KAK JUE BLOG'S

Kanser Bukanlah 'Hukuman Mati'




Ramai beranggapan, bahawa kehidupan seseorang itu tidak akan ada 'makna atau erti' lagi apabila didiagnos dengan penyakit paling digeruni masyarakat, iaitu kanser.

Tidak kiralah, apa jenis kanser sekalipun sama ada payudara, paru-paru, mulut mahupun barah rahim, ia seringkali dilihat sebagai penyakit yang sudah tidak ada harapan lagi untuk sembuh.

Dikaitkan dengan 'kematian' kerana tidak akan hidup lama, kanser cepat merebak dan sukar diubati, pelbagai andaian yang belum dikenalpasti kesahihannya menular dalam pemikiran masyarakat mengenai penyakit itu.

Akan tetapi, hal yang sama tidak pula berlaku bagi wanita yang bernama Wan Yusmini Wan Yusoff ini. Disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2013, ibu kepada empat anak ini teguh dengan pendirian bahawa penyakit digeruni ramai ini bukanlah satu 'hukuman mati'.

Tetapi, ia adalah satu 'permulaan kehidupan' untuk lebih menikmati dan menghargai setiap peluang yang ada agar lebih baik daripada sebelum ini.

BUKAN PENAMAT

"Apa yang berlaku ini, adalah salah faham masyarakat kerana kurang pengetahuan mengenai penyakit tersebut. Saya juga, sewaktu pertama kali diberitahu doktor mengenai kanser, sama seperti mereka.

"Saya ingat sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup. Sedih, menangis, bimbang memikirkan keadaan diri dan nasib anak-anak. Tetapi, setelah mendapat banyak maklumat mengenainya, lama-kelamaan saya reda dan sedar bahawa penyakit ini menyedarkan saya banyak perkara," katanya.

Menurut suri rumah sepenuh masa ini, ramai saudara dan rakannya beranggapan kanser adalah penamat kehidupan, sudah tidak ada harapan lagi untuk menikmati kebahagiaan.

Apatah lagi, sekiranya diberitahu seseorang itu menghidap kanser tahap kritikal atau akhir. Tidak dinafikan, bahawa masyarakat sering dipaparkan mengenai bahaya penyakit ini sekiranya tidak dirawat awal.

Tetapi, ia bukanlah bermakna mereka yang telah disahkan menghidap penyakit kanser tahap tiga dan empat, perlu berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan seterusnya kalah sebelum berlawan dengan penyakit tersebut.

Ini kerana, masih ada pesakit kanser tahap kritikal yang masih aktif dan menjalani kehidupan seperti orang normal.

LEBIH POSITIF

Menceritakan lebih lanjut, suri rumah sepenuh masa ini berkata 'kanser' telah mengubah gaya hidupnya menjadi lebih bersemangat, meniktikberatkan soal kesihatan dan mengamalkan pemakanan sihat.

"Saudara-mara terkejut melihat saya kini lebih aktif bersukan berbanding dahulu. Malah, ramai tidak percaya bahawa saya penghidap kanser dan pernah mengalami tiga kali pembedahan termasuklah membuang payudara sebelah kanan (mastektomi) kerana saya lebih kuat dan aktif daripada mereka," katanya.

Bagaimanapun, Wan Yusmini tidak menafikan bahawa penyakit ini juga kadang-kadang membuatkannya rasa tertekan selain lemah disebabkan oleh rawatan susulan seperti kemoterapi dan kesan kanser itu sendiri.

Akan tetapi, sokongan berterusan daripada keluarga, saudara-mara, doktor, rakan-rakan dan doa yang berterusan kepada Tuhan telah banyak membantu meningkatkan semangatnya untuk melawan penyakit itu.

"Emosi sebagai pesakit kanser memang selalu diuji. Apatah lagi, dengan pelbagai rawatan yang perlu ditempuhi dan semangat saya pernah hampir goyah apabila diberitahu kanser telah merebak.

"Bagaimanapun, selepas menyertai 'Candy Girls', kumpulan yang diasaskan bagi membantu menaikkan semangat pesakit kanser, saya mula positif dan tidak ada masa lagi untuk bersedih.

"Malah, saya lebih seronok dengan kehidupan sekarang kerana dipenuhi aktiviti berfaedah berbanding dahulu yang hanya pergi kerja, balik kerja sahaja. (sebelum ini pernah bekerja sebagai kakitangan swasta)," katanya.

Bersyukur kerana diperkenalkan kepada kumpulan tersebut, jadual harian wanita ini pada hari Sabtu telah diisi dengan pelbagai kegiatan kecergasan seperti bersenam dan menari zumba.

"CANDY GIRLS"

Dianggotai seramai 20 bekas pesakit kanser berumur lingkungan 44 hingga 68 tahun, Candy Girls ditubuhkan pada 2010 dan diasaskan oleh Yip Siew Fune yang berazam untuk membantu pesakit barah menerusi aktiviti kecergasan dan tarian.

Semuanya bermula, apabila wanita berusia 53 tahun ini disahkan menghidap kanser pada 2008 dan beliau menjadikan tarian sebagai satu rawatan terapi minda serta fizikal untuk melawan penyakit tersebut.

Bagi pekerja swasta ini, tarian sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya. Malah, beliau juga adalah seorang penari latin selama lebih 10 tahun.

Bagaimanapun, minatnya itu terpaksa diketepikan sementara waktu semasa menjalani rawatan kanser. Sebagai seorang yang aktif sebelum ini, keadaan itu membuatkan wanita ini berasa tertekan kerana tidak melakukan apa-apa aktiviti.

Jadi, ibu kepada dua anak ini nekad untuk kembali aktif dengan bersenam dan menari tarian yang mudah selepas beberapa bulan menjalani rawatan.

Melihat bagaimana tarian telah membantunya mendapat keselesaan dan kekuatan sepanjang rawatan, beliau komited untuk mengajak pesakit lain turut serta.

"Peluang itu muncul dalam bentuk program penyelidikan Universiti Malaya (UM) untuk mencari hubungan antara aktiviti fizikal dan risiko kanser payudara. Saya diminta mengendalikan sesi senaman untuk kira-kira 70 bekas pesakit kanser payudara.

"Selepas penyelidikan itu selesai, segelintir peserta mahu meneruskan senaman untuk menjaga kecergasan dan pada 2010 lahirlah Candy Girls di bawah naungan Pusat Sumber Kanser Payudara, Pusat Perubatan UM (PPUM)," katanya.

Selain itu, terdapat penyelidikan yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan aktiviti fizikal dapat menurunkan risiko kanser payudara berulang sebanyak 20 hingga 80 peratus.

"Oleh itu, kami mahu menggalakkan kegiatan menari sebagai senaman menjaga kecergasan untuk 'survivor' pesakit kanser payudara dengan menggalakkan mereka melakukan aktiviti fizikal secara tetap," katanya.

TARIAN TERAPI ALTERNATIF

Biarpun ahli dalam kumpulan ini bukanlah terdiri daripada golongan orang muda, namun Candy Girls adalah lambang kecergasan dan kesihatan melalui tarian rancak dan senyuman yang diberikan.

Mereka bangkit dan menguatkan semangat dalam menghadapi kanser yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan sendiri malah menyumbang kesan besar kepada keluarga.

"Manis, merah jambu dan melekit, itulah gambaran yang akan terlintas dalam fikiran bila kita fikirkan tentang 'candy'. Begitulah keadan kami, kami mahu bersifat pemanis dan penyayang bila menghulurkan tangan kepada bekas pesakit lain," katanya.

Bermula dengan tarian mudah, kumpulan ini telah memilih zumba sebagai sesi senaman tetap Candy Girls pada setiap hari Sabtu, jam 9.30 pagi di Centre Point, Fakulti Perubatan, UM.

Selain itu, mereka juga aktif menyertai mana-mana program berkaitan kanser dan sering dijemput untuk membuat persembahan. Pada tahun lepas sahaja, Candy Girls telah menyertai dan menganjurkan hampir 40 acara di seluruh Malaysia.

Ini, termasuklah majlis keramaian, ceramah, program penyelidikan, kem bina semangat, larian dan acara kembara.

SAAT MENGGEMBIRAKAN

Ketika ditanya apakah perkembangan kumpulan yang paling mengembirakannya, Yip berkata perkembangan dan transformasi drastik yang ditunjukkan oleh ahli Candy Girls adalah sangat membanggakan.

"Sungguhpun ramai yang terpaksa belajar menari dari peringkat bawah, dengan kesabaran dan galakan, mereka bukan sahaja telah menguasai gerak tari tetapi juga menjadi lebih berani dan terbuka.

"Menari telah mengembalikan harga diri mereka dan keseronokan untuk hidup," katanya sambil menambah ahli Candy Girls terdiri daripada pelbagai kaum dengan latar belakang dan personaliti yang berbeza tetapi berjaya digabungkan untuk tujuan murni.
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages