Kita menghampiri bulan April 2016 dan adalah hampir mustahil untuk seorang individu di dunia moden hari ini i untuk melarikan diri dari menggunakan media sosial. Jika dahulu pilihan hanya terhad kepada Facebook, Friendster dan Instagram, kini terdapat puluhan aplikasi media sosial baru yang akan membuatkan anda sentiasa melekap pada skrin peranti anda. Sebuah kajian baru oleh Dr Brian Primack, pengarah Pitt’s Centre for Research on Media, Technology and Health menemui hubungan rapat masalah kemurungan dengan penggunaan media sosial.
Sebanyak 1787 individu berumur di antara 19-32 tahun mengambil bahagian di dalam kajian beliau. Mereka yang menghabiskan lebih dari 61 minit sehari dan mengikuti 30 akaun media sosial adalah 2.7 kali ganda lebih berisiko untuk mengalami kemurungan. Dr Primark merasakan perhubungan ini berlaku kerana wujudnya fenomena “kemurungan Facebook”. Mereka yang melayari laman media sosial nombor satu dunia ini sering melihat status dan gambar dari rakan yang menunjukkan kegembiraan dan kemewahan diri mereka. Akibatnya pembaca akan menjadi murung kerana gagal untuk mencapai tahap kehidupan setanding dengan rakan-rakan mereka ini.
Pada waktu yang sama media sosial mengakibatkan pengguna menjadi semakin tidak bergaul dengan orang ramai menyebabkan mereka tidak berbincang tentang apa yang menyebabkan mereka murung. Status media sosial kerap hanya mahu menunjukkan kegembiraan yang mungkin sebenarnya hanyalah ilusi semata-mata. Ironi di sini ialah, status kegembiraan palsu oleh insan murung ini akan menyebabkan kemurungan pada individu lain dan roda kemurungan membuat pusingan lengkap.
Sejak kebelakangan ini semakin banyak berita remaja membunuh diri kerana kemurungan. Ini bukanlah masalah yang serius 10 tahun yang lalu. Jelas sekali penggunaan media sosial ini harus dikurangkan oleh setiap individu dan dipantau oleh ibu bapa bagi memastikan kesihatan anak mereka terjaga.
Kami secara peribadi tidak lagi menggunakan Facebook untuk tujuan peribadi dan menghadkannya untuk tujuan pekerjaan sahaja. Tiada lagi artikel viral menyebabkan kemarahan perlu kami tatal di susur masa, tiada lagi gambar percutian selebriti yang menimbulkan kebencian perlu dilihat dan tidak wujud sikap ujub apabila melihat kesengsaraan yang menimpa individu yang kurang disenangi. Jika anda mahu mengelakkan kemurungan, kurangkanlah kepergantungan anda pada media sosial hari ini.
No comments:
Post a Comment