KAK JUE BLOG'S

Aktiviti Lasak Bentuk Kemampuan Diri Wanita



Sering kali terdapat pandangan bahawa golongan wanita tidak sesuai bergiat dalam aktiviti sukan atas alasan keupayaan fizikal mereka yang terhad berbanding lelaki.

Sebab lain wanita tidak digalakkan aktif dalam sukan kononnya dibimbangi persaingan dalam aktiviti sukan akan mengurangkan sifat kewanitaan dalam diri wanita itu sendiri.

Namun, dalam arus yang kian berubah, kempen penjagaan kesihatan melalui aktiviti sukan dijalankan dan wanita turut terdorong untuk membabitkan diri dalam aktiviti sukan, walaupun bermula dengan yang tidak bersifat perlawanan seperti bola jaring.

Kemudian mereka mula menceburi sukan lain seperti tenis, bola keranjang, bola sepak dan futsal, yang semakin diminati.

UMUR BUKAN PENGHALANG

Fatimahtul Zuhrara Saad, 50, bukanlah seorang atlet yang begitu tegar dalam sukan. Dia adalah individu biasa yang menjadi surirumah. Namun, Fatimahtul Zuhrara gemar menyertai acara sukan lasak.

Baru-baru ini, ibu kepada lima cahaya mata ini menyertai satu pertandingan cabaran berhalangan unik di negara ini, yang mewajibkan pesertanya beraksi sambil memakai gincu iaitu Gua Tempurung Lipstick Challenge Extreme Obstacle Run 2016.

Biarpun dikelilingi hampir kesemuanya peserta muda daripada keseluruhan 150 peserta mengambil bahagian, namun didorong sifat ingin bersaing, beliau yang dikenali Emma dalam kalangan rakannya sama sekali tidak menyangka berjaya menamatkan 10 halangan dalam trek sejauh 13 kilometer merentasi sekitar lokasi produk pelancongan terkenal Gua Tempurung dalam tempoh dua jam 10 minit enam saat, sekaligus meraih nombor ke-20.

"Siapa kata bila umur kian meningkat, kita sudah kena perlahankan rentak (bersukan). Jika itu pilihan kita dan fizikal masih kuat, kenapa tidak teruskan?.

"Bagi saya bersukan seperti sebuah terapi yang menyeronokkan. Dalam cabaran ini, saya hanya akan memikirkan untuk sampai ke garisan penamat. Saya tidak pernah menyasar untuk menang memandangkan pesaing dalam sukan ini ialah cabaran terhadap diri sendiri selain mengisi masa lapang.

"Saya percaya 40 peratus bergantung kepada fizikal, manakala 60 peratus lagi adalah ketahanan mental dan semangat untuk menamatkan sukan lasak sebegini," kata Emma ketika ditemui sebaik diumumkan sebagai peserta paling veteran oleh penganjur pertandingan itu di perkarangan Gua Tempurung.

Cabaran edisi pertama yang disertai 150 peserta wanita berusia dari 19 hingga 50 tahun itu adalah program anjuran kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Persatuan Homestay Negeri Perak dan RAT Adventure Consultant itu bertujuan memberi peluang kepada wanita membabitkan diri dengan sukan lasak pelbagai disiplin bagi menguji ketahanan fizikal serta mental mereka.

Halangan yang perlu dilalui peserta adalah meredah timbunan tayar, berlari atas tayar, merangkak dalam rumah sesat, meredah halangan tali, berlari guna batu-bata, berlari atas titi, memanjat dinding, menggelungsur bukit, meredah lumpur dan bergayut.

"Malah di satu kawasan selepas checkpoint berlari atas tayar, kami semua kena meranduk Sungai Kampar sejauh 50 meter untuk ke checkpoint seterusnya dan kemudian merangkak dalam rumah sesat yang dindingnya menggunakan jaring hitam selain merangkak meredah lumpur bagaikan seorang komando," katanya yang puas dengan kejayaan selain beranggapan usia bukanlah penghalang segala-galanya.

Melihat pertandingan unik seperti ini wajar diteruskan, jelas beliau dan ia bukan sahaja sebagai satu hak tetapi sebagai satu jalan untuk mencapai pendirian yang lebih positif dalam kalangan wanita negara ini yang ada sebahagiannya masih segan dan skeptikal menganggap sukan lasak lebih sesuai untuk golongan profesional.

"Saya percaya jika diberi peluang dan ruang yang khusus seperti penganjuran sukan lasak khas buat wanita seperti ini, lebih ramai yang akan menyertai dan tidak segan mengeluarkan bakat terpendam yang ada melakukan aktiviti sukan lasak ini," katanya.

KECANTIKAN DAN KESIHATAN DIRI PERLU SEIRING

Berkongsi tips bagaimana isteri kepada seorang pesara kerajaan ini kekal sihat, katanya minat terhadap bersukan dan gaya hidup sihat telah dipupuknya sejak kecil dan ketika ini beliau menjadikan sukan mendaki bukit sebagai satu daripada hobinya yang tidak boleh ditinggalkan.

Pada masa yang sama, beliau menjana kecergasan dan stamina di kelas gimnasium dan bersenam aerobik pada waktu malam setiap minggu biarpun tugas sebagai surirumah adalah padat. Ini berikutan pada sebelah paginya beliau menghadiri kuliah agama.

"Dulunya saya ada asma yang agak teruk. Kemudian sejak dua tahun lepas, seorang rakan saya mengajak menyertai senam aerobik. Bila saya amalkan gaya aktif, alhamdulillah asma saya dah kurang dan naik bukit pun tidak berasa termengah-mengah," katanya.

Beliau berpendapat dalam usaha mengekalkan kecantikan diri biarpun usianya kian meningkat, adalah perlu seiring dengan menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti bersukan serta tidak dilupakan aktiviti kerohanian mendalami ilmu agama.

"Bila berkawan dengan orang minat bersukan, secara tidak langsung timbul pula minat mencabar diri untuk memanjat bukit. Keizinan dari suami juga jangan dilupakan.

"Ada kalanya tiga hingga empat kali dalam seminggu tu saya dengan kawan-kawan senam aerobik mendaki Bukit Keledang (Menglembu, Ipoh)," katanya.

Jika dalam dekad-dekad lepas, jarang kita mendengar kaum wanita menjadi begitu tegar menyertai sukan lasak walaupun hanya sebagai hobi. Bagi sukan-sukan seperti marathon, Ironman atau pendaki hanya dikaitkan dengan golongan profesional. Namun kini sudah ramai wanita yang tertarik dengan sukan begitu.

WANITA DAN GINCU TIDAK BOLEH DIPISAHKAN

Bagi penganjur cabaran itu, Noradidah Mokhtar berkata penganjuran cabaran sukan lasak itu sememangnya disasarkan kepada golongan wanita dalam usaha memperkasakan aktiviti wanita dari aspek kecergasan.

Ditanya mengapa memilih idea mewajibkan peserta wanita memakai gincu, Noradidah, yang juga Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Perak berkata sekiranya menetapkan syarat yang pelik-pelik, orang susah nak datang menyertainya.

"Jika sebelum ini pernah diadakan pertandingan seumpamanya iaitu larian cabaran yang memerlukan peserta berlari memakai pakaian ala korporat, kali ini kita cuba mencipta kelainan dalam acara sukan lasak pula.

"Saya percaya ini adalah inisaitif pertama pada tahun ini khusus untuk golongan wanita bersukan. Lagipun lipstick dengan wanita cukup sinonim dan boleh dikatakan wajib ada dalam tas tangan wanita," katanya.

Noradidah berkata pemilihan lokasi Gua Tempurung sememangnya bertepatan bagi riadah bersama keluarga kerana kawasan ikon pelancongan itu berdekatan kawasan homestay, resort, serta produk pelancongan yang lain seperti Kellie's Castle dan aktiviti kayak arus deras di Sungai Kampar.

Biarpun sasaran awal 300 peserta, namun disebabkan tempoh promosi yang terhad membataskan pihak penganjur untuk mencapai sasaran cabaran buat julung kali diadakan itu.

"Terdapat seorang peserta tunggal dari Nigeria menyertai cabaran ini daripada keseluruhan 150 peserta. InsyaAllah pada masa akan datang kita akan memanjangkan tempoh promosi dengan memperbaiki segala kelemahan untuk penganjuran akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata pihaknya berterima kasih dengan penganjuran cabaran aktiviti lasak itu kerana komited membantu Tourism Perak bagi mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017 pada tahun hadapan.
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages