabila jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar diusung keluar dari pesawat dan melihat Mastura berpelukan dengan anak-anaknya.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan menaiki van jenazah Tentera Udara Diraja Malaysia sebelum dikebumikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan.

Wan Mohammad Khair-il Anuar merupakan antara enam yang terlibat dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak petang Khamis lalu.

Jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar selamat dikebumikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan kira-kira 50 kilometer dari sini pada pukul 9.15 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Ubudiah dengan diimamkan Imam Besar masjid itu, Mohd Helmi Ibrahim dan turut disertai lebih 1,500 jemaah termasuk ahli keluarga.

Turut berangkat memberi penghormatan terakhir adalah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain.

Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pasukan mencari menemukan mayat Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada pukul 6 petang semalam, kira-kira 2.5 kilometer dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Lingga, 250km dari Kuching.

Setakat ini, lima mayat telah dijumpai dan usaha giat dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa, juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas. – BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages