Pada masa sama, kita menyaksikan penghasilan banyak produk berasaskan perubatan Islam. Sebagai strategi melariskan jualan, produk berkenaan dilabel dengan perkataan seperti dibacakan 30 juzuk al-Quran, dibaca ayat Ruqyah selain disebut sebagai makanan sunah.
Pelabelan sebegini menarik perhatian umum dan mendapat permintaan, terutama dalam kalangan mereka yang diuji Allah SWT dengan penyakit tertentu dan ada pula berpendapat ia adalah yang terbaik.
Ini ditambah dengan testimoni mereka yang dikatakan sembuh kerana menggunakan produk berkenaan. Ruqyah secara terminologi adalah satu bentuk perlindungan, diguna bagi melindungi mereka yang terkena penyakit, juga ayat al-Quran yang dibacakan terhadap mereka disebabkan pelbagai penyakit dengan mengharap kesembuhan.
Secara etimologi syariat, ruqyah adalah doa dan bacaan yang mengandungi permintaan pertolongan dan perlindungan kepada Allah SWT untuk mencegah atau menghindarkan bala dan penyakit.
Justeru, kita melihat larangan penggunaan terma ayat ruqyah dan makanan sunah bagi tujuan pelabelan dan promosi dikeluarkan oleh JAKIM kepada syarikat dan pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia ada kewajarannya.
Kita tidak mahu penggunaan terma berkenaan membuatkan masyarakat Islam terkeliru dan begitu meyakini produk berkenaan sebagai terbaik sedangkan ia adalah ikhtiar dan yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Selain itu, jika dilihat dalam kalangan masyarakat Islam pada masa ini, ada yang terlalu percaya dengan promosi pelabelan sebegini.
Dalam perkara ini, kita juga bersetuju dengan pandangan mereka yang arif dalam soal agama yang melihat pelabelan sebegini boleh membuka pintu fitnah terhadap al-Quran, terutama apabila al-Quran dibacakan pada air minuman juga pelbagai bahan lain yang dikata memberi nilai tambah menyebabkan harga barangan berkenaan dinaikkan sedangkan al-Quran bukan untuk tujuan komersial.
Kita juga bimbang pelabelan ini menyebabkan ada yang mungkin menghina al-Quran apabila kesembuhan yang diharap tidak menjadi kenyataan. Apa ditakuti juga pelabelan sebegini membuatkan ada golongan tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah mengusahakan produk dengan bacaan menggunakan pita rakaman.
Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-108 yang bersidang November lalu yang membincangkan Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat al-Quran) Untuk Tujuan Komersial, menggesa perbuatan itu ditangani supaya istilah berkenaan tidak difahami masyarakat dalam konteks tidak tepat dan disalah guna sehingga menggugat akidah, sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment