Itu keadaannya ketika minyak di paras yang tinggi pada ketika itu dengan harga runcit petrol tinggi. Bagaimanapun, kini harga sudah jatuh merudum dan harga petrol RON95 hanya RM1.60 sen, lebih murah dari sebotol air mineral yang kecil tetapi pengusaha bas ekspres enggan menurunkan harga tambang.
Bagaimanapun kali ini, mereka menggunakan banyak pula alasan untuk tidak turunkan harga tambang berbanding hanya satu alasan ketika mahu ia dinaikkan.
Lihatlah betapa liciknya permainan mereka untuk terus memastikan keuntungan yang dinikmati tidak berkurangan. Harga minyak sudah jatuh begitu banyak dan dahsyat sejak tiga bulan lepas.
Apa salahnya, jika diturunkan sedikit harga tambang tiket bas kerana ia bakal memberikan manfaat kepada ribuan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu untuk bergerak antara daerah dan negeri di negara ini.
Berikan penurunan untuk beberapa minggu, jika harga minyak kembali dinaikkan oleh pasaran, kemudian naikkan lah semula kadar tambang itu mengikut kadar semasa.
Bagaimanapun, apabila merasakan langkah itu akan membuatkan kutipan tiket dan keuntungan sedikit terjejas, mereka lantas enggan menurunkan harga tambang berkenaan.
Pengusaha bas ekspres boleh mengadakan promosi khas untuk tambang yang lebih murah kepada golongan yang selalu menggunakan perkhidmatan berkenaan seperti pekerja yang bekerja jauh, pelajar universiti dan pelajar sekolah.
Soalnya, ada penuruna harga minyak dan ada kos yang perlu ditanggung pengusaha sedikit berkurangan. Berikanlah sedikit ruang itu kepada pengguna untuk menikmati harga lebih murah mungkin hanya untuk perjalanan pada hari bekerja sebagai meringankan beban pengguna.
Janganlah apabila mahu menaikkan kadar tambang, hanya satu alasan sahaja digunakan iaitu kenaikan harga minyak tetapi apabila ada permintaan untuk menurunkan tambang bas, banyak alasan pula digunakan untuk mengekalkan perkara berkenaan.
No comments:
Post a Comment