KAK JUE BLOG'S

Selamat Hari Ibu Untuk Semua Ibu Tercinta




Begitu pantas masa berlalu, saya kini mempunyai tiga orang anak belasan tahun.

Saya masih ingat tatkala anak sulung saya dilahirkan. Anak lelaki itu hadiah paling bermakna daripada isteri saya.

Saya masih tidak lupa betapa terpegunnya saya merenung sepasang mata yang begitu bercahaya. Dengan kelahirannya, saya dan isteri saya menjadi ibu dan bapa.

Isteri saya kemudiannya menghadiahkan saya dengan dua orang puteri yang menyerikan lagi kehidupan kami.

Apabila mempunyai anak sendiri, saya semakin insaf betapa besarnya jasa bakti kedua ibu bapa saya dan kini tanggungjawab yang perlu saya pikul sebagai bapa.

Saya juga tidak pernah lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu untuk ibu saya dengan sekurang-kurangnya memberi ibu sekuntum bunga ros pada Hari Ibu.

Ada beberapa orang rakan saya berkata setiap hari sepatutnya Hari Ibu. Saya amat bersetuju dengan kata-kata mereka.

Sempena Hari Ibu diharap semua akan mengenang kembali betapa kasih dan sayangnya ibu dalam membesarkan kita. Hargailah ibu selagi mereka masih hidup.

Kita perlu juga ingatkan anak betapa istimewanya insan bernama ibu. Sebagai bapa, saya sentiasa mengingatkan semua anak saya tarikh 8 Mei Hari Ibu dan mereka tidak pernah lupa hari istimewa ini.

Cuba anda tanya kepada sesiapa pun apakah hari yang paling penting dalam satu-satu tahun dan jawapan yang anda akan terima antaranya ulang tahun hari kelahiran dan musim perayaan.

Sedih sekali, tidak ramai yang akan menyebut Hari Ibu sebagai jawapan.

Jasa ibu nampaknya hanya dikenang pada bulan Mei untuk sambutan Hari Ibu, dan mungkin dengan bantuan iklan serta komersial, tiada siapa yang akan lupa hari yang begitu bermakna itu.

Jambangan bunga yang dibalut indah, makan malam bersama dirancang rapi tetapi hanya untuk Hari Ibu.

Memberi hadiah atau menyatakan Selamat Hari Ibu bukanlah yang menjadi persoalannya. Apa yang lebih penting ialah untuk memberitahu para ibu dan isteri betapa mereka sentiasa diingati, dihargai dan disayangi. Perasaan ini perlu disantuni sepanjang tahun.

Ketika mendengar satu perutusan radio, saya menyedari bahawa jika ada satu pekerjaan yang tiada tandingan untuk diberi ucapan terima kasih, itulah tugas sebagai ibu.

Meskipun ramai yang mungkin tidak menganggapnya begitu, pada hakikatnya ia satu pekerjaan, waktu kerja yang panjang, tidak ada rehat, tidak ada cuti meskipun ketika dalam percutian, ketika anda nyenyak tidur dan paling utama tiada gaji.

Ibu seorang penyayang tetapi tegas. Sesibuk mana pun ibu tetap akan melayan anaknya. Ibu sanggup berlapar asalkan anaknya ada makanan. Meskipun mungkin ibu menanggung penderaan, kasihnya seorang ibu tidak akan membiarkan anaknya dipengapakan oleh sesiapa pun.

Seorang ibu akan sentiasa menjaga kebajikan anaknya. Ibu mungkin tidak berdaya kerana sakit tetapi akan memastikan anaknya sihat sepanjang masa.

Tahun ini ayuh kita hargai ibu kita dan peluklah ibu sambil menyatakan betapa kita sayangi ibu, segala pengorbanan yang ibu curahkan untuk membesarkan kita.

Tunjukkan kita menyanjung tinggi setiap detik ibu menjaga dan membesarkan kita dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang.

Berilah makna kepada Hari Ibu.

Bukan setakat kerana ibu melahirkan kita atau isteri kita melahirkan anak kita. Buat sesuatu yang istimewa untuk menghargai mereka yang telah banyak berkorban masa dan tenaga, mencurah kasih sayang tiada penghujungnya dan yang paling penting, beritahu ibu kita bahawa Hari Ibu tersemat erat dalam hati kita sepanjang masa, bukan setakat pada 8 Mei.

Selamat Hari Ibu, bonda tersayang!
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages