KAK JUE BLOG'S

Pengurusan Sisa Dan Peranan Besar PPSPPA


Pengurusan sisa di Malaysia sering menimbulkan masalah terutama sekali dalam soal pemungutan sampah.


Fikirkan apa yang akan berlaku jika lori sampah tidak datang seperti selalu?

Isu ini bukan sahaja perkara yang memeningkan kepala untuk warga kota tetapi juga di kawasan pedalaman.

Sama ada di kawasan bandar atau pedalaman, orang sibuk bercakap tentang pemungutan sampah tetapi tidak berminat untuk mendisiplinkan diri dalam soal membuang sampah dengan cara yang munasabah iaitu di dalam tong sampah.

Kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohammed mengambil pendekatan tegas dengan inisiatif rang undang-undang penswastaan Pengurusan Sisa Pepejal pada tahun 1993.

Ia hanya dilaksanakan pada bulan Ogos 2007, lewat 14 tahun. Itu pun tidak termasuk Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Sabah serta Sarawak.

Penjanaan sisa pepejal perbandaran (MSW) sejak 10 tahun lepas telah meningkat sebanyak 95 peratus akibat pembangunan pesat di kawasan bandar.

Penduduk di kawasan bandar menyumbang lebih 70 peratus kepada jumlah sisa tersebut.

Pada 1 Jun 2008, kerajaan menubuhkan agensi baru untuk pengurusan sisa pepejal dikenali sebagai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

Agensi ini bertanggungjawab dalam semua aspek pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Sehubungan itu, semua perkara ini dan yang berkaitan dipindahkan daripada pihak berkuasa tempatan kepada PPSPPA.

Agensi ini ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Peranan PPSPPA adalah menjamin pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menjadi lebih cekap selain memberi kepuasan kepada pengguna.

PPSPPA perlu memberi perhatian kepada isu-isu kritikal iaitu kesedaran, penguatkuasaan serta kaedah pengurangan sisa dan kitar semula.

Memang besar tugas mereka dan aspirasi Malaysia adalah untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Apakah kita bersedia dan yakin?

Ada beberapa unsur pendidikan yang kita kekurangan. Kita tidak nampak pengurusan sisa diamal atau diajar di sekolah. Tidak ada penerbitan baru mengenai alam sekitar atau pengurusan sisa di atas rak buku.

Tidak banyak rancangan dokumentari disiarkan di rangkaian televisyen untuk mengingatkan setiap peringkat masyarakat akan kepentingan pengurusan sisa.

Berapa ramai kanak-kanak sekolah dibawa untuk lawatan wajib ke tempat pelupusan sampah? Lawatan seumpama ini akan membolehkan kanak-kanak itu lebih memahami tentang isu sisa.

Pada masa ini, kita bolehlah digelar sebagai "masyarakat yang suka membuang."

Kebanyakan kita beranggapan dengan membuang sisa daripada dapur, stor, restoran, gerai penjaja, selesailah tugas kita.

Siapa tahu apa yang berlaku ke atas sisa yang kita jana dan buang?

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kerajaan membelanjakan sekitar RM2 juta sebulan untuk menguruskan sisa.

Bayangkan sekiranya kita boleh menggunakan dana tersebut untuk membina kompleks sukan atau pun padang bola sepak atau futsal.

Kita membazirkan 8,000 tan atau lapan juta kilo makanan sehari. Daripada jumlah keseluruhan sisa, 45 peratus adalah sisa makanan. Sebanyak 60 peratus sisa kita dipenuhi dengan air.

Ini kerana rakyat Malaysia makan semua makanan dengan kari atau sup.

Bayangkan semua kari dan sup ini bercampur baur dengan kertas, plastik, botol, tin serta pakaian?

Memang menjijikkan tetapi siapa peduli tentang hal ini?

Adakah ianya semata-mata tanggungjawab PPSPPA atau setiap rakyat Malaysia?

Pada bulan September 2014, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan melaksanakan pengasingan di rumah.

Setakat mana keberkesanannya? Guru sekolah saya yang mahu memberi sumbangan positif kepada alam sekitar menelefon saya lebih 10 kali, mengadu sisa yang beliau asingkan dalam tiga buah beg plastik dibuang dalam bekas yang sama.

Ini sudah tentu tidak memenuhi matlamat pengasingan sisa.

Jelas PPSPPA memikul tugas yang besar. Bukan mudah untuk menukar sikap rakyat Malaysia, apatah lagi dengan begitu ramainya orang asing di negara ini yang membawa cara hidup masing-masing.

Kawan saya yang tinggal di Mont Kiara bertanya kepada saya bagaimana cara untuk beliau pastikan kawasan kejiranan mewahnya itu bersih daripada sampah yang dibuang di merata tempat.

"Sampah merata-rata, siapa boleh tolong saya? " keluh beliau.

Memang banyak isu dan cabaran untuk diselesaikan.

Sehubungan itu, amat penting untuk PPSPPA memberi tumpuan kepada Kesedaran, Pendidikan, Penguatkuasaan serta Teknologi dalam menguruskan isu pengurusan sisa di negara ini.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment

Featured Posts

Most selected posts are waiting for you. Check this out

Followers

Stats

Archive

Labels

Blog Archive

Recent Posts

Pages