Purata pendapatan bulanan graduan yang baharu menamatkan pengajian, khususnya pemegang ijazah, hanya pada sekitar RM3,000 dan bagi pemegang diploma, jumlahnya adalah lebih rendah.
Dengan harga rumah semasa, yang meningkat, mustahil bagi graduan muda untuk memiliki rumah di Lembah Klang dan bandar-bandar utama lain.
Nilai rumah di kawasan tersebut adalah lebih 100 kali ganda pendapatan bulanan pemegang ijazah baharu.
Sehubungan itu, lebih ramai graduan memilih aset yang mempunyai susut nilai, termasuk kereta dan motosikal, untuk memenuhi keinginan mereka memiliki aset.
Profesor Madya Dr Mohd Eskandar Shah Mohd Rasid berkata trend ini tidak sihat untuk golongan graduan, terutamanya dari segi kewangan jangka panjang mereka.
Timbalan Dekan Pengajian Siswazah di Pusat Pendidikan dan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) itu berkata kerajaan sebagai pengawal selia, mungkin perlu mencari penyelesaian untuk membantu golongan graduan memiliki sesuatu yang akan membantu mereka meningkat dalam rantaian nilai.
Dengan hanya membeli aset yang mempunyai susut nilai, beliau berkata, mereka akan menghadapi kesukaran untuk meningkatkan taraf hidup mereka pada masa akan datang.
"Antara yang kerajaan boleh lakukan ialah melihat kepada pemberian subsidi bagi pembelian hartanah memandangkan kita pada masa ini memberi subsidi yang agak banyak kepada penggunaan (lain).
"Mungkin penjimatan yang kita peroleh daripada penghapusan semua subsidi ini boleh disalurkan dengan memberi subsidi bagi pembelian hartanah kerana ia amat penting kepada graduan muda untuk memiliki sesuatu (aset yang meningkat nilai) di negara ini dan membina kehidupan mereka," katanya kepada Bernama.
Graduan yang memiliki rumah pada harga subsidi sebagai permulaan, katanya, akan membantu mereka dari segi kewangan jangka panjang mereka pada akhirnya, dan beralih daripada masyarakat yang berasaskan hutang kepada masyarakat pemilikan.
"Kaedah lain yang boleh dilakukan kerajaan ialah mungkin menjadikan harga kereta lebih kompetitif, yang akan membebaskan sebahagian daripada pembiayaan mereka yang membolehkan mereka membeli rumah," katanya.
Mohd Eskandar berkata kajian mengenai subsidi perumahan adalah perlu.
"Perlu ada mekanisme supaya hanya kumpulan yang layak akan meraih manfaat daripada insentif tersebut.
"Kita perlu menjalankan kajian. Jika kita tidak melakukannya dengan baik, orang lain boleh menyalahgunakan subsidi itu. Kita tidak mahu ia berlaku," katanya.
Mohd Eskandar turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mengguna pakai model Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura, yang menyediakan subsidi kepada rakyatnya untuk membeli rumah.
"Dengan membolehkan rakyat memiliki aset yang nilainya meningkat, ia juga akan membolehkan mereka (pada masa akan datang) berpindah ke rumah yang lebih baik. Daripada menetapkan standard (harga rumah) yang terlalu tinggi, kita perlu membenarkan rakyat memiliki sesuatu dahulu.
"Tanpa mengambil langkah pertama, mereka tidak akan dapat bergerak ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Mohd Eskandar berkata, INCEIF bimbang mengenai kadar simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menurun, dan mereka membuat banyak pinjaman.
"Ia bukan petanda baik untuk ekonomi yang mampan. Kita perlu ubah itu. Mungkin sebab mereka tidak menyimpan ialah kerana mereka tidak mendapat nilai daripada simpanan mereka," katanya, sambil menambah kewangan Islam boleh memainkan peranannya.
"Jika kita mengikut nilai kewangan Islam, yang lebih kepada perkongsian risiko, kita mengambil risiko yang lebih tinggi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi. Dan jika sistem perbankan boleh memberi nilai yang lebih baik untuk pelaburan berbanding melihat pelanggan sebagai pendeposit tetapi pelabur dan memberi nilai yang lebih baik, mereka mungkin menggalakkan lebih ramai orang untuk menyimpan," katanya.
Beliau berkata menjana kekayaan penting dalam kewangan Islam, selain menyalurkan kekayaan melalui zakat dan wakaf.
No comments:
Post a Comment