Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Changkat Jering, Bukit Gantang di Taiping, Perak melakar sejarah apabila mengungguli kategori bawah 12 tahun Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok, Thailand semalam.
Iskandar Zulqarnain Mohamad Ezry A’Zamin muncul juara kategori itu selepas menundukkan peserta tuan rumah, Tannapon Pennikorn dalam perlawanan akhir pada Selasa.
Ayah Iskandar Zulqarnain, Mohamad Ezry A’Zamin Abdul Wahab berkata beliau dimaklumkan mengenai kejayaan anaknya itu oleh Presiden Muay Thai Malaysia Nooramain Kaw Abdullah.
“Lebih membanggakan apabila diberitahu lawan anak saya memiliki fizikal lebih tinggi selain lebih berpengalaman memandangkan Muay Thai memang sudah sebati dalam kalangan masyarakat Thailand,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohamad Ezry A’Zamin yang juga jurulatih sukan Muay Thai berkata kejayaan anaknya itu hasil kesungguhan semasa berlatih dan ia pastinya akan menyuntik semangat Iskandar Zulqarnain untuk terus berjaya.
Katanya Iskandar Zulqarnain yang dijadual pulang ke Perak Sabtu ini akan menyertai kejohanan Muay Thai di Eropah Mei depan.
~Bernama
No comments:
Post a Comment