KAK JUE BLOG'S

Kajian Holistik Perlu Dalam Memerangi Dadah



Satu kajian holistik perlu dilakukan dalam usaha mendidik masyarakat umum mengenai bahana penyalahgunaan najis dadah terutamanya yang melibatkan pelajar sekolah, kata Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan. Beliau berkata kajian itu hendaklah mengenal pasti punca pelbagai masalah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seterusnya merangka rancangan terperinci untuk membanteras gejala najis dadah yang berlarutan selama ini. "(Pihak berkuasa) hendaklah melihat semula langkah-langkah yang diambil sebelum ini sama ada berjaya atau gagal, dikaji dan ditambah baik. "Seharusnya usaha membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh. Semua pihak harus melihat usaha memerangi dadah sebagai agenda utama kerana hakikatnya dadah itu musuh nombor satu negara," kata beliau. Mengakui agak terkilan dengan kegagalan pelbagai usaha dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah, beliau berkata sikap sesetengah masyarakat yang tidak ambil peduli dan tidak sama-sama membantu mengekang menularnya pengaruh dadah, seolah-olah 'menerima' najis itu sebagai suatu yang biasa. Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini menunjukkan dalam tempoh setahun antara 2014 hingga 2015, seramai 26,660 penagih baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan penagih dadah berdaftar pada masa ini 282,660. Dilaporkan 73.4 peratus daripada penagih itu terdiri daripada kumpulan umur 18 dan 39 tahun, dengan penagih paling muda dilaporkan pada 2014 berumur 13 tahun, manakala pada tahun lalu pula berumur tujuh tahun. 



TINDAKAN BERSEPADU Mohamad Ali berkata masalah berkaitan dadah tidak boleh dipandang ringan dan tindakan bersepadu serta kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam membendung sekali gus membanteras penyalahgunaan dadah. Katanya 'serangan' bagi membanteras najis dadah yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu peringatan kepada segenap lapisan masyarakat bahawa mereka tidak boleh bersikap stereotaip dan meletakkan tanggungjawab menanganinya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK sahaja. Baru-baru ini, Zahid mengisytiharkan 2016 sebagai Tahun Memerangi Dadah secara besar-besaran buat semua agensi yang berkaitan seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), PDRM dan AADK. "Sebagai warganegara, kita hendaklah bertanggungjawab dan prihatin terhadap masalah ini demi memastikan gejala penyalahgunaan dadah tidak terus menular," katanya. Mohamad Ali juga menegaskan agar pihak sekolah mengadakan kerjasama lebih efektif bersama AADK, Pemadam, PDRM dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan pemeriksaan dan kempen antidadah bersama pelajar-pelajar sekolah. "Kerjasama ini memang wujud, namun ceramah, pameran dan forum hendaklah dibuat dengan lebih kerap dari semasa ke semasa bagi memberi penerangan dan menjalankan pelbagai aktiviti memberi kesedaran dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia," katanya. Selain itu, ujian air kencing perlu dijalankan ke atas setiap pelajar di sekolah-sekolah dengan kerjasama PDRM, AADK dan Pemadam. 



PERANAN IBU BAPA Dalam pada itu, beliau berkata bahawa ibu bapa boleh memainkan peranan penting dengan menjadi 'rakan karib' kepada anak masing-masing agar lebih mudah memantau perlakuan dan pergerakan anak-anak itu. Mohamad Ali berkata kecenderungan remaja untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah mudah berlaku berikutan kegagalan ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak lantas mereka memilih rakan sebaya untuk berkongsi suka duka dan pelbagai masalahnya. "Ibu bapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak berkawan kerana jika tersalah memilih kawan, boleh menyebabkan anak itu terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat termasuk penyalahgunaan dadah. "Masalah dadah bukan perkara baharu, maka kita hendaklah berhabis-habisan memeranginya agar tidak terus merosakkan anak-anak kita demi melahirkan generasi masa depan yang sihat," katanya. Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr Haslina Muhamad berkata pendedahan awal mengenai keburukan dadah perlu diberikan kepada para pelajar agar mereka tidak mudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Beliau berkata penglibatan golongan remaja dalam masalah dadah hanya akan menyebabkan negara kehilangan produktiviti dan tenaga kerja dalam menjana pendapatan negara. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja dan terlalu sibuk dengan rutin harian sehingga menyebabkan anak-anak mudah terdedah dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah. Haslina menegaskan amat penting bagi setiap anak-anak diberi didikan agama dan kajian menunjukkan bahawa agama merupakan antara faktor pelindung (protective factor) yang dapat mencegah seseorang itu daripada terjebak dengan najis dadah. 



FAKTOR-FAKTOR PENDORONG Mengenai faktor-faktor lain yang menyebabkan individu terjebak penyalahgunaan dadah, beliau berkata masalah tekanan hidup, pengaruh rakan sebaya dan sifat ingin mencuba adalah antara pendorong seseorang itu mengambil dadah. Mengulas lanjut, Haslina berkata golongan remaja, yang lazimnya naif dan tidak matang, amat mudah mempercayai rakan-rakan sebaya berbanding ibu bapa atau ahli keluarganya. "Bagaimanapun tidak semua remaja yang mencuba dadah akan menjadi penagih kerana ada di antara mereka yang berhenti kerana sedar akan keburukan dadah. Masalahnya adalah mereka yang tidak mahu berhenti menggunakan dadah walaupun tahu kesan buruknya," katanya. Haslina menjelaskan bahawa pengambilan dadah dalam tempoh singkat akan memberi kesan psikologi kepada seseorang individu, apatah lagi jika menggunakannya untuk jangka masa panjang. Semakin lama seseorang itu terlibat dengan dadah semakin tinggi dos yang diperlukan untuk membuatkannya khayal (high). Antara kesan psikologi yang paling ketara dan kerap berlaku di kalangan penagih dadah adalah kemurungan dan keresahan. "Jika seorang penagih tidak mencapai tahap 'high' (khayal) yang diingininya, dia akan menjadi tertekan. Kajian menunjukkan semakin tertekan seseorang itu semakin lama dia akan bergantung kepada dadah," katanya. Haslina berkata ada segelintir individu percaya bahawa dengan mengambil dadah mereka dapat melupakan masalah atau tekanan biarpun untuk seketika sedangkan pada hakikatnya pengambilan dadah bukanlah penyelesaian tetapi membinasakan diri sendiri. "Seseorang itu harus bijak membuat keputusan dan tidak memilih jalan mudah dengan mengambil dadah kerana ia hanya memudaratkan kesihatan dan merosakkan masa depan," katanya. 

- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages