Kembara Kebajikan 1Malaysia yang kini memasuki tahun ketiga akan memberi tumpuan kepada dua program iaitu Gema Kasih@Komuniti serta Cari dan Bantu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kedua-dua program itu merupakan antara pengisian kembara kali ini sebagai inisiatif kementerian mempelbagaikan aktiviti kebajikan melalui pendekatan pendampingan sosial.
Katanya Kembara Kebajikan 1Malaysia yang bermula esok di Lundu, Sarawak dan berakhir di Bagan Datoh, Perak pada 9 April, dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gema Kasih@Komuniti adalah program berkonsepkan karnival perkhidmatan secara pusat sehenti untuk kemudahan rakyat khususnya di kawasan pedalaman.
"Kami mahu beri pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai peranan serta program kami selain meningkatkan penglibatan pemimpin masyarakat, sukarelawan dan sektor swasta dalam memberi perkhidmatan kepada golongan sasar," katanya.
Rohani berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV membincangkan topik 'Semai Semangat Sukarelawan', di sini baru-baru ini.
Katanya antara pengisian program Gema Kasih@Komuniti adalah pendaftaran orang kelainan upaya (OKU), gotong royong perdana, mempromosi serta mendaftar sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan rawatan kesihatan percuma.
Mengenai program Cari dan Bantu, beliau berkata ia bertujuan mencari dan mengenal pasti rakyat yang layak menerima bantuan serta perkhidmatan JKM selain memastikan golongan berkenaan tidak tercicir.
Sebagai contoh katanya, mungkin masih ramai keluarga miskin tidak mendapat bantuan kewangan, OKU tidak berdaftar, kanak-kanak tidak bersekolah, Taska tidak berdaftar serta pelbagai isu sosial dan kebajikan yang boleh dibantu.
"Antara perkhidmatan program Cari dan Bantu adalah Jejak Prisma (Psikologi Rakyat 1Malaysia), khidmat sukarelawan serta khidmat bantu di rumah," katanya.
Rohani berkata Kembara Kebajikan 1Malaysia akan disertai lebih 100 sukarelawan sepanjang program jelajah di 20 lokasi antaranya Kompleks Penyayang Sri Aman, Sarawak; Dewan Kg Darau, Sepanggar, Sabah; Dewan Jubli Perak, Rompin, Pahang dan Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis. - Bernama
No comments:
Post a Comment