KAK JUE BLOG'S

Sains dari perspektif Islam - ULASAN BUKU



BUKU ini ditulis oleh pakar dalam bidang fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman. 

Dalam buku yang mempunyai sembilan bab dengan format soal jawab ini, penulis mengulas pelbagai isu yang sering ditanya orang ramai termasuk yang ada hubung kait antara sains dan Islam.

Beliau menyentuh kecenderungan saintis Muslim untuk memberikan penerangan saintifik mengenai manfaat ibadah yang dilakukan oleh umat Islam. Misalnya, puasa dikatakan dapat menyihatkan badan. 

Tegas beliau, keghairahan berkenaan janganlah sehingga menyebabkan seseorang itu lupa bahawa berpuasa adalah ibadah yang termasuk dalam Rukun Islam.

Matlamat utama berpuasa adalah untuk meningkatkan darjah ketakwaan (ketaatan) kepada Allah SWT, bukannya meningkatkan tahap kesihatan seseorang, walaupun mungkin orang yang berpuasa itu akan lebih sihat tubuhnya.

Turut diulas adalah kecenderungan sesetengah pihak untuk memberikan hujah saintifik bagi menyokong peristiwa Israk dan Mikraj iaitu perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilharam menuju Masjid al-Aqsa dan kemudiannya ke Sidratul Muntaha. 

Menurut beliau, sains tidak mungkin dapat menjelaskan peristiwa berkenaan. Kalau boleh diterangkan secara logik akal, pastinya peristiwa tersebut tidak hebat! Sedangkan Israk dan Mikraj adalah mukjizat iaitu kejadian luar biasa bagi membuktikan kebenaran kerasulan baginda. 

Penulis turut menyorot serba sedikit mengenai sejarah perkembangan sains termasuk sumbangan yang diberikan oleh saintis Islam. Beliau mendedahkan pembohongan Barat yang mendakwa saintis mereka telah membuat pelbagai penemuan sains baharu sedangkan perkara itu telah terlebih dahulu ditemui oleh sarjana Islam. 

Misalnya, hukum graviti tidak ditemui oleh Isaac Newton yang hidup dari 1608 hingga 1647 sebaliknya perkara itu diketahui lebih awal oleh manusia menerusi penemuan oleh Al-Khazin (900-971). 

Penulis juga menyentuh mengenai sikap manusia yang menggunakan pengetahuan sains dan teknologi bukan untuk kebaikan keseluruhan masyarakat. 

Buktinya walaupun manusia berjaya mendarat di planet yang jauh dengan bantuan sains dan teknologi, tetapi mereka gagal mengawal asap yang keluar daripada kenderaan yang menyebabkan berlaku pencemaran udara. 

Di samping itu, ketika manusia bercita-cita besar untuk mewujudkan masyarakat utopia (ideal) dengan menggunakan sains dan teknologi sebagai panduan, mereka gagal mendidik anak-anak untuk menghormati ibu bapa. 

Sehubungan itu, penulis menegaskan mengenai perlunya satu usaha dilakukan bagi memastikan perkembangan sains dan teknologi lebih harmoni dengan alam tabii dan pada masa sama mendapat keredaan Allah SWT. 

Usaha itu boleh dilakukan jika semua pihak memahami konsep sains tauhidik yang berteraskan kepada prinsip keesaan Allah SWT. 

Konsep ini menegaskan bahawa seseorang yang mempunyai kecerdasan intelek (IQ) yang tinggi atau kemampuan berfikir secara logik belum tentu akan menjadi manusia yang cemerlang dalam hidupnya. 

IQ hanya menyumbang 20 peratus sahaja kepada kejayaan hidup seseorang manakala selebihnya disumbang oleh faktor-faktor lain termasuk kecerdasan emosi (EQ). 

Sebab itu, sahabat baginda, Sayidina Ali pernah menyebut, anak kecil sewaktu di awal mengenal alam ini, perlu diberikan kasih sayang sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa serta saudara mara yang terdekat sebelum dia mengenali yang lain-lainnya. 

Anak kecil perlu ditambat dengan EQ melalui kaedah diberikan kasih sayang tanpa syarat sebelum dia boleh berfikir secara rasional bagaimana untuk berinteraksi dengan alam. 

Hal ini disebabkan minda rasional yang terbangun kemudiannya boleh dikawal oleh minda emosi yang telah dididik pada peringkat awal pertumbuhan diri seseorang itu. 

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kejayaan hidup seseorang itu ialah kecerdasan spiritual (SQ) yang merujuk kepada usaha manusia mewujudkan peraturan tertentu yang difikirkan boleh membawa kebaikan yang perlu dipatuhi semua orang. 

Bagi umat Islam pula, mereka perlu ada kecerdasan tambahan yang dikenali sebagai kecerdasan tauhidik (TQ). Ini bermaksud seseorang itu sentiasa memikirkan soal dosa dan pahala, halal dan haram serta sunat, makruh dan harus ketika berinteraksi dengan dirinya, sesama manusia dan alam sekeliling. 

Orang yang tinggi TQ amat teruja untuk melakukan perbuatan yang boleh membawa dirinya ke syurga dan dalam masa sama amat berhati-hati agar segala tindakannya tidak menyebabkan dirinya dimasukkan ke neraka. 

Individu yang berpegang kepada sains tauhidik akan terangkum dalam dirinya IQ, EQ, SQ dan TQ. 

Selamat membaca.


Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages