Home »
» Persediaan Penting Sebelum Aktiviti Kecergasan Di Gimnasium
Persediaan Penting Sebelum Aktiviti Kecergasan Di Gimnasium
Menyertai aktiviti kecergasan di gimnasium sudah menjadi satu trend bagi masyarakat hari ini, tetapi sebelum melakukan aktiviti itu, individu terlibat perlu mengambil beberapa langkah bagi memastikan senaman yang dijalankan sesuai dengan mereka.
Antara langkah awal yang perlu dilakukan sebelum melakukan senaman adalah menyatakan maklumat berkaitan kesihatan mereka kepada jurulatih kecergasan.
Bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Anuar Suun berkata adalah penting untuk memaklumkan keadaan kesihatan kepada jurulatih, dan ubat-ubatan yang diambil jika individu itu berpenyakit.
"Ini penting untuk memastikan kesihatan dan keselamatan individu itu terjamin dan terjaga," katanya kepada Bernama.
Katanya individu berkenaan juga sebaiknya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai aktiviti di mana-mana gimnasium.
Beliau berkata penyelia atau jurulatih kecergasan juga perlulah individu yang bertauliah atau sekurang-kurangnya mempunyai latar belakang sains sukan.
TUJUAN KE GIMNASIUM
Anuar berkata individu yang mahu menyertai aktiviti gimnasium juga perlu ada matlamat mereka, sama ada ingin menguruskan badan, mencantikkan badan atau membina badan mahupun menjaga kesihatan.
"Jangan jadi 'pak turut', ramai yang hanya terikut-ikut aktiviti kawan-kawan," katanya.
Setiap individu akan menjalani cara senaman yang berbeza mengikut matlamat dan keadaan kesihatan serta fizikal mereka, dan sehubungan itu, mereka harus memahami jenis senaman serta peralatan yang digunakan, agar tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan.
Anuar berkata latihan di gimnasium mempunyai asas dan panduan tertentu, justeru prinsip latihan perlu difahami sebelum melakukan sebarang senaman terutamanya apabila melibatkan peralatan yang jarang digunakan umum.
"Terlebih latihan atau salah pendekatan, malah salah peralatan atau pergerakan ketika latihan juga boleh mendatangkan kesan buruk, misalnya kecederaan otot atau ligamen," katanya.
Beliau menegaskan bahawa aspek-aspek keselamatan di gimnasium adalah perkara penting yang patut diketahui sebelum melakukan latihan kecergasan.
BERAT BADAN UNGGUL
Dalam keghairahan masyarakat memilih gimnasium sebagai tempat menjalankan aktiviti kecergasan, Anuar yang pernah menjadi Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata aktiviti kecergasan seperti di gimnasium bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk gaya hidup sihat dan aktif.
Katanya terdapat cara lain untuk kekal cergas seperti mengamalkan gabungan pemakanan sihat, mampu menangani tekanan hidup, sentiasa berwaspada dalam mengambil ubat-ubatan serta mengekalkan berat badan unggul agar dapat menjamin kesihatan yang baik.
Bagi jurulatih gimnasium muslimah di Kuantan, Pahang, Nor Marini Abdul Samad, 37, golongan wanita yang meningkat usia digalakkan untuk ke gimnasium bagi mengelakkan penyakit tulang rapuh atau bongkok sebelum masanya.
Beliau berkata latihan di gimnasium tidak sama seperti berjoging atau berlari kerana dengan latihan kecergasan di gimnasium lebih mudah mendapat keadaan tubuh badan yang diimpikan.
"Banyak peralatan di gimnasium yang boleh digunakan untuk membina otot atau membuang lemak tubuh, tetapi latihan hendaklah dilakukan dengan bimbingan jurulatih bagi mengelakkan risiko kecederaan. Malangnya tidak semua gim menyediakan jurulatih," katanya, sambil menambah gimnasium miliknya turut menyediakan khidmat jurulatih.
"Saya tidak suka orang yang datang ke gim lakukan latihan sesuka hati, contohnya jika mahu membuat latihan, perlulah dimulakan dari bawah iaitu dari kaki berperingkat-peringkat hingga kepala bagi mengelakkan kesakitan otot yang boleh memberi kesan jangka panjang," katanya.
HORMON WANITA BERBEZA
Nor Marini yang lebih mesra dengan panggilan Rini menafikan kononnya wanita yang menyertai aktiviti di gimnasium akan mempunyai tubuh berotot.
"Wanita dan lelaki mempunyai hormon berbeza, sebaliknya wanita yang kerap ke gimnasium akan kelihatan langsing dan dapat membuang lemak dengan lebih berkesan," katanya.
Selain itu, katanya latihan kecergasan di gimnasium amat sesuai untuk wanita mengandung bagi memastikan mereka tidak berasa lemah, malah lebih bertenaga.
Bagaimanapun, Nor Marini berkata wanita mengandung perlu mendapatkan nasihat dan kebenaran doktor sebelum melakukan latihan di gimnasium.
"Mereka tidak perlu lakukan latihan yang berat-berat" katanya.
Katanya wanita yang tidak mengandung dan mengambil makanan tambahan (protein) pula perlu 'work out' lebih bagi memastikan protein tidak memberi kesan kepada otot sehingga menyebabkan kegemukan.
"Saya selalu nasihatkan wanita supaya kuruskan badan terlebih dahulu sebelum mengamalkan pengambilan protein (makanan tambahan)," katanya.
Bosan dipanggil 'si kurus', Muhamad Fauzi Muhamad Yusof, 27, tekad untuk melakukan latihan kecergasan semata-mata ingin kelihatan lebih yakin.
"Mulanya saya belajar di Youtube, kemudian minta tolong kawan-kawan yang pakar dalam senaman di gim," katanya yang bertugas sebagai jurugambar di media dalam talian.
Selain bersenam di gimnasium, beliau juga mengamalkan pemakanan sihat serta makanan bernutrisi tinggi kerana ingin membina badan.
CANTIK DAN 'SADO'
Sementara itu, seorang guru wanita Helmi Fazlin Baharim, 40, pula percaya dengan menyertai aktiviti di gimnasium, beliau dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan dengan lebih efektif berbanding aerobik mahupun joging.
Beliau berkata ramai wanita ingin menurunkan berat badan namun tidak tahu teknik dan cara yang betul untuk mendapatkan berat badan unggul.
"Masa saya gemuk dahulu..saya selalu berjoging tetapi badan tidak begitu cantik dan tak 'fit'. Setiap wanita ingin cantik dan sihat jadi dengan latihan kecergasan di gimnasium kita akan dapat apa yang diharapkan," katanya yang berjaya menurunkan berat badan yang dahulunya 80kg kepada kini 56kg.
Bagi seorang wartawan penyiaran Khairul Rizuan Azizan, 28, latihan konsisten dan komitmen amat penting untuk mendapatkan 'tubuh idaman'.
Walaupun berpendapat bahawa bersenam di gimnasium tidak banyak perbezaan dengan senaman lain, Khairul Rizuan berkata latihan di gimnasium banyak memberi tumpuan kepada pergerakan dan pembinaan otot.
"Tanyalah mana-mana lelaki semua mahu tubuh badan tegap dan 'sado', tetapi ramai tidak mahu korbankan masa apatah lagi wang. Tidak semua gim mengenakan yuran mahal. Ada yang yurannya hanya kira-kira RM70 hingga RM80, bergantung kepada keadaan dan peralatan yang disediakan.
"Jika suatu masa dahulu amat sukar untuk mendapatkan kemudahan gim terutamanya di kawasan luar bandar, tetapi kini gim terdapat di merata tempat. Cuma bergantung pada individu itu sama ada rajin atau malas," katanya.
Justeru, tidak ada alasan untuk tidak bersenam dan kesedaran masyarakat dalam menjaga kesihatan amat penting terutamanya apabila usia meningkat demi kehidupan yang sihat dan aktif.
No comments:
Post a Comment