KAK JUE BLOG'S

SPRM Sasar 70 Peratus Sokongan Masyarakat Tahun Ini



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan peningkatan peratusan sokongan daripada masyarakat kepada 70 peratus menjelang akhir tahun ini berbanding 68 peratus tahun lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah berkata persepsi masyarakat terhadap SPRM setiap tahun semakin meningkat dan ia jelas dapat dilihat melalui kajian dalaman SPRM yang dijalankan setiap tahun.

"Hasil kajian tahun lepas mendapati sebanyak 68 peratus sokongan diberikan oleh masyarakat terhadap SPRM dan bagi tahun ini, kita ingin meningkatkan sokongan mereka sebanyak dua peratus lagi.

"SPRM sentiasa menjalankan tugas dengan telus dan penuh keadilan dalam menangani isu rasuah. Kita tidak akan membiarkan mana-mana pihak menghalang SPRM daripada menjalankan siasatan kerana masyarakat ingin mengetahui perkara yang sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di sini Sabtu.

Program itu dirasmikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Mohd Jamidan berkata masyarakat boleh membantu SPRM dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlakunya gejala rasuah supaya suruhanjaya itu dapat menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Kalau cukup maklumat, kita akan terus jalankan siasatan kerana itu kerja SPRM, jadi tidak timbul isu SPRM tidak menjalankan tugas. Sehingga kini, kita mempunyai lebih 2,000 pegawai yang telah dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran untuk menjalankan kerja siasatan," katanya.

Terdahulu, seramai 41 Pegawai Kadet Penguasa Gred P41 dan 47, Pegawai Kadet Penolong Penguasa Gred P29 tamat menjalani Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 18 dan 19 yang wajib dilalui setiap pegawai SPRM untuk lantikan baru.

"Kita harap semua pegawai yang telah tamat kursus hari ini akan menempuh cabaran sebagai pegawai SPRM dengan baik selain memberi perkhidmatan terbaik bagi meyakinkan masyarakat terhadap SPRM," katanya.


- BERNAMA

Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages