KAK JUE BLOG'S

Ketam Nipah Mampu Jadi Penawar Denggi Dan Kanser

ketam nipah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati ketam bakau atau nama saintifiknya ‘Scylla Olivacca’ mampu menjadi penawar kepada penyakit demam denggi.

Hasil kajian sekumpulan penyelidik Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP), UMT itu mendapati beberapa hasil kajian makmal dengan jelas menunjukkan ketam bakau berpotensi menjadi ubat kepada penyakit berkenaan menerusi ekstrak partikel nano perak yang terdapat dalam darahnya.

Pengarah AKUATROP, Prof Emeritus Dr Mohd Azmi Ambak, berkata kajian itu baru dijalankan kira-kira setahun dan beberapa bukti penting ditemui bagi menyokong hasil kajian.

Beliau berkata, kajian mendapati, partikel nano perak dalam darah ketam bakau adalah bahan yang mampu menjadi ubat kepada penyakit denggi dan kanser luaran seperti kanser payudara yang menjadi pembunuh utama wanita di dunia.

Katanya, di dalam ketam bakau terdapat beberapa partikel nano dan antaranya ialah perak (silver) yang berunsur toksik, tetapi selepas menjalani proses biosintesis, ia akan menjadi ubat yang mampu merawat penyakit denggi dan kanser.

“Bagaimanapun, kajian ini masih di peringkat awal dan kita perlu melalui proses panjang termasuk ujian klinikal yang lebih terperinci sebelum mampu mengeluarkan ubat yang boleh digunakan oleh manusia sejagat.

“Selain khidmat penyelidik UMT, kita juga mempunyai kepakaran saintis dari Kanada yang bekerja secara kontrak di sini dan mungkin akan bekerjasama dengan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi menjalankan kajian lanjut mengenai penemuan ini,” katanya selepas Bengkel Akuakultur Ketam Portunid dan Perikanan Berdaya tahan Antarabangsa 2016, di sini, hari ini.

Bengkel dua hari yang menghimpunkan seramai 100 peserta terdiri daripada penyelidik tujuh negara dalam bidang akuakultur itu dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Ainie Mokhtar.

Selain berpotensi menjadi penawar kepada kanser dan denggi, ketam bakau juga boleh digunakan untuk merawat penyakit udang di kolam ternakan yang sering mengakibatkan kerugian besar kepada penternak secara komersial.

“Kita sudah jalankan ujian makmal terhadap udang segar dan sakit yang diambil dari kolam dan selepas diberi makanan yang mengandungi bahan ini (ekstrak darah ketam bakau), kita dapati ia mampu merawat penyakit berkenaan,” katanya
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages